Monday, September 26, 2011

Sime Darby tidak meyakinkan.

KENYATAAN MEDIA


Nampaknya isu pembelian 30% saham E&O Berhad oleh Sime Darby Berhad dengan harga yang begitu tinggi masih belum dijelaskan lagi.

Bukan sahaja isu utama tidak dijawab malah ternampak semacam ada usaha untuk mengalih perhatian umum dari isu ini.

Setakat ini kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pelbagai pihak hanyalah percubaan menyokong atau menjustifikasi urusniaga Sime Darby – E&O dan bukannya penjelasan yang telus.

Alasan Sime Darby membayar premium yang tinggi berdasarkan kepakaran E&O dalam bidang pembangunan hartanah adalah satu kenyataan yang tidak masuk akal samasekali kerana Sime Darby sendiri adalah gergasi dalam bidang hartanah dengan pengalaman dan kepakaran mejangkaui empat dekad.

Apakah Sime Darby sudah tidak yakin dan percaya dengan kebolehan dan kepakaran kakitangannya sendiri?

Baru-baru ini bekas presiden Bursa Saham Kuala Lumpur Datuk Salleh Majid pun telah tampil mempersoalkan alasan yang dikemukakan Sime Darby.

Industri hartanah sedia maklum akan kepakaran warga Sime Darby yang bukan sahaja di-iktiraf di-dalam negara malah di-peringkat antarabangsa.

Satu lagi alasan remeh yang di-utarakan pihak berkepentiangan ialah kononnya dengan pembelian saham E&O Sime Darby dapat meningkatkan keluasan ‘land bank’ atau pemilikan tanah yang belum dibangunkan. Ini adalah satu lagi fakta songsang.

Saya rasa Sime Darby tidak terdesak untuk meningkatkan ‘land bank’ kerana keluasan ‘land bank’ sediaada Sime Darby, selepas penggabungan Golden Hope, Guthrie dan Sime Darby, adalah cukup besar.

Saya terasa agak pelik kerana setelah isu pembelian saham E&O ditimbulkan terdapat pelbagai percubaan untuk mengalih tumpuan rakyat jauh dari perkara asas.

Saya diberitahu ahli perniagaan terkenal Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan telah masuk campur untuk menutup mulut pihak yang terus mendesak agar urusniaga Sime Darby dan E&O diperjelaskan.

Jika benar cerita ini, ianya hanya meningkatkan lagi tahap keraguan rakyat terhadap tindak tanduk syarikat berkenaan kerajaan (GLC) dan kerajaan itu sendiri.

Kita tidak harus lupa bahawa skandal penggabungan ECM Libra dan syarikat milik kerajaan pada ketika itu Avenue Capital adalah salah satu faktor penyumbang kepada kejutan yang diterima kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2008.

Saya tahu akan isu ECM Libra dan Avenue Capital serta individu-individu yang terlibat secara langsung pada ketika itu.

Yang peliknya, individu-individu yang secara langsung menyebabkan rakyat menolak kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu masih lagi berperanan dalam beberapa urusniaga GLC yang tidak telus pada ketika ini.

Apakah kepimpinan ketika ini tidak sedar akan peranan musuh dalam selimut ini atau mungkinkah ‘budak-budak Tingkat 4’ sememangnya masih berkuasa, bebas merompak harta Khazanah seperti dahulu?

Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

26 September, 2011.

No comments: