Thursday, December 23, 2010

818 Hari = 100 Hari ?


Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera.

Saya amat tertarik dengan edisi terkini janji Pakatan Rakyat untuk melakukan pelbagai perubahan JIKA mereka berjaya menguasai tampuk pemerintahan negara.

Edisi terkini janji Anwar Ibrahim dan sekutu chauvinis-nya dari DAP yang di-terbitkan ketika Konvensyen PR baru-baru ini amat sedap di-dengar oleh penyokong dan ahli mereka.

Sekali lagi mereka yang masih menyokong PR atau lebih tepat lagi, mereka yang masih berpaut mengharapkan habuan jika PR sampai ke Putrajaya, telah bersorak riang dengan edisi terbaru janji reformasi.

Walaupun bunyi dan isi-nya sama dengan janji dan manifesto Pilihanraya 2008 yang masih belum di-tunaikan, pembohongan itu tidak langsung di-persoalkan penyokong dan ahli PR.

PAS dan pemimpin-pemimpinnya semacam bisu dan kaku seperti mayat hidup didalam PR sekarang walaupun Presiden Tuan Haji Hadi Awang telah membayangkan kegusaran-nya berhubung kelangsungan PR sebagai satu pakatan yang bermakna.

Mungkin pemimpin PAS akur dan telah sedar akan pembohongan bertopengkan “Reformasi” namun apakah nasib ribuan penyokong parti Islam ini yang kini terpinga-pinga di-akar umbi?

Apakah ahli dan penyokong PR rakyat begitu taksub atau memang telah hilang kebolehan berfikir secara waras?

Walaupun Pakatan berdasarkan kelangsungan politik sempit dan berpuak ini telah menimbulkan pelbagai masalah dan musibah kepada rakyat namun mereka yang konon-nya memperjuangkan Islam masih berpoya-poya dengan kuasa yang sedikit yang diperolehi tempohari.

Mungkin pemimpin DAP amat berpuashati dan memang telah lama mengharapkan perpecahan di-kalangan umat Islam tetapi apa pula alasan pemimpin PAS dan pengikut tegar PKR.

Saya tidak ingin mempersoalkan pendirian Ketua Umum & Keluarga Sdn.Bhd kerana pendirian dan angan-angan manusia bergelar Anwar Ibrahim itu tidak mengenali batas atau norma-norma hidup manusia biasa.

Agenda dan perjuangan “ala bintang filem” hanya lah untuk kepentingan peribadi namun yang sanggup dikorban ialah rakyat jelata, tak kira agama atau bangsa.

Agama dan bangsa-nya sendiri pun sanggup di-gadai dan di-jaja demi usaha menegakkan benang yang basah tetapi apakah rakyat kita, terutamanya orang Melayu ini bodoh?

Apakah kita sudah lupa akan Pembohongan SEPTEMBER 16?

Mata rakyat cuba dikaburi lagi dengan Edisi Terbaru Janji Reformasi 100 hari sedangkan mereka yang sebenarnya memperjuangkan REFORMASI didalam PKR telahpun meninggalkan parti itu.

Sebelum bersorak mendabik dada dengan harapan untuk membohongi rakyat menerusi Reformasi 100 hari saya rasa Pembohongan SEPTEMBER 16 harus di-perjelaskan terlebih dahulu.

Saya dan rakan-rakan sudah sedar akan pembohongan yang didukung oleh pemimpin pelbagai topeng di PR dan kami bertindak meninggalkan pembohong itu apabila keraguan mengatasi keyakinan.

Hari ini genap 818 hari sejak September 16, 2008 berlalu dan Anwar Ibrahim masih meneruskan PEMBOHONGAN beliau tanpa segan silu atau perasaan malu dan yang pelik-nya masih ada yang mempercayai beliau dan PEMBOHONGAN berterusan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Apakah rakyat kita begitu cetek pemikiran sehingga masih tidak dapat membezakan antara pendusta dan pemimpin?

818 hari = 100 hari ?

Saya yakin 100 hari = 818 hari, mengikut perkiraan Pakatan Rakyat.


Sekian Terima Kasih


Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

p/s Nantikan video bukti pembohongan oleh manusia yang tak mengenal erti malu itu.



Thursday, December 16, 2010

Demi Kemuliaan Parlimen Malaysia


Berikut adalah draf ucapan perbahasan saya di Dewan Rakyat hari ini yang tidak sempat di-zahirkan kerana tindakan Ketua Pembangkang dan seluruh Ahli Parlimen Pembangkang yang telah membelakangkan aturan dan perjalanan Dewan dalam usaha untuk mempolitik-kan perkara dalam persidangan.


Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuhu!

Tan Sri Yang DiPertua,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terimakasih kerana diberi peluang mengambil bahagian dalam perbahasan (Usul) Syor dan Keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung pembohongan Yang Berhormat Permatang Pauh ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 17hb Mac, 2010.

Syor dan Keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan adalah supaya Yang Berhormat Permatang Pauh digantung tugas selama ENAM BULAN kerana pembohongan beliau dalam Dewan Yang Mulia ini didapati secara nyata melanggari hak dan keistimewaan beliau sebagai seorang Ahli Parlimen.

Tan Sri Yang DiPertua,

Saya amat kesal kerana Dewan Yang Mulia ini terpaksa membazirkan masa dan tenaga gara-gara perilaku segelintir dikalangan ahli Yang Berhormat yang tidak bertanggungjawab dan tidak berdisplin.

Bercakap bohong dan mengelirukan Dewan Yang Mulia ini adalah suatu kesalahan yang tidak dapat di-maafkan dan kita semua arif tentang perkara ini, tetapi Yang Berhormat Permatang Pauh nampak-nya masih belum bertaubat.

Perjalanan politik beliau dan perjuangan yang sering diwar-war kan adalah berdasarkan pembohongan belaka. Sebab pembohongan yang tidak mengenali batas inilah saya berdiri diDewan Yang Mulia ini pada hari ini sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Konsensus Bebas wujud pada hari ini kerana kami sedar bahawa Yang Berhormat Permatang Pauh telah menyesatkan kami dengan tipu-daya dan pembohongan beliau. Keraguan telah mengatasi keyakinan kami terhadap beliau kerana tabiat suka berbohong dan tipu-daya beliau.

Kebolehan beliau dalam jurusan tipu-daya dan pembohongan ini tiada perbandingan. Pembohongan SEPT 16 adalah sesuatu yang tidak dapat rakyat Malaysia lupakan sampai bila-bila.

Bayangkan jika beliau boleh memperdayakan bekas Perdana Menteri selama lebih Dua Puluh tahun dengan pelbagai topeng mengikut keadaan.

Tan Sri Yang DiPertua,

Yang Berhormat Permatang Pauh telah nyata berbohong didalam Dewan Yang Mulia ini apabila beliau menyatakan dengan begitu bersungguh-sungguh bahawa “1999 Satu Israel. 2009 APCO menasihati Perdana Menteri Dato Sri Mohd Najib 1Malaysia”.

Saya pasti beliau sendiri tahu bahawa tuduhan itu adalah tidak berasas dan merupakan satu pembohongan namun Yang Berhormat Permatang Pauh sanggup menghina Dewan Yang Mulia ini demi kepentingan politik jijik beliau.

Masyarakat dunia lebih mengenali siapa dia Yang Berhormat Permatang Pauh dalam dua tiga hari ini sejak pendedahan Wikileaks. Saya tidak ingin mengulas lebih lanjut tentang maklumat yang di-keluarkan Wikileaks berdasarkan kenyataan Minister Mentor Singapura Lee Kuan Yew.

Tidak perlu Wikileaks atau Lee Kuan Yew memberitahu kita mengenai aktiviti kegemaran Yang Berhormat Permatang Pauh kerana Mahkamah Persekutuan Malaysia telah pun memperjelaskan isu ini dengan begitu terperinci.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Izikan saya mengungkap penghakiman Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 2hb September 2004 berhubung kes liwat Yang Berhormat Permatang Pauh dan adik angkat beliau Sukma Darmawan.

Quote“…we find evidence to confirm that the appellants were involved in homosexual activities and we are more inclined to believe that the alleged incident at Tivoli Villa did happen,– Sept 2, 2004. – Yang Arif Hakim DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMAD (Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia)

Walaupun kenyataan Hakim yang arif adalah jelas tentang perilaku tertuduh namun kedua-dua tertuduh tetap dibebaskan berdasarkan percanggah teknikal berhubung tarikh dan masa kejadian.




Tan Sri Yang DiPertua,

Apa yang lebih menarik dan harus di-ketahui umum ialah TUJUH TAHUN SEBELUM penghakiman Mahkamah tertinggi negara pada 2hb September 2004 Yang Berhormat Bukit Gelugor sendiri telah memaklumkan dalam Dewan Yang Mulia ini berhubung salahlaku seks Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Ada rekod Hansard Parlimen bertarikh 6hb dan 22hb Oktober serta 18 hb December 1997 di-mana Yang Berhormat Bukit Gelugor, yang pada ketika itu YB Lion of Jelutong, mendesak kerajaan menyiasat Akuan Bersumpah Azizan Abu Bakar dan Umi Hafilda.

Azizan dan Umi Hafilda telah mengadakan pertemuan sulit dengan Yang Berhormat Bukit Gelugor sebelum itu dan pada tahun yang sama, dalam satu ceramah DAP di Federal Hotel di Kuala Lumpur, Yang Berhormat Bukit Gelugor sendiri telah menyatakan bahawa beliau mempunyai bukti berhubung salahlaku seks Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Tapi sekarang lain pulak cerita YB Bukit Gelugor. Pusing 360 darjah! Beliau sanggup menghina Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan semata-mata untuk menegak-kan benang yang basah untuk YB Permatang Pauh.





Tan Sri Yang DiPertua,

Perbuatan berbohong dan mengelirukan Dewan Yang Mulia ini dengan tipu-daya adalah amat serius dan tidak harus ada tolak ansur dalam membenteras tingkahlaku seumpama ini.

Yang Berhormat Permatang Pauh bukan sahaja gagal memohon maaf atau memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tetapi beliau turut memperkecilkan peranan dan tanggungjawab jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tuan Yang DiPertua sendiri.

Malah dalam Dewan Yang Mulia inipun beliau terus bersifat angkuh dan terus menghina Dewan dan Yang DiPertua tanpa apa-apa batasan sebagai Ahli Parlimen.

Ruang yang secukupnya telah pun diberikan kepada Yang Berhormat Permatang Pauh untuk membela diri, namun beliau lebih rela untuk mempolitikan isu ini dan menggambarkan se-olah-olah beliau adalah “victim” atau mangsa.

Inilah “classic behavior” atau perangai Yang Berhormat Permatang Pauh, iaitu berbohong dan asyik menyalahkan orang lain.

Tan Sri Yang DiPertua,

Seluruh rakyat Malaysia, malah seluruh dunia tahu bahawa Yang Berhormat Permatang Pauh telah secara angkuhnya berteriak kesana-kemari yang beliau akan menubuhkan Kerajaan pada tanggal September 16, 2008 dan menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Beliau mencanangkan pembohongan ini selama beberapa bulan dengan pelbagai dakyah dan tipu-helah. Rakaman video dan kenyataan akhbar beliau yang berapi-api masih saya simpan untuk tatapan generasi akan datang.

Apakah beliau menjadi Perdana Menteri pada September 16, 2008? Apabila pembohongan beliau terbongkar dengan sendiri-nya, apa yang beliau lakukan?

Seperti biasa beliau menyambung pembohongan beliau dan menyalahkan orang lain untuk menutup perangai dan tabiat pembohong beliau. 26 juta rakyat Malaysia di-bohongi tanpa sedikit pun rasa bersalah, inilah kelebihan YB Permatang Pauh.

And now he is talking about natural justice!

Tan Sri Yang DiPertua,

Saiful Bukhari harus bercakap tentang natural justice kerana kes Sodomy 2 ini mungkin akan terpahat didalam Guinness Book of World Records tidak lama lagi jika terus di-tangguh dan di-tangguh tanpa berkesudahan.

Seorang pekerja mengadu telah di-liwat oleh majikan beliau dan sehingga kini si-mangsa belum mendapat keadilan.

Nampaknya Peguam Tunda Yang Berhormat Permatang Pauh hanya kemahkamah semata-mata untuk menunda perbicaraan. Apa yang mereka takut sangat ni?

Mungkin mereka telah lupa kepada ungkapan “Justice delayed is justice denied” yang sering di-war-war kan ketika perbicaraan kes liwat yang pertama 10 tahun yang lalu.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Kita tahu YB Permatang Pauh kena sokong YB Gombak dan Gombak kena sokong Permatang Pauh tetapi janganlah hina Dewan yang Mulia ini. Janganlah hina Yang DiPertua Dewan.

Umum tahu hubungan mereka begitu akrab sehingga terpaksa melakukan ujian DNA untuk menentukan tahap keakraban mereka, tetapi janganlah terlalu angkuh dengan kuasa yang sedikit dan tidak menghormati undang-undang dan peraturan.

Tan Sri Yang DiPertua,

Saya ingin mengucapkan terimakasih kerana diberi peluang mengambil bahagian dalam perbahasan ini dan saya dengan ini menyokong Usul untuk menggantung tugas Yang Berhormat Permatang Pauh dari jawatannya sebagai Ahli Parlimen selama 6 bulan.

Walaupun saya berpendapat hukuman penggantungan selama 6 bulan ini adalah terlalu ringan berbanding kesalahan yang begitu serius saya akur dengan Syor dan Keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Tindakan ini adalah perlu demi menjaga Kemuliaan Dewan Rakyat ini.

Dewan Rakyat harus tegas dalam perkara displin dan perilaku Ahli-ahli nya demi menjaga kemuliaan Parlimen Malaysia.


Terima Kasih .


Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

16 Dec 2010

Wednesday, December 8, 2010

Tahniah SPRM




KENYATAAN MEDIA

Perkembangan dan tindakan terkini dalam peperangan kita menentang gejala RASUAH dalam Negara adalah amat positif.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus dipuji kerana menjalankan tugas dan memikul amanah rakyat Malaysia dengan begitu gigih walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Cabaran-cabaran yang dihadapi SPRM bukan sahaja berbentuk kritikan yang melampaui batas tetapi seringkali tugas-tugas penyiasatan di-politikan oleh pihak tertentu demi agenda sempit masing-masing.

Walaupun jumlah kakitangan SPRM adalah amat tidak mencukupi berbanding agensi-agensi anti-rasuah di-negara-negara lain SPRM telah membuktikan komitmen yang amat tinggi.

Pada pendapat saya, komitmen yang di-tunjukkan oleh SPRM menerusi tindakan dan penyiasatan berdasarkan peruntukan undang-undang Negara harus di-sokong sepenuhnya oleh semua pihak.

Jika kita benar-benar bencikan rasuah dan ingin bebas dari budaya keji ini maka rakyat secara keseluruhan harus berdiri teguh dibelakang SPRM.

Sejak berubah menjadi sebuah suruhanjaya yang bebas yang mana Ketua Pesuruhjaya-nya dilantik oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong, SPRM telah membuktikan kewibawaan mereka.

Umum tahu yang peperangan menentang rasuah kini lebih tegas dan keras, di-mana “ikan-ikan besar” telah diheret kemuka pengadilan.

Walaupun SPRM jelas menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka namun persepsi rakyat berkenaan isu rasuah dan tindakan keatas pemberi dan penerima rasuah masih tidak memberangsangkan.

Saya ingin menegaskan disini bahawa SPRM tidak mungkin dapat meneruskan amanat menentang gejala rasuah dinegara ini jika segala hasil kerja mereka sering menemui jalan mati atau ‘dead end’ di Pejabat Peguam Negara ataupun di-Mahkamah.

Pihak SPRM bukan sahaja memerlukan sokongan dan kerjasama dari orang perseorangan dan rakyat jelata tetapi lebih dari itu pihak Peguam Negara dan Badan Kehakiman harus turut bersama kita untuk memerangi gejala jijik ini dari terus menular.

Rakyat amat tidak berpuashati jika siasatan SPRM di-bakul sampahkan oleh Peguam Negara tanpa penjelasan yang munasabah.

Kes-kes yang berdasarkan Akuan Bersumpah (Sworn Statement) tidak harus di-tolak bulat-bulat tetapi harus dibawa kemuka pengadilan dan di-bicarakan (contested) di mahkamah.

Bukan niat saya untuk mengkritik hakim-hakim yang arif tetapi Badan Kehakiman kita harus mengambil maklum bahawa rasuah adalah lebih merbahaya dari gejala dadah, oleh itu kerjasama dan keberanian hakim dalam mengadali kes-kes rasuah adalah amat penting.

Baru-baru ini terdapat kes dimana Ketua Pengarah sebuah agensi keselamatan Negara di-lepaskan oleh mahkamah walaupun wang suapan ditemui dalam saku baju beliau.

Bagaimana rakyat akan bersama kita untuk memerangi rasuah jika perkara sedemikian berlaku dalam proses penghakiman?

Kita tahu Kerajaan amat serius dalam memerangi rasuah tetapi jangan ada dalang didalam yang menggagalkan usaha ini.

Rasuah bukan sahaja jijik dan haram tetapi ianya adalah musuh utama Negara dan mampu menggugat keselematan Negara tercinta ini dari pelbagai sudut.

Jika penjaga pintu masuk Negara membenarkan anasir-anasir luar keluar dan masuk kenegara kita sewenang-wenangnya kerana telah “di-suap” pelbagai ancaman keselamatan akan timbul.

Jika rasuah membolehkan pasir di-lombong secara haram dan dengan mudah di-seludup ke-negara jiran (untuk mereka memperluaskan wilayah mereka), ini adalah ancaman kepada keselamatan Negara kita.

Saya terpanggil untuk membuat kenyataan panjang lebar ini kerana ada yang berpendapat tindakan SPRM keatas bekas Menteri Besar Selangor hanyalah gimmik politik semata-mata.

Saya yakin sepenuhnya dengan kredibiliti dan tahap profesional SPRM, namun saya berpendapat agensi-agensi yang berkenaan dan Pejabat Peguam Negara secara khusus harus memainkan peranan masing-masing tanpa ada apa-apa unsur atau agenda yang lain.

Janganlah nanti timbul keadaan di-mana rakyat hilang kepercayaan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana angkara pihak lain.

Terima Kasih.


Zahrain Mohd Hashim

Bayan Baru

Saturday, November 13, 2010

KENYATAAN MEDIA


Merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia Jumaat 12 November 2010 mukasurat 5 mengenai laporan Polis berhubung cadangan menyambut ‘Hari Perpaduan’ pada 13 Mei setiap tahun.

Inisiatif pihak Utusan Malaysia mencadangkan pendekatan positif keatas sejarah hitam Malaysia - peristiwa berdarah 13 Mei 1969 – menerusi rencana bertajuk “13 Mei dan 21 Julai : Fakta Sejarah, mengapa perlu takut? adalah sesuatu yang amat bertepatan dan mampu menyumbang kearah penyelesaian strategik kemelut politik dan sosial masakini.

Pada pendapat saya, cadangan pengarang Utusan Malaysia berkenaan bernada progressif demi memupuk kesefahaman, toleransi, tolak ansur dan semangat muhibbah seluruh rakyat Malaysia.

Adalah amat penting bagi rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan, tanpa mengira agama atau bangsa, untuk bersatu tanpa sebarang perasaan prasangka diantara kita.

Peristiwa hitam 13 Mei, 1969 adalah sesuatu yang harus di-ambil iktibar dan kita harus belajar dari pengalaman lampau agar generasi sekarang dan yang akan datang tidak mengulangi kesilapan lampau.

Saya tidak faham kenapa initiatif yang luhur ini menerima tentangan dan ditempelak ahli politik di Negara kita.

Saya amat khuathir akan tindakan segelintir ahli dan pemimpin pembangkang yang amat gemar mempolitik-kan isu-isu sebegini dan menghasut rakyat dari perspektif sempit mereka.

Tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang begitu hebat menentang segala bentuk usaha untuk memupuk perpaduan dan kesefahaman dikalangan rakyat, adalah amat membimbangkan.

Sebagai rakyat dan warganegara dibumi bertuah ini saya amat khuathir dengan keadaan politik perkauman dan chauvinis yang dianjurkan segelintir manusia dalam Negara.

Selaku wakil yang di-pilih rakyat di kawasan Parlimen Bayan Baru saya menyeru agar kerajaan mengambil satu pendekatan yang lebih serius keatas perilaku negatif segelintir ahli dan pemimpin politik.

Kerajaan harus mempertimbangkan satu penyiasatan bebas atau penyediaan ‘Kertas Putih” berhubung kemelut politik berunusur chauvinis dan tindakan-tindakan provokasi melampaui.

Mungkin tidak keterlaluan jika penubuhan suatu Suruhanjaya Siasatan DiRaja dipertimbangkan kerana isu politik melampaui batas-batas kemasyarakatan, adat, budaya, Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan adalah sesuatu yang mampu menghancurkan Negara bertuah ini.

Kerajaan harus mengambil tindakan yang tegas kerana dewasa ini semakin banyak isu-isu sentitif yang sengaja ditimbulkan demi kepentingan politik semata-mata.

Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu adalah payung untuk setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama atau bangsa, dan serentak itu adalah amat bertepatan jika Suruhanjaya Siasatan Di-Raja dibentuk untuk menyediakan suatu laporan lengkap untuk pengetahuan Duli-Duli Yang Maha Mulia serta rakyat jelata mengenai tindakan jahat segelintir pemimpin politik yang rakus.

Tentangan terbuka terhadap kuasa-kuasa Raja Melayu, keistimewaan Bahasa Kebangsaan, hak-hak istimewa Bumiputera, mempergunakan agama Islam untuk kepentingan politik serta perkara-perkara lain yang mampu menggugat kestabilan sosial harus kita bendung sebelum nasi menjadi bubur.

Tindakan terbaru seorang pemimpin politik pembangkang di-Sarawak mempergunakan agama Islam untuk mengaburi mata rakyat setiap kali menjelang pilihanraya adalah amat menjijikan.

Kita sebagai rakyat Malaysia tidak harus membiarkan politik demi kepentingan diri sendiri, dan politik chauvinis berunsur perkauman berkembang kerana politik tanpa batas seperti ini akan merugikan semua pihak dikemudian hari.

Janganlah kita korbankan Negara bertuah ini demi nafsu politik rakus segelintir pihak.

Terima Kasih.


Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

13 November, 2010.

Sunday, October 31, 2010

PAS dalam Pakatan Syaitan?



Anwar anggap Pas tidak penting

PULAU PINANG 30 Okt. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercayai merupakan salah seorang dalang dalam 'konspirasi syaitan' antara parti itu dan DAP.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, ketika menjadi Pengerusi PKR Pulau Pinang, Anwar pernah menasihatkan beliau dan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin supaya tidak memberi ruang kepada Pas.

Menurut Zahrain, Anwar menganggap Pas tidak mempunyai peranan penting di Pulau Pinang, justeru, para pemimpinnya tidak perlu diberikan jawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Anwar pernah berpesan kepada saya dan Fairus supaya jangan layan sangat Pas kerana Pas bagi Anwar tidak penting di Pulau Pinang.

"Kata Anwar, di Pulau Pinang kita kena jaga DAP.

"Sebab itulah Pas tidak diberi jawatan penting dalam kerajaan negeri dan Pas hanya diperkudakan saja oleh PKR dan DAP," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat kelmarin, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mendedahkan wujud perjanjian rahsia berhubung pegangan kuasa politik antara PKR dengan DAP yang tidak diketahui Pas.

Melalui perjanjian rahsia itu, DAP akan memiliki kuasa autonomi ke atas Pulau Pinang sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

Perjanjian itu turut membenarkan wakil DAP dilantik sebagai Menteri Besar di negeri-negeri dimenangi parti itu.

Zahrain menambah, selain Anwar, 'Keluarga Lim' yang terdiri daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dipercayai turut menjadi dalang perjanjian PKR-DAP berkenaan.

Jelasnya, beliau tidak hairan ketiga-tiga pemimpin tersebut merupakan orang yang mengatur perancangan itu kerana mereka mempunyai matlamat peribadi.

"Saya percaya ini bukan kerja parti, tapi individu tertentu.

"Ramai dalam PKR dan DAP sendiri pun tidak tahu. Isu ini melibatkan Anwar dan Keluarga Lim, memang mereka yang mengaturnya," ujarnya. - Mingguan Malaysia


Di-atas ialah kenyataan saya yang di-terbitkan Mingguan Malaysia pada hari ini.


Tujuan saya hanyalah untuk menyatakan situasi sebenar disebalik mainan politik kumpulan pembangkang dalam negara ini.


Mainan politik kotor yang di-dalangi segelintir manusia yang bergelar pemimpin ini harus diketahui ahli dan penyokong mereka, terutamanya yang warak dan setia di-dalam PAS dan PKR.


Walaupun saya pasti pada ketika ini ahli dan penyokong kedua-dua parti ini sudah mula tertanya-tanya akan pendirian pemimpin mereka, terutamanya berhubung tindak-tanduk parti chauvinist Cina DAP yang jelas anti Bumiputera, Melayu dan Islam.


Kepercayaan ahli dan penyokong PAS dan PKR mula merosot sejak kebelakangan ini kerana pemimpin mereka menghalakan segala yang haram demi kepentingan politik semata-mata.


Saya membuat pendedahan mainan politik kotor mereka, terutamanya yang berlaku di Pulau Pinang, kerana mahu penyokong dan ahli PAS serta PKR sedar akan perkara sebenar.


Pendedahan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, YB Zulkifli Noordin, tentang wujudnya pakatan syaitan bukanlah sesuatu yang tidak berasas.


Saya amat pasti pakatan syaitan ini wujud kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup lakukan APA SAHAJA untuk mencapai cita-cita beliau - untuk menjadi Perdana Menteri.


Jika Anwar Ibrahim sanggup BERBOHONG KEPADA SELURUH NEGARA BERKENAAN SEPTEMBER 16, tidak mustahil Anwar Ibrahim yang sama sanggup "menjual" Pulau Pinang kepada Lim Kit Siang dan keluarganya menerusi DAP.


Jangan ada di-kalangan kita rakyat Malaysia yang berpendapat ini hanyalah 'mainan politik Zahrain atau Zulkifli Noordin" menentang Anwar Ibrahim. Saya ingin menegaskan bahawa pendedahan ini adalah demi masa depan negara bangsa yang kita cintai.


Janganlah kita alpa dengan mainan politik kotor puak ekstremis yang di-dalangi seorang pemimpin yang telah lama tersungkur akibat tabiat buruk-nya sendiri.


Janganlah kita alpa yang hilang Pulau Pinang, seperti kita kehilangan Singapura pada suatu masa dahulu dan yang terkini Pulau Batu Putih.


PKR kini di-ambang kehancuran. Rebutan kuasa di-antara golongan Reformis dan puak Sosialis yang kian hangat akan hanya menjerumuskan parti keluarga itu ke liang lahad.


Reformis yang benar-benar berjuangan sejak penubuhan Parti Keadilan lebih 12 tahun yang lalu tidak mungkin menyerahkan segalanya kepada puak Sosialis yang di-taja DAP.

PKR akan hancur berkecai tidak lama lagi, tetapi yang amat penting bagi orang Melayu dan umat Islam ialah supaya ahli dan penyokong PAS sedar akan mainan politik kotor Anwar Ibrahim dan keluarga Lim Kit Siang.

Ada di-kalangan pemimpin tertinggi PAS yang mungkin sedar akan agenda jahat DAP ini namun mereka se-olah terpaku kerana peranan Anwar yang sungguh licik dan rapat dengan puak Erdogan dalam Pas.


Yang menggelarkan diri mereka Erdogan pun sebenarnya adalah tali-barut Anwar dalam Pas yang sebenarnya bergelar ANWARINAS.


Pemimpin PAS yang masih berpegang kepada ajaran Islam dan perjuangan sebenar parti mereka harus bangkit menyatakan pendirian mereka berhubung 'Pakatan Syaitan" ini.


Janganlah imej PAS di-warnai satu atau dua pemimpin yang meloncat dan menjerit seperti kera kena belacan di Parlimen dan menyambut segala yang di-lontarkan oleh Anwar dan DAP.


Ahli dan penyokong PAS yang masih bersama-sama Presiden Datuk Seri Haji Hadi Awang harus bangkit menentang golongan yang ber-Presiden-kan individu lain yang rakus ingin menjadi PERDANA MENTERI.


Jangan korbankan agama, bangsa dan negara ini demi nafsu politik semata-mata.

Jangan jadi badut dan jual negara ini demi kepentingan politik peribadi, dan keluarga masing-masing.


Tuesday, October 26, 2010

SEJARAH




"Those who do not learn from history are doomed to repeat it" - GEORGE SANTAYANA

Ungakapan di-atas, jika di-terjemahkan secara mudah, bermaksud - Mereka yang gagal mengambil iktibar dari Sejarah akan disumpah untuk mengulangi Sejarah.



Saya sengaja menimbulkan ungkapan tersebut di-atas kerana ianya amat bertepatan dengan apa yang sedang kita lalui di-Malaysia pada masa ini, terutamanya dari segi sosial dan politik.


Mungkin ramai yang menganggap Sejarah sebagai sesuatu yang hanya layak di-simpan dalam muzium atau Arkib Negara.


Peringatan, teladan dan maklumat-maklumat penting yang terkandung dalam lipatan sejarah tanahair ini semacam turut terkubur di-dalam bilik-bilik besi, jauh dari minda rakyat.


Generasi muda kita kini amat cetek pengetahuan sejarah sehingga ada yang tidak tahu signifikasi Tugu Peringatan Negara, sejarah ancaman Komunis, sejarah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia dan lain-lain perkara penting dalam lipatan sejarah kita.


Ramai juga yang tidak tahu menahu tentang kejadian rusuhan kaum pada 13 Mei, 1969. Satu titik hitam dalam sejarah negara kita yang harus kita cegah dari berulang di bumi bertuah ini.


Tetapi, bagaimana kita hendak mencegah kejadian buruk ini daripada berulang jika generasi sekarang tidak tahu menahu tentang punca atau perkara-perkara yang menyumbang kepada peristiwa berdarah 13 Mei ini?


Oleh sebab inilah saya menyokong penuh cadangan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus di-peringkat sekolah menengah.


Sejak kebelakangan ini ada anasir tidak bertanggungjawab yang kembali mengungkit isu-isu sensitif perkauman dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.


Saya gunakan perkataan 'KEMBALI' kerana jika kita belajar Sejarah dan mengimbas kembali tindak-tanduk mereka yang mencetuskan rusuhan perkauman pada 13 Mei, 1969, ianya adalah sama dan serupa dengan tindakan segelintir anasir pada masa ini.


Mungkin insiden hitam 13 Mei itu berlaku lebih 41 tahun yang lalu, namun mereka yang terlibat secara langsung dalam mencetuskan api perkauman pada masa itu masih bergiat aktif dalam sistem politik dan sosial kita pada hari ini.


Anasir-anasir ini sudah meningkat tua, namun sifat perkauman mereka masih tebal dan agenda buruk era lewat tahun 60-an itu masih di-teruskan sehingga kini.


Mewujudkan kembali pengajian Sejarah adalah amat bertepatan dengan situasi masakini, namun Kementerian Pelajaran harus memberi penekanan kepada perkara-perkara khusus dalam lipatan Sejarah.


Peristiwa berdarah rusushan kaum Mei 13, 1969 harus di-jelaskan kepada generasi muda dan identiti dalang serta anasir "Komunis" yang menyalakan api perkauman dan mencetuskan rusuhan itu mesti di-dedahkan.


Desakan dan penghinaan berunsur perkauman yang kita dengar pada hari ini adalah serupa dengan apa yang terkandung dalam laporan penyiasatan tragedi Mei 13 oleh Majlis Gerakan Negara.


Jika kita alpa dan gagal belajar dari sejarah ini, saya khuatir sejarah akan berulang.




Zahrain Mohamed Hashim.



Monday, October 25, 2010

Ucapan Perbahasan Belanjawan 2011



Di Dewan Rakyat,

Parlimen Malaysia.


25 Oktober, 2010.



Tuan Yang Di-Pertua,



Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan dan ruang ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak atas kejayaan beliau membentangkan Belanjawan 2011 pada tanggal 15 Oktober lepas di Dewan Yang Mulia ini.


Saya sebagai Ahli Parlimen mewakili rakyat Bayan Baru, secara umumnya, menyambut baik Belanjawan yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan berpendirian ianya adalah suatu rangka Belanjawan yang berpandangan jauh dan berdaya maju.


Saya menyambut baik peruntukan-peruntukan khusus yang di-bentangkan di dalam Belanjawan 2011 yang mengambil kira keperluan Negara kearah mencapai tahap Negara maju berpendapatan tinggi.


Keprihatinan kerajaan terhadap golongan muda menerusi kemudahan pemilikan rumah dengan kerajaan menjaminkan 10% wang pendahuluan bagi rumah berharga di bawah RM220,000 membolehkan golongan muda mendapat pinjaman 100% untuk membeli rumah.


Penubuhan Talent Corp dan perancangan latihan khusus pelbagai bidang seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2011 juga akan memberi ruang dan peluang yang lebih luas kepada anak-anak muda untuk memperlengkapkan diri kearah menerajui Negara di-masa depan.



Tuan Yang DiPertua,



Cadangan Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas perkakasan jalur lebar (broadband equipment) dan telefon bimbit mungkin di-anggap remeh oleh sesetemgah pihak namun tindakan ini amat di-alu-alukan oleh rakyat jelata, terutamanya golongan berpendapatan rendah.


Langkah pengecualian cukai dan duti import ini sudah semestinya akan menyumbang ke-arah (dengan izin) ‘bridging the digital divide”, namun pihak yang berkenaan harus memastikan agar niat murni kerajaan ini benar-benar dapat di-nikmati oleh golongan sasar.


Rangkaian penyampaian harus dipantau dengan lebih teliti agar tidak wujud golongan peniaga yang bertambah rakus untuk mengaut keuntungan dan memperdayakan pengguna.



Tuan Yang DiPertua,



Peruntukan pembanguan berjumlah hampir RM 5billion untuk Sarawak dan Sabah seperti yang di-bentangkan pihak kerajaan amat di-alu-alukan kerana sememangnya kedua-dua negeri harus dibangunkan dengan lebih pesat lagi.


Peruntukan untuk menaik-taraf jalan serta memastikan bekalan air dan elektrik sampai kepada penduduk pendalaman adalah lazim dalam Belanjawan, namun jumlah-nya pada kali ini agak besar.


Walaubagaimanapun, saya berharap agar Kerajaan akan memberi perhatian yang lebih kepada masalah-masalah lain yang turut menghantui penduduk di-pendalaman, terutama-nya di Sarawak dan Sabah.


Pada pendapat saya, isu pemilikan tanah adat dan premium tanah harus di-ambil perhatian serius kerana masalah berkenaan menjejaskan kesejahteraan emosi, mental dan masa depan mereka yang terlibat.


Kerajaan, Tuan Yang DiPertua, bertanggungjawab menjaga (dengan izin) “The heart and mind of her people’.



Tuan Yang DiPertua,



Secara umumnya Belanjawan 2011 adalah satu rangka belanjawan yang berwawasan dan amat bertepatan dengan pelan anjakan paradigma untuk kita mencapai status Negara maju menjelang tahun 2020.


Kita harus sedar bahawa masa tidak menyebelahi kita kerana kita hanya ada kurang dari SEPULUH tahun atau lebih tepat hanya 110 bulan dari sekarang untuk mencapai status Negara maju berlandaskan Wawasan 2020.


Saya ingin mengambil ruang ini untuk menegaskan tanggungjawab kita rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, untuk menghadapi cabaran Wawasan 2020 ini.



Tuan Yang DiPertua,



Saya pasti rakyat menyambut baik tindakan dan janji Perdana Menteri bahawa kadar tol di-semua Lebuhraya milik Plus Berhad tidak akan di-naik-kan untuk tempoh LIMA TAHUN akan datang, namun saya ingin menyeru agar kerajaan membuat ketetapan agar SEMUA SYARIKAT PENGENDALI LEBUHRAYA tidak menaikan kadar tol untuk tempoh yang sama.


Saya pasti bahawa permintaan rakyat ini bukan-lah sesuatu yang musthail untuk di-tunaikan pihak syarikat pengendali lebuhraya kerana saban tahun mereka mengaut keuntungan yang tidak pernah rakyat persoalkan.


Pada pendapat saya inilah sebenarnya cara untuk pihak swasta untuk menunjukan rasa terimakasih kepada rakyat dan tanggungjawab kepada Negara ini, dan bukan-nya hanya menerusi iklan-iklan yang menawan kalbu semasa musim perayaan.



Tuan Yang Di-Pertua,



Pada awal-nya saya juga terkejut dengan perbelanjaan berjumlah RM21 juta untuk menampung kos perjalanan rasmi YAB Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selama dua thaun dari tahun 2008.


Walaubagaimanapun, setelah diteliti tujuan perjalanan rasmi mereka dan pulangan yang dikecapi dari segi hubungan dua-hala serta pelbagai-hala (bilateral and multilateral relations), pelaburan serta kerjasama ekonomi yang lain, saya berpendapat jumlah tersebut adalah berpada, atau “justified;.


Saya pasti rakyat lebih arif dan faham bahawa YAB Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan delegasi masing-masing menjelajah ke-setiap pelusuk bukan untuk berpoya-poya.


Pemimpin tertinggi Negara juga tidak-lah ke-luar Negara untuk menagih simpati atau sokongan politik, jauh sekali untuk mencemarkan nama Malaysia di Negara asing, seperti yang lazim di-lakukan oleh segelintir pemimpin politik lain.


Mungkin perbelanjaan untuk menampung perjalanan rasmi untuk dua tahun yang lalu agak tinggi berikutan keperluan untuk menangkis tomahan yang di-sebarkan oleh beberapa pemimpin politik pembangkang.



Tuan Yang DiPertua,



Saya ingin bertanya, siapakah yang sebenarnya menyalahgunakan kepercayaan rakyat dan melakukan pembaziran?


Apakah kita sudah lupa angkara beberapa orang ahli politik pembangkang yang sanggup lakukan apa sahaja untuk memenuhi mimpi peribadi mereka?


Sekarang mereka inilah yang paling lantang mengkritik kos perjalanan rasmi pemimpin tertinggi tetapi apakah kita sudah lupa akan misi tidak mermoral YB Batu (Tian Chua), YB Machang (Saifuddin Nasution) dan YB Bukit Lanjan (Elizabeth Wong) ke luar Negara?


Siapa yang membiayai perjalanan mereka ke Taiwan dan Hong Kong ketika sedang mabuk kuasa yang sedikit yang dikecapi selepas pilihanraya umum 2008?


Saya masih tertanya-tanya duit siapa yang sebenarnya di-bazir untuk menampung kos perjalanan agen-agen Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ini?



Tuan Yang DiPertua



Tujuan mereka ke Taiwan dan Hong Kong bukan untuk menarik pelaburan asing ke Negara kita atau mempermudahkan pelaburan kita di sana.


Tujuan agen-agen tidak bermaruah ini ke Taiwan dan Hongkong ketika di-buai mimpi September 16 adalah dengan niat khianat untuk memujuk Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk berpaling tadah?


Tujuan mereka ke Hong Kong dan Taiwan adalah demi konspirasi jijik untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat, namun duit siapakah yang dibazirkan untuk melaksanakan agenda kotor itu?


Apakah kos sebenar ‘drama swasta September 16’ itu pernah di-bentangkan di-mana-mana Dewan Undangan Negeri untuk menunjukan keterbukaan atau transparency yang selalu mereka laungkan?


Apa yang nyata sekarang, dakwaan Permatang Pauh akan mengambil alih Putrajaya pada Sept 16 dan menjadi Perdana Menteri adalah satu pembohongan besar berniat memperbodohkan rakyat, khususnya penyokong pembangkang?


Yang mengaku alim, warak dan memperjuangkan Islam dan penubuhan Negara Islam pun menyokong kospirasi untuk menjatuhkan kerajaan pada ketika itu, tetapi akhirnya tertipu dengan dakyah jijik Anwar Ibrahim.


Kini ada yang menganggap Pembohongan Sept 16 sebagai sesuatu ang telah berlalu dan remeh, tetapi saya pasti mereka yang tertipu dengan pembohongan YB Anwar Ibrahim kini sedar akan dakyah manusia tidak bermoral yang bertopengkan agama itu.


Saya pasti sekarang ramai yang lebih mengenali siapa Anwar Ibrahim sebenarnya, dan sebab itulah kini PKR di-landa tsunami politik dalaman.


Parti keluarga Anwar kini retak menunggu belah kerana ahli sedar perjuangan Reformasi telah terkubur, yang tinggal hanya perjuangan Tuan Penasihat ke Putrajaya.



Tuan Yang DiPertua



Seperkara lagi mengenai kos perjalanan ke-Luar Negara yang dibangkitkan Dalam Dewan Yang Mulia ini.


Saya ingin tahu siapa yang membiayai dan berapakah kos perjalanan ke Luar Negara Saudara Saiful Bukhari Azlan, seorang bekas pembancuh kopi YB Ketua Pembangkang yang sering mengiringi beliau ke luar negara?


Setahu saya dan seperti di-perakui Saudara Saiful Bukhari Azlan, beliau pernah mengiringi YB Ketua Pembangkang ke Bangkok, Hong Kong dan Singapura ketika berkhidmat sebagai pembancuh kopi peribadi.


Kenapa pembancuh kopi pun dipaksa mengiringi Ketua Pembangkang ke luar Negara? Mustahil tidak ada kopi atau pembancuh di Bangkok, Hong Kong dan Singapura.


Ini bukan lawak jenaka tetapi perkara-perkara yang harus di-perjelaskan agar rakyat tidak tertipu dengan tindakan dakyah sesetengah pihak yang asyik menuding jari dan menuduh orang lain untuk menutup sikap buruk dan perangai jijik mereka.


Kita nak tahu juga jika Ketua Pembangkang juga turut di-iringi tukang kebun, tukang masak dan pembuat karipap, dan apakah jumlah kos sebenar perjalanan mereka ke Luar Negara.



Tuan Yang DiPertua



Belanjawan 2011 sememangnya telah dirumuskan setelah mengambil kira pendapat dan cadangan hampir semua pihak atau (dengan izin) ‘stake holders” dalam Negara ini.


Oleh yang demikian adalah wajar segenap lapisan, termasuk pihak swasta mendukung intipati belanjawan ini untuk kebaikan bersama.


Kerajaan juga harus memberi penekanan khusus untuk meningkatkan pelaburan terus dalam Negara berbanding pelaburan luar atau (FDI) kerana terdapat sebilangan syarikat tempatan yang lebih berkemampuan dan berdaya saing berbanding syarikat asing.


Belanjawan 2011 menjanjikan kejayaan untuk semua pihak, namun keberkesanan Belanjawan ini bergantung kepada persekitaran politik masa kini.



Tuan Yang DiPertua,



Seperkara yang harus kita sama-sama pastikan untuk menjamin masa depan Negara bangsa yang lebih cerah ialah kestabilan politik.


Sebenarnya kestabilan politik yang mencerminkan kerjasama antara pelbagai kaum dinegara kita inilah menjadi kunci kejayaan yang utama. Namun semenjak selepas pilihanraya umum tahun 2008, kestabilan ini semacam tergugat.


Saya tahu ianya menjadi agenda utama pihak pembangkang untuk menggoncang kestabilan ini tetapi janganlah merosakkan apa yang telah kita bina selama ini untuk memuaskan nafsu politik peribadi.


Janganlah kita, anak bumi bertuah ini, menjadi duri dalam daging dan sanggup lakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita politik, demi ingin menjadi Perdana Menteri.


Hentikanlah tindakan buruk mencemarkan nama Negara dan pemimpin, hentikanlah tohmahan jijik dan janganlah bersekongkol dengan musuh untuk kepentingan peribadi.


Isu ini bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh kerana ianya bersangkut rapat dengan imej dan kedudukan kita di persada politik dan ekonomi antarabangsa.



Tuan Yang DiPertua,



Tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai yang memburukan imej Tentera Laut DiRaja Malaysia ketika berpijak di-bumi asing adalah sesuatu yang amat menjijikan. Harus ditegaskan bahawa tindakan beliau adalah pengkhianatan yang tidak boleh di-maafkan.


Namun demikian saya berpendapat tindakan membabi buta berpunca dari kecetekan pengalaman serta tauladan serta budaya politik buruk yang beliau warisi dari Ketua Pembangkang.


Saya pasti Ahli-Ahli Yang Berhormat juga akan bersetuju jika saya menyeru agar Ketua Pembangkang sendiri mendisplinkan diri beliau dan menghormati Kedaulatan Negara Malaysia, terutamanya ketika berpijak di bumi asing.


Janganlah asyik berusaha untuk mengagalkan segala perancangan Negara, memburukan pemimpin dan mengadu domba sehingga ada orang asing yang sanggup penyamakan kita dengan Negara Afrika yang mundur.



Tuan Yang DiPertua,



Tindakan kumpulan pelampau BENDERA yang melakukan demonstrasi anti-Malaysia, membaling najis kedalam kawasan Kedutaan kita di Jakarta serta membakar Jalur Gemilang adalah tindakan keji yang harus dikutuk sekeras-kerasnya.


Belum ada lagi suatu bentuk tindakan anti-Malaysia yang lebih dasyat daripada tindakan keji anasir pelampau Bendera baru-baru ini, dan yang lebih menjijikan lagi ialah ura—ura bahawa tindakan anasir Bendera jijik itu sebenarnya di-dalangi segelintir pemimpin politik Malaysia yang terdesak.


Saya ingin mengambil ruang ini untuk mendesak Kerajaan menyiasat dakwaan ini dan membentangkan segala bukti di Dewan Yang Mulia ini agar dapat kita melucutkan kerakyatan anasir-anasir pengkhianat Negara.


Namun saya harap ‘cerita penglibatan pemimpin pembangkang’ yang hangat diperkatakan dari Jakarta ke Putrajaya ini tidak benar dan dalam nada yang sama saya menyeru agar Ketua Pembangkang menasihati kawan-kawan beliau yang amat berpengaruh di Indonesia kerana Ketua Pembangkang sendiri pernah memberitahu saya suatu ketika dahulu bahawa pengaruh beliau di-kalangan ‘movers and shakers’ di-luar Negara adalah amat kuat sehingga beliau yakin menang “jika bertanding merebut jawatan Presiden Indonesia”.


Saya tidak ragu-ragu dengan kenyataan itu kerana Ketua Pembangkang memang akrab dengan pelbagai pihak di-Indonesia, termasuk golongan yang kini menganjurkan demonstrasi jalanan menentang President Susilo Bambang.



Tuan Yang DiPertua,



Biarlah kita buang yang keruh dan ambil yang jernih dan bergerak kehadapan dalam satu pasukan demi masa depan rakyat dan Negara tercinta ini.


Kestabilan politik adalah amat penting tetapi keadaan politik dewasa ini amat merunsingkan pelbagai pihak. Rakyat telah mula jelak dengan retorik pembangkang dan isu-isu yang berkisar perkauman.



Tuan Yang DiPertua,



Pasukan yang di-terajui YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjaya memacu semangat rakyat dan mengharumkan kembali nama Negara.


Saya pasti pihak pembangkang juga akan bersetuju dengan kenyataan ini dan akur yang mereka tidak boleh bermaharajala-lela seperti di zaman Perdana Menteri yang terdahulu.


Sebelum YAB Datuk Seri Najib mengambil tampuk pemerintahan, Negara berada di-ambang krisis politik dan sosial yang amat genting berikutan kegagalan nyata Perdana Menteri ketika itu.


Saya tidak berniat mempertikaikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, tetapi kegagalan beliau sebagai pemimpin adalah nyata dan hampir menjerumuskan kita kekancah konflik perkauman yang amat berbahaya.


Kegagalan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan menghentikan perhimpuan berunsur perkauman seperti Hindraf adalah bukti nyata kegagalan Tun Abdullah Badawi yang hampir menghancurkan negara bertuah ini.


Perhimpunan Hindraf dan rentetan angkara anasir racist and chauvinist adalah faktor utama kenapa timbulnya politik perkauman yang kotor dan pergolakan sosial menjelang pilihanraya 2008.



Tuan Yang DiPertua,



Syukur Alhamdulillah, dengan berkat doa rakyat dan ketangkasan kepimpinan “tag-team” YAB Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, api politik perkauman yang kotor hampir padam.


Pendirian yang tegas lagi jelas yang di-nyatakan YAB Perdana Menteri yang juga President Umno ketika ucapan perasmian Persidangan Umno minggu lalu harus telah memadamkan bara politik perkauman yang keterlaluan atau chauvinist.


Presiden Umno telah menegaskan bahawa Negara berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada sesiapa yang boleh mengubah atau mempersoalkan peruntukan-peruntukan asas yang di-meterai lebih 50 tahun yang lalu.


Walaupun orang Melayu dan Bumiputera berhak keatas taraf istimewa kami namun

hak kerakyatan rakan-rakan kami dari bangsa lain tidak pernah luntur atau di-persoalkan.


Kenyataan YAB Perdana Menteri ketika merasmikan Mesyuarat Agung MCA baru-baru ini bahawa “Orang Cina tidak boleh lagi di-takrifkan sebagai pendatang’ jelas menunjukkan jenis kepimpinan beliau.


Ketika yang lain hangat menyalakan api perkauman dan mempersoalkan kontrak sosial demu kelangsungan politik sempit, Pengerusi Barisan Nasional membuktikan bahawa beliau mendengar rintihan kaum Cina di Malaysia tanah bertuah ini.



Tuan Yang DiPertua,



Kestabilan politik adalah amat penting bagi kemajuan ekonomi kita dan kestabilan politik sememangnya menagih pengorbanan dan kerjasama dari segenap lapisan masyarakat pelbagai kaum.


Kita harap jangan ada lagi pihak-pihak yang mempersoalkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung Perkara 152 dan Perkara 153 selepas menjelasan panjang lebar oleh YAB Perdana Menteri tempohari.


Jangan pula ada yang terus bermain api perkauman kerana kita tidak ingin berada dalam keadaan konflik ala- Bosnia atau Palestin.


Perutusana yang jelas lagi tegas dari YAB Perdana Menteri serta huraian hati nurani orang Melayu dan Bumiputera yang di-utarakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri amat bertepatan dan di-terima baik rakyat jelata.


Saya agak terkilan kenapa RTM tidak menyiarkan secara langsung ucapan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno tempohari.



Tuan Yang DiPertua,



Belanjawan 2011 memang menggariskan pelbagai peruntukan untuk memperjuangkan nasib golongan berpendapatan rendah namun seperkara yang ingin saya timbulkan di Dewan Yang

Mulia ini ialah berkenaan dilemma kampung-kampung traditional Melayu di pinggir bandar.


Kebanyakan kampung tradisi Melayu di Pulau Pinang telah, hampir dan akan pupus tidak lama lagi jika kerajaan tidak mengambil suatu tindakan drastik secepat mungkin.


Saya khuathir arus pembangunan beserta “loop holes” dalam Kanun Tanah Negara akan menyebabkan kampung-kampung tradisis Melayu ghaib dari muka bumi Malaysia.


Saya mencadangkan agar Kanun Tanah Negara di-semak semula dan diperketatkan lagi supaya kampung Melayu tidak hilang begitu sahaja di telan arus pembangunan baru.



Tuan Yang DiPertua,



Sekali lagi saya ingin menarik perhatian kepada peri-pentingnya kestabilan politik dan kesepakatan kita ahli-ahli di dalam Dewan Yang Mulia ini untuk sama-sama memastikan hak dan kepentingan rakyat.


Cadangan Belanjawan 2011 yang dibentangkan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak haruslah kita debat, bincang dan perbaiki jika perlu demi masa depan negara bangsa ini.


Kita sebagai wakil yang di-amanahkan rakyat tidak perlu senantiasa terikat dalam politik kepartian sehingga cadangan dan perancangan yang baik untuk rakyat pun di-caci dan di-tolak bulat bulat.


Dewan Yang Mulia ini menyediakan ruang yang begitu luas untuk membincangkan kepincangan atau kekurangan malah cadangan bernas juga sering di-alu-alu kan.


Saya menyeru agar jangan lah ada pihak yang hanya berminat untuk mempolitik-kan cadangan Belanjawan Negara 2011 dan hanya bertumpu tenaga dan masa untuk mencari kesalahan.

Mari lah kita sama-sama menyumbang ke-arah kesejahteraan rakyat yang kita wakili.



Tuan Yang DiPertua



Saya mohon menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan 2011.



Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

(Konsensus Bebas)