Sunday, December 23, 2012

Kebenaran akan atasi kebencian


SERINGKALI saya dilontarkan dengan pertanyaan 'Datuk Seri akan bertanding ker dalam pilihan raya yang akan datang?" Persoalan ini bukan sahaja menjadi kegemaran rakan-rakan media. Keluarga dan sahabat handai juga ikut sama.

Mungkin itu antara persoalan yang bermain di fikiran mereka sejak saya meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 12 Februari 2010 dan bertindak menjadi Ahli Parlimen Bebas bagi kawasan Bayan Baru di Pulau Pinang.

Pada ketika itu ramai juga yang membuat pertuduhan liar dan tohmahan bermacam rupa, mungkin kerana saya ketika juga itu adalah Ketua PKR Pulau Pinang. Saya meninggalkan PKR atas prinsip, apabila keraguan saya mengatasi keyakinan terhadap hala-tuju dan kepimpinan PKR dan Pakatan Rakyat itu sendiri.

Kini, setelah hampir tiga tahun saya pasti keputusan saya itu tidak sia-sia kerana ramai lagi pimpinan serta anggota Pakatan yang telah meninggalkan mereka.

Mungkin saya akan mendalami isu itu dalam masa-masa yang akan datang kerana isu pokok yang mencabar kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam pada hari ini ialah kesatuan orang Melayu dan bumiputera.

Kedudukan orang Melayu dalam politik tanah air amat membimbangkan saya kerana orang Melayu, Bumiputera dan Islam berpecah sehingga menjadi golongan kecil yang mungkin hilang pengaruh sama-sekali.

Persoalannya disini bukan kepentingan individu atau apakah saya akan bertanding sebagai wakil rakyat. Persoalannya ialah Apakah orang Melayu sedar akan kedudukan perpecahan yang amat getir ini?

Apakah mungkin DAP, satu perkumpulan yang ditunjangi born-again Christians dan puak cauvinis menjadi wadah perjuangan orang Melayu dan bumiputera? Mana mungkin Pas yang nyata sesat dari landasan Islam menjadi pemimpin sebuah negara Islam yang dikagumi dunia?

Jangan kita lalai dan alpa ketika ada yang memperalatkan agama untuk memecah-belahkan masyarakat demi kepentingan politik peribadi. Kita orang Melayu/ bumiputera harus bersatu.

KENAPA UMNO?

Sebagai orang Melayu yang berpegang kepada keramat agama, bangsa dan negara, kita tiada pilihan tetapi bersatu di bawah naungan UMNO. Saya cukup berpengalaman mengharungi politik tertinggi pihak pembangkang dan cukup setakat saya katakan di sini bahawa orang Melayu sebenarnya tidak ada pilihan selain UMNO.

Saya masih belum diterima menjadi ahli UMNO secara rasmi tetapi saya telah menulis surat kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak) menyatakan keinginan saya untuk menjadi ahli UMNO.

Bukan kerana dijemput menyertai UMNO tetapi kerana kepimpinan UMNO dan secara langsung kepimpinan kerajaan kini jauh lebih matang dan membawa kesan langsung kepada rakyat.

Pihak pembangkang sendiri mengakui kebijaksanaan pimpinan serta hands on approach Datuk Seri Najib Tun Razak sejak mengambilalih tampuk pemerintahan.

Tapi kerana mereka itu pembangkang yang bukan sahaja membangkang tetapi berhasrat menumbangkan kerajaan sedia ada, pihak DAP, Pas dan PKR tidak berani mengakui keberkesanan pimpinan Najib secara terbuka. Malah, kritikan serta tohmahan diperhebat menyerang peribadi Perdana Menteri.

Mungkin saya juga akan ditohmah kembali dan diberi pelbagai label baru tetapi biarkanlah mereka dengan cara mereka. Mungkin jika kita adakan pertandingan antara parti-parti pembangkang diseluruh dunia, puak pembangkang dari Malaysia mungkin layak memenangi anugerah Pembohong Terbaik.

Sebagaimana kita bersyukur dan berterima kasih atas kebijaksanaan, kita juga harus berani menerima hakikat bahawa tidak ada parti politik atau kerajaan yang sempurna 100 peratus dalam dunia ini.

Ini tidak bermakna kita harus berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi kepincangan parti atau kerajaan kita. Begitu jugalah dengan UMNO dan Barisan Nasional. Nyata UMNO kini lebih dinamik, demokratik dan terbuka. Ini adalah fakta yang diakui kawan dan lawan.

Pemilihan pimpinan DAP baru-baru ini masih segar dalam pemikiran kita. Cara dan keputusan pemilihan serta lantikan pimpinan tertinggi parti cauvinis Cina itu memalukan anggota dan penyokong mereka sendiri.

Kuasa 'diktator' yang dimiliki keluarga tertentu dalam DAP begitu menyerlah sehingga mereka yang dipilih perwakilan pun dipinggirkan demi 'tokong' mereka.

Mana mungkin orang Melayu bernaung di bawah satu perkumpulan cauvinis Cina yang begitu tamak kuasa sehingga keluarga dan kaum didahulukan dalam setiap inci pergerakan mereka? DAP adalah parti rasis dan ini telah terbukti dengan sendirinya melalui pemilihan pimpinan tertinggi mereka.

Sebagai ahli politik Melayu dari Pulau Pinang yang telah terlibat dalam pelbagai pendekatan perniagaan, pentadbiran dan politik saya dapat rasakan yang orang Melayu secara umumnya telah mula sedar akan dilema Melayu pada hari ini.

Hati orang Melayu yang benar-benar menghayati keramat agama, bangsa dan negara telah terdetik. Kita tahu, tetapi politik kepartian dan kebencian yang disemai menjadi penghalang kepada penyatuan kita.

UMNO itu sendiri harus menghayati transformasi yang dipelopori Datuk Seri Najib Tun Razak dan pasukan beliau. Bayangkan jika setiap ahli Umno dan Barisan Nasional bergerak dengan tenaga dan ketangkasan Najib dalam mentadbir negara.

Ramai yang berkata 'Najib dengan Muhyiddin berkerja keras, yang lain masih tak berapa bermaya". Ini persepsi rakyat walaupun ramai lagi pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang bertungkus lumus dalam era transformasi politik dan pentadbiran yang dipantau Perdana Menteri.

Benih kebencian, yang disemai secara amat teratur dari peringkat kanak-kanak lagi, kini menghantui bangsa Melayu tetapi politik kebencian ini tidak mungkin mengatasi khidmat ikhlas demi agama, bangsa dan negara.

Jika orang UMNO sayangkan Melayu dan jika orang Melayu ingin memperkasakan UMNO, inilah masanya. Inilah masanya untuk kita bersatu demi masa depan negara bangsa kita.

Nasi tidak mungkin menjadi bubur jika kita bertekad dan bersatu mengharungi cabaran getir yang bakal menentukan hidup matinya bangsa Melayu dan agama Islam di bumi bertuah ini. Saya yakin kebenaran akan mengatasi kebencian dalam sanubari Melayu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121223/re_12/Kebenaran-akan-atasi-kebencian#ixzz2FqlWxPuj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, December 12, 2012

Kenapa UMNO?

Demi bangsa dan agama

TANGGAL 12 Februari 2010 merupakan antara detik terpenting dalam hidup Ahli Parlimen Bayan Baru, DATUK SERI ZAHRAIN MOHAMED HASHIM apabila beliau meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.



Meskipun hanya menganggotai konsensus Bebas ,Zahrain dan rakan-rakan Bebas yang lain tidak terkecuali membahaskan dengan lantang isu-isu berkaitan rakyat.
Kini, Zahrain sekali lagi membuat satu keputusan yang agak besar apabila memutuskan untuk menyertai UMNO selepas lebih dua tahun bergerak sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Bersama wartawan Mingguan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD dan jurufoto, SHIDDIEQIIN ZON, beliau berkongsi perasaannya terutama ketika mendengar ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

MINGGUAN: Daripada kaca mata Datuk Seri bagaimanakah peluang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang?
ZAHRAIN: Secara keseluruhannya pemulihan BN sejak 2008 sehingga sekarang nampak hebat sekali. Kita pun dapat melihat corak pendekatan pimpinan BN hari ini jelas dan tajuk yang digunakan iaitu janji ditepati memang tepat sekali. Melalui kepimpinan Perdana Menteri (Najib) saya juga melihat kepercayaan terhadap BN meningkat. Oleh sebab itu saya tidak mahu menjadi penghalang kepada BN untuk menang. Atas sebab itu juga saya telah membuat pendirian, saya tidak mahu menggugat kedudukan BN di mana-mana kawasan.
Daripada konteks sokongan, saya akui sokongan rakyat terhadap BN semakin bertambah dan peluang BN untuk menang pada PRU-13 amat cerah tetapi dengan satu peringatan, jangan ada masalah dalam BN sendiri. Saya cukup yakin jika tiada sebarang masalah BN bukan sahaja mampu menang malah mampu mencapai kemenangan paling cemerlang pada pilihan raya kali ini.

Apakah faktor-faktor Datuk Seri menentang BN terutama pada pilihan raya umum yang lalu (PRU-12)?
ZAHRAIN: Saya menentang BN dahulu sebab saya melihat BN pada masa itu memang ada kelemahan-kelemahan yang terserlah dan tiada sebarang usaha untuk membetulkan keadaan. Ini menyebabkan orang marah kepada BN dan menyokong pakatan pembangkang walaupun BN menang besar pada pilihan raya 2004. Kita perlu akui rakyat amat kecewa dengan kepimpinan pada masa itu. Ini ditambah lagi dengan permainan pihak pembangkang yang memutar belitkan fakta. Meskipun BN teruk diserang oleh pihak pembangkang tetapi tiada sebarang usaha daripada pihak BN pada masa itu untuk perbetulkan keadaan. Namun begitu keadaannya amat berbeza sekarang. UMNO dan BN ketika ini berbeza dengan yang dahulu.
Berdasarkan pengamatan Datuk Seri sejauh mana kekuatan pembangkang ketika ini?
ZAHRAIN: Kumpulan pembangkang ini kumpulan yang tidak sesuai (untuk menjadi pemerintah). Nama pakatan rakyat itu bukannya rakyat yang berpakat. Kita boleh lihat corak perjuangan Pas dan corak perjuangan DAP yang jauh berbeza. Apa yang dilakukan oleh DAP dan apa yang dilakukan oleh Pas, kita nampak hanya untuk menanamkan semangat kebencian yang boleh menjadikan keadaan di negara kita meruncing. Apabila ada sifat benci kepada sebangsa, seagama ia akan menjadi masalah. Itu puncanya. Apa yang dilakukan oleh Pas khususnya lari daripada ajaran Islam. Allah SWT tidak pernah mengajar kita untuk memurtadkan, memaki dan mendoakan kehancuran sesama bangsa dan sesama agama.
Adakah isu-isu yang melanda pembangkang seperti isu doa kehancuran UMNO oleh Pas dan isu kenyataan kontroversi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyebabkan rakyat khususnya golongan atas pagar tidak lagi menyokong mereka. Komen Datuk Seri?
ZAHRAIN: Keputusan Pilihan Raya 2008 menunjukkan rakyat negara kita boleh berfikir dan atas fikiran itu BN telah menerima satu tamparan yang amat hebat. Realitinya, masyarakat yang sentiasa berfikir itu masih wujud. Namun kita tidak boleh menafikan parti pembangkang seperti Pas mempunyai penyokong tegar masing-masing. Kita tidak boleh tumpukan kepada kumpulan ini kerana golongan tersebut tidak akan percaya dan tidak mahu terima kebenaran. Mereka hidup dalam alam fantasi. Mereka mahu meletakkan pemimpin yang banyak masalah menjadi Perdana Menteri. Walau bagaimanapun daripada segi majoriti rakyat saya percaya mereka boleh berfikir mengenai pencapaian BN di bawah kepimpinan BN.
Mereka sudah mula sedar dan celik. Sebagai contoh diri saya sendiri. Dahulu mungkin saya tersilap langkah atas kepercayaan dan semangat kebencian tetapi hari ini selepas saya lihat dan kaji pencapaian BN serta pencapaian pembangkang saya nampak kita tidak ada pilihan. Jika pakatan yang memerintah ia akan memudaratkan negara. Isu-isu yang dilaungkan oleh pakatan sendiri boleh menjadi tanda soal antaranya isu demokrasi, isu hak asasi, isu keadilan, isu kebebasan termasuk usaha mereka untuk mengetengahkan fahaman liberalisme, pluralisme. Ini menjadi satu penganiayaan kepada orang Islam dan orang Melayu khususnya.
Maksud Datuk Seri, adakah rakyat secara majoriti tidak akan mengulangi peristiwa pada 2008?
ZAHRAIN: Saya yakin dan percaya majoriti rakyat Malaysia keseluruhannya boleh menggunakan fikiran dan akal. Saya juga percaya rakyat boleh melihat perkara yang benar dan yang mungkar.
Mengapa Datuk Seri meninggalkan PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas sejak Februari 2010 lalu?
ZAHRAIN: Tagline yang saya gunakan ialah 'keraguan telah mengatasi keyakinan'. Atas asas itu saya tinggalkan PKR. Selain itu saya dapati asas perjuangan PKR hampa kerana apa yang dilaungkan oleh penasihat mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menampakkan kesan kerana terlalu banyak kompromi dilakukan. Seperkara lagi, apabila diletakkan kehendak Anwar untuk menjadi Perdana Menteri melebihi kepentingan rakyat, itu juga telah menunjukkan PKR telah lari daripada perjuangan asal.
Sebenarnya kita merancang supaya parti yang mengambil alih kerajaan merupakan satu parti yang lebih baik daripada BN. Namun kita dapati selepas menang PRU 2008 terserlah kelemahan-kelemahan di dalam PKR. Pucuk pimpinan lebih mengutamakan DAP daripada suara pemimpin sendiri. Tidak boleh dinafikan perjuangan pucuk pimpinan PKR sudah lari daripada perjanjian asal iaitu meletakkan PKR sebagai parti pelbagai kaum yang didominasi oleh orang Melayu, yang mengutamakan Islam, yang mendukung Perlembagaan. PKR gagal. Sebab apa, sebab perjuangan pemimpin utama mereka yang mahu menjadi Perdana Menteri. Dia lupa tanggungjawab asal.
Apakah kepuasan yang Datuk Seri peroleh dalam menjalankan peranan sebagai Ahli Parlimen Bebas?
ZAHRAIN: Ketika meninggalkan wadah perjuangan pakatan pembangkang kita tidak lihat pada masa itu BN dengan jelas. Kita masih ragu-ragu corak perjuangan BN. Cuma kita membuat satu ketetapan dan pendirian bahawa kita tidak boleh dengan pakatan pembangkang. Oleh sebab itu kita berkecimpung sebagai ahli Bebas. Keraguan terhadap BN masih ada. Walau bagaimanapun dalam proses dua tahun ini selepas Datuk Seri Najib Tun Razak ambil alih kepimpinan BN kita nampak ada perubahan sedikit demi sedikit, khususnya pada tahun lalu bagaimana terserlah perubahan yang besar di dalam BN. Antara yang penting, pucuk kepimpinan BN mempunyai sifat tawaduk selain setiap masalah telah diambil tindakan untuk diatasi. Namun bagi saya kemuncaknya apabila saya mendengar ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO oleh Najib yang juga Presiden parti.
Saya telah dijemput hadir pada majlis tersebut. Ucapan yang saya dengar dan disampaikan oleh Najib itu cukup menggamit perasaan saya dan telah membuka mata saya yang mana kita harus lihat UMNO itu merupakan satu wadah perjuangan bagi mempertahankan hak orang Islam dan Melayu. Saya juga percaya tumpuan ucapan dasar Presiden UMNO itu bukan hanya kepada orang UMNO tetapi kepada seluruh warga Melayu di Malaysia dan mesejnya ialah kita tiada pilihan. Orang Islam dan orang Melayu mesti bersama dan bersatu untuk mengekalkan hak kita di negara sendiri. Saya juga terpikat dengan apa yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mana jika berlakunya perpecahan Islam dan Melayu yang begitu ketara di negara kita, kita akan menjadi bangsa yang terpinggir di negeri sendiri. Itulah kesannya. Jika orang Melayu terus berpecah kita akan hancur dan akan berhadapan dengan masalah.
Adakah Datuk Seri bermaksud UMNO merupakan parti paling sesuai untuk dijadikan sebagai wadah perjuangan mempertahankan Islam dan Melayu?
ZAHRAIN: Kita amat memerlukan satu wadah perjuangan sekali gus menjadi simbol kepada perjuangan Islam dan Melayu. Jika kita mahu menggunakan parti politik Melayu kita ada tiga pilihan iaitu UMNO, Pas dan PKR. PKR dilihat sudah tidak menjadi parti yang memperjuangkan hak orang Melayu.
Pas pula, bagi saya jika mereka sanggup mendoakan untuk menghancurkan saudara seislam, itu merupakan ajaran yang sesat. Kita harus anggap Pas sudah menjadi parti sesat. Bagi saya kita sebagai orang Islam diminta bermaaf-maafan. Kita tidak boleh membenci sampai ke peringkat menurut hati tidak tentu hala. Ini tidak, mereka mendoakan kehancuran, memurtadkan orang UMNO. Ini bagi saya sudah sesat, lari daripada ajaran Islam. Saya berani kata, hendak cabar, cabarlah, hendak saman saya, samanlah. Selain itu, orang yang rosakkan Anwar Ibrahimlah. Saya juga cukup hairan masih ada orang Melayu kita yang ikut secara membuta tuli. Walaupun saya ini bukan pakar agama tetapi sebagai seorang muslim saya tidak boleh terima cara mereka ini. Saya hairan bagaimana ulama, pakar boleh terima.
Berbalik kepada ucapan dasar Presiden UMNO, di bahagian mana ucapan tersebut benar-benar menyentuh hati Datuk Seri?
ZAHRAIN: Apabila Presiden UMNO kata, kita tidak ada pilihan. Kita dilahirkan di sini, di sini juga kita mencari makan, di sini juga tanah tumpah darah kita dan di sini juga kita akan disemadikan. Sememangnya kita orang Melayu tiada pilihan. Apabila mendengar ucapan itu, saya naik sebak sebab dengan nada yang digunakan oleh Najib ketika itu saya percaya suara itu datang daripada lubuk hatinya, yang benar-benar menunjukkan keikhlasan beliau. Saya cukup tersentuh dan saya merasakan semangat baru Melayu meresap ke dalam tubuh saya. Memanglah, apa pilihan yang ada pada kita.
Bilakah Datuk Seri terfikir untuk menyertai UMNO? Adakah selepas Presiden parti selesai memberi ucapan dasar?
ZAHRAIN: Saya datang ke perhimpunan agung dengan hati yang terbuka. Saya hadir atas jemputan. Pada masa itu saya tiada apa-apa niat. Walau apa pun saya akui saya telah melihat UMNO dan BN semakin pulih dari semasa ke semasa. Namun tidak dinafikan selepas mendengar komitmen Presiden UMNO yang saya sifatkan sebagai bukan sahaja ucapan untuk orang UMNO sahaja tetapi untuk orang Melayu keseluruhannya saya mengaku ada satu macam punya semangat masuk ke dalam diri saya.
Ini mungkin tanda sayang sayang kepada agama saya kepada bangsa saya. Saya ucapkan tahniah kepada Presiden parti dan saya nyatakan ucapan beliau satu ucapan yang hebat dan bukan untuk orang UMNO tetapi kepada semua orang Melayu. Saya juga katakan kepadanya ucapan tersebut memberi pengertian yang amat mendalam kepada perjuangan UMNO iaitu peranan orang UMNO mempertahankan kedudukan agama dan bangsa daripada perjuangan melonjakkan diri sendiri.
Apa harapan Datuk Seri terutama kepada setiap ahli dan pemimpin UMNO terhadap keputusan ini?
ZAHRAIN: Saya berharap or ang UMNO dapat menerima saya dengan hati yang terbuka dan janganlah menganggap saya sebagai satu ancaman. Saya sedia bersama-sama dengan warga UMNO untuk memulihkan, mengukuhkan dan meletakkan UMNO sebagai wadah perjuangan Islam dan Melayu . Itu lebih penting. Kita juga harus sedar itu juga objektif pe rjuangan UMNO.
Bagaimana pula dengan kedudukan kerusi Bayan Baru yang saya kira pasti akan menimbulkan pelbagai spekulasi?
ZAHRAIN: Saya katakan tadi paling penting kita tidak mahu menggagalkan calon BN pada PRU-13 akan datang. Bermakna kita tidak mahu pakatan pembangkang menang kerusi mana-mana pun. Atas pendirian itu isu saya ini tidak akan menjadi keutamaan. Sama ada saya bertanding atau tidak bertanding saya serahkan kepada pucuk pimpinan BN. Mungkin mereka lebih mengetahui sesuatu itu lebih baik daripada saya. Saya percaya apa juga keputusan mereka akan ambil berdasarkan pandangan secara keseluruhan dan itu tidak menjadi masalah atau isu. Siapa pun bertanding saya juga telah mengambil iktibar untuk berusaha dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan sesiapa sahaja calon BN.



Wednesday, November 21, 2012

Seret tali barut ke muka pengadilan



Kegiatan puak-puak yang di-taja anasir asing dinegara kita ini adalah sesuatu yang benar dan nyata. Perkara ini bukanlah khayalan atau rekaan mana-mana pihak seperti yang sering digambarkan pihak pembangkang.

Pembohongan bersiri anasir-anasir yang berselindung disebalik pertubuhan haram seperti SUARAM adalah bukti nyata akan kewujudan puak-puak subversif ini didalam negara kita.

Ancaman puak-puak subversif ini adalah amat serius dan harus disekat sebelum nasi menjadi bubur.

Penyaluran maklumat palsu oleh sebuah syarikat guaman tempatan kepada peguam di Perancis, seperti yang di-laporkan sebelum ini adalah pengkhianatan yang amat keji lagi hina.

Kenyataan peguam Amer Hamzah Arshad dari syarikat guaman Zain & Co adalah satu pengkhianatan kerana maklumat yang disalurkan adalah tidak benar dan merupakan pembohongan yang jelas.

Kita tahu pihak Suaram dengan kerjasama erat pihak pembangkang telah menjaja isu pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis demi kepentingan politik mereka.

Kita sedar baru-baru ini bahawa dakwaan pihak Suaram dan puak pembangkang tentang perbicaraan di mahkamah Perancis berhubung pembelian kapal selam Scorpene adalah satu pembohongan besar.

Pendakwaraya dari Perancis sendiri telah menyatakan bahawa tidak ada apa-apa bentuk perbicaraan atau ‘trial’ di Perancis seperti yang didakwa pihak Suaram dan puak pembangkang selama ini.

Puak-puak ini hanya memperbodohkan rakyat dengan niat jahat, demi kepentingan politik mereka.

Nyata syarikat guaman Zain & Co, menerusi peguam Amer Hamzah Arshad juga bersekongkol mengkhianati negara ini dengan menyalurkan maklumat palsu dengan niat jahat.

Apakah pendirian Majlis Peguam kita dalam isu ini?

Apakah Majlis Peguam bacul atau mereka sebenarnya ‘ignorant’ berhubung isu ini? 

Saya mendesak agar tindakan tegas diambil keatas peguam terbabit dan syarikat guaman berkenaan kerana ini adalah satu kesalahan yang amat keji.

Majlis Peguam harus dibubarkan jika mereka tidak mampu menangani gejala jijik yang tidak professional ini dikalangan peguam dinegara ini.

Syarikat guaman Zain & Co juga didapati banyak menjalankan urusniaga dengan kerajaan Malaysia serta agensi-agensi kerajaan yang lain. Dalam konteks ini saya ingin mendesak agar kerajaan mengkajisemula segala urusniaga atau ‘dealings’ dengan syarikat tersebut dengan serta-merta demi menjaga keselamatan negara.

Mana mungkin kerajaan berurusniaga dengan sebuah syarikat yang telah nyata mengkhianati negara ini dengan menyalurkan maklumat palsu kepada pihak asing?

Kuala Lumpur dan Paris mempunyai hubungan dua-hala yang akrab dari pelbagai aspek, terutamanya dari segi ekonomi. Urusniaga pembelian kapal selam Scorpene dan puluhan kapal terbang Airbus melibatkan perbelanjaan berbillion ringgit.

Terdapat juga pelbagai jalinan perdagangan lain yang bernilai ratusan juta ringgit setiap tahun.

Walaubagaimanapun hubungan baik dua negara ini tidak terbayang dalam isu pembohongan Suaram dan puak pembangkang berhubung pembelian kapal selam Scorpene kerana sehingga kini kerajaan Peranchis masih berpeluk tubuh menjadi penonton.

Apakah kerajaan Peranchis tidak menghargai hubungan baik dengan Malaysia dan memilih untuk berdiam diri walaupun tohmahan demi tohmahan dilemparkan keatas pemimpin dan kerajaan Malaysia?

Kenapa kerajaan Peranchis atau pihak kedutaan mereka di sini seolah-olah memihak kepada pihak lain walaupun kebenaran itu berpaut pada pihak kerajaan?

Apakah Hak Asasi Manusia, kebebasan dan sebagainya lebih penting dari kebenaran?

Sebagai rakyat Malaysia saya mahu kerajaan mengkaji semula urusan perdagangan dengan syarikat-syarikat Peranchis kerana negara itu seolah-olah menjadi duri dalam daging bagi kita.

SUARAM adalah pertubuhan haram yang tidak berdaftar dalam negara ini. Fakta ini diakui sendiri oleh pemimpin politik pembangkang yang menerajui pertubuhan haram itu.

SUARAM juga telah terbukti menerima dana dari organisasi asing yang telah memainkan peranan penting dalam memporak-perandakan beberapa negara yang kini bergelumang dalam konflik politik dan perang saudara.


Jenayah yang dilakukan SUARAM adalah amat jelas dan kerajaan harus mengambil tindakan yang tegas keatas rakyat Malaysia yang menjadi tali barut asing.

Tali barut asing yang mencipta maklumat palsu harus dibawa kemuka pengadilan. Jika kita gagal bertindak mungkin perbuatan khianat sedemikian akan di-ulangi kerana habuan yang diterima adalah amat lumayan.

Jangan kita menyesal dikemudian hari kerana kealpaan pada masa ini.



Thursday, October 25, 2012

Zahrain tempelak Bung - UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 24 Okt. - Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menempelak tindakan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang mendakwa tokoh korporat Melayu, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary memonopoli semua jenis perniagaan di negara ini.

Zahrain memberitahu, sebagai seorang ahli UMNO yang berjuang untuk orang Melayu, Bung Mokhtar seharusnya bangga serta menyokong kejayaan yang telah dikecapi oleh anak Melayu seperti Syed Mokhtar dan bukan mengkritiknya. 

Sambil melahirkan rasa kecewanya dengan tindakan itu, Zahrain berharap Bung Mokhtar akan segera menarik balik kenyataan yang telah dikeluarkan terhadap tokoh perniagaan negara berkenaan. 

"Bercakap soal monopoli, sektor perniagaan dan perdagangan di negara kita dikuasai oleh golongan bukan Melayu. Kalau ada anak Melayu yang mampu bersaing dengan bukan Melayu dalam bidang ini, mengapa kita harus pertikaikan dan kritik, kita sepatutnya beri sokongan kepada beliau. 

"Saya secara peribadi tidak berpendapat beliau (Syed Mokhtar) memonopoli pelbagai jenis perniagaan di negara ini kerana beliau hanya menyertai projek-projek atau perniagaan tertentu yang akhirnya terbukti dapat dijayakannya. 

"Ada peniaga-peniaga Melayu yang diberikan peluang dan tempat tetapi gagal, jadi kita harus bangga dengan Tan Sri Syed Mokhtar," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini. 

Beliau mengulas kenyataan Bung Mokhtar pada persidangan Dewan Rakyat semalam yang mengkritik Syed Mokhtar dengan menyifatkannya sebagai cuba memonopoli semua jenis perniagaan di negara ini sama ada di darat, laut mahupun udara. 

Menurut Zahrain, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung kenyataan Bung Mokhtar itu tetapi menyifatkannya tidak adil kepada ahli perniagaan Melayu yang berjaya. 

"Saya pelik, bagaimana Bung Mokhtar yang sepatutnya mempertahankan ahli perniagaan Melayu seperti Syed Mokhtar, sebaliknya mengkritik beliau," jelasnya. 

Tambah Zahrain, isu membabitkan Syed Mokhtar ini seolah-olah memberi gambaran bahawa orang Melayu sentiasa tidak senang dengan kejayaan orang Melayu yang lain. 

"Perasaan cemburu, dengki dalam hati yang timbul apabila melihat kejayaan orang lain perlu dikikis. Kita sewajarnya menyokong dan berkongsi rahsia kejayaan masing-masing untuk manfaat orang Melayu yang lain," ujarnya. - Utusan Malaysia




Thursday, October 11, 2012

Perbahasan Belanjawan 2013 - Ahli Parlimen Bayan Baru



PERBAHASAN BELANJAWAN 2013 - 10 Oktober 2013
Ahli Parlimen Bayan Baru
Dato’ Seri Zahrain Mohamed Hashim 
Dewan Rakyat - Parlimen Malaysia 

Assalammualaikum Warahmatullahiwabarakatuh. 

Tuan Yang Di-Pertua, 

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih serta tahniah kepada YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib Tun Razak di-atas pembentangan Belanjawan -Janji DiTepati.

Terima kasih saya dahulukan kerana rasa syukur segenap lapisan masyarakat dengan peruntukan-peruntukan yang termaktub didalam Belanjawan Janji DiTepati dapat dirasai disetiap pelusuk bumi bertuah ini.

Umpama pelita yang menerangi kegelapan malam, keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat menerusi Belanjawan kali ini telah nyata menerangi hati sanubari serta kehidupan kita semua. 

Tuan Yang DiPertua,  

Manusia dipegang pada janjinya, begitu juga dengan kerajaan yang memerintah serta pemimpin yang menunjangi kerajaan itu. 

Peruntukan serta perancangan yang dibentangkan menerusi Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 yakni Belanjawan 2013 sememangnya menepati ciri-ciri ‘sebuah janji yang ditepati’ demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat.

Belanjawan Janji DiTepati ini menengahkan suara hati serta keperluan rakyat jelata, ketika enau dalam belukar sibuk hendak lepaskan pucuk masing-masing. 

Tuan Yang DiPertua, 

Hanya yang dangkal akan menolak rancangan yang baik untuk masyarakat kita. 

Belanjawan kali ini memperuntukan sejumlah wang yang besar bagi program dan projek pembangunan, dengan fokus terhadap kesejahteraan rakyat.

Tiga puluh billion ringgit disediakan bagi menampung keperluan infrastruktur, perindustrian, pertanian dan pembangunan luar bandar. 

Sejumlah 11.1 billion ringgit dikhususkan untuk pendidikan, latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.  Manakala 4.6 billion ringgit lagi diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan.

Peruntukan yang saya sebut ini adalah diantara fokus utama Belanjawan Janji DiTepati dan ianya jelas menzahirkan aspirasi kerajaan yang peka terhadap denyut nadi rakyat. 

Tuan Yang DiPertua, 

Ketika kerajaan sibuk mencorak masa depan negara bangsa menerusi pelbagai perancangan jangka panjang dan pendek, saya tahu ada pihak yang tidak tidur malam sibuk merancang untuk menggagalkan usaha kerajaan ini.

Golongan duri dalam daging ini sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan politik sempit mereka, termasuk memburuk-burukkan negara dimata dunia.

Terdapat pelbagai usaha golongan keji ini untuk menghalang pelaburan asing ke-negara ini, antaranya ialah melakukan kegiatan yang bertentangan dengan prinsip kewangan antarabangsa secara terbuka.

Tindakan seorang ahli politik pembangkang membocorkan butiran akaun bank syarikat dan individu bukan saja menyalahi undang-undang Banking and Financial Institutions Act (BAFIA) 1989 tetapi telah mengejutkan pelabur asing.

Pelabur asing yang kini runsing dengan tahap penguatkuasaan undang-undang perbankan kita dan ini secara langsung akan menjejaskan status kita sebagai destinasi pelaburan yang digemari individu dan syarikat asing.

Saya mendesak agar pihak penguatkuasa undang-undang, khususnya Bank Negara Malaysia, lebih peka kepada tindakan golongan yang mensabotaj ekonomi kita.
Janganlah pihak Bank Negara leka dan tidak memantau, dan hanya bertindak apabila didesak – umpama pepatah pahat dengan penukul. 

Tuan Yang DiPertua, 

Pihak yang bertanggungjawab memantau atau bertindak juga nampak-nya terlalu pasif dalam isu pengaliran masuk dana asing secara haram kedalam negara kita.

Pembongkaran skandal dana asing yang diterima pertubuhan haram seperti Suaram dan sekutu mereka Malaysiakini adalah amat membimbangkan.

Suaram adalah badan bukan kerajaan yang tidak didaftar dan terbukti telah menerima puluhan juta dollar Amerika dari penyangak matawang George Soros. 

Baru sekarang kita tahu SUARAM bukan-nya Suara Rakyat Malaysia tetapi hanyalah Suara Haram yang di-biayai orang asing yang berkomplot bersama pihak pembangkang untuk mencari kuasa politik ditanahair kita.

Kini terbukti Malaysiakini bukan-lah portal berita yang bebas tetapi hanya sekadar ‘running dog’ atau budak suruhan puak pembangkang yang bersekongkol dengan pihak asing. 

Tuan Yang DiPertua, 

Tindakan anasir-anasir yang mendalangi kegiatan Suaram, Malaysiakini dan yang seangkatan dengan mereka adalah pengkhianatan besar terhadap rakyat dan negara ini.

Terbukti golongan pengkhianat ini sanggup menggadai kedaulatan negara, demi untuk merampas kuasa politik.

Saya tahu ada diantara pengkhianat-pengkhianat ini, terutamanya yang menunjangi Suara Haram Suaram, telah berjaya menduduki Dewan yang Mulia ini. 

Kita mungkin berdepan malapetaka politik, ekonomi dan sosial yang dashyat jika pengkhianat yang di-taja orang asing dibenar mencorak masa depan negara bangsa ini.

Tuan Yang DiPertua, 

Yang makan cili sudah tentu akan terasa pedasnya. Saya ingin mendesak agar Dewan yang Mulia ini mengkaji kemungkinan membentangkan satu undang-undang khusus untuk menangani ancaman ini.

Undang-undang sedemikian bukanlah sesuatu yang janggal. 
Amerika Syarikat meluluskan undang-undang sedemikian pada tahun 1938 - Foreign Agents Registration Act (FARA) –yang diletak-kan dibawah pengawasan terus National Security Department atau 
Jabatan Keselamatan Negara.

Baru-baru ini Russia juga telah meluluskan undang-undang khusus untuk mengawasi kegiatan agen asing yang mencampuri urusan dalaman negara itu.

Russia juga telah mengusir badan-badan bukan kerajaan yang cuba mencetuskan huru-hara dan menaja rusuhan jalanan atas nama hak asasi manusia. 

Tuan Yang DiPertua,

Izinkan  saya memberi ringkasan seperti yang termaktub dalam undang-undang FARA di-Amerika Syarikat.

“The Foreign Agents Registration Act (FARA) was enacted in 1938. FARA is a disclosure statute that requires persons acting as agents of foreign principals in a political or quasi-political capacity to make periodic public disclosure of their relationship with the foreign principal, as well as activities, receipts and disbursements in support of those activities.  Disclosure of the required information facilitates evaluation by the government and the American people of the statements and activities of such persons in light of their function as foreign agents. The FARA Registration Unit of the Counterespionage Section (CES) in the National Security Division (NSD) is responsible for the administration and enforcement of the Act.”

Tuan Yang DiPertua,  

Sudah tiba masanya kita mewujudkan satu undang-undang khusus seperti Foreign Agents Registration Act ini demi mempertahankan kedaulatan kita.

Pengkhianat yang di-taja anasir asing makin berleluasa didalam negara kita sehingga Dewan ynag Mulia ini pun telah mereka bolosi.

Tanpa segan silu mereka mengaku menerima dana asing tetapi berdalih konon-nya dana itu disalurkan untuk menyuburkan lagi demokrasi dan hak asasi manusia.

Kenapa tersipu-sipu untuk mendedahkan akaun kewangan mereka jika alasan itu benar?  

Mengapa harus ber-operasi menerusi pertubuhan haram jika tujuan mereka hanya untuk menegakkan demokrasi dan hak asasi?  

Puak Bersih yang mengadakan rusuhan jalanan, menyerang anggota Polis dan merosakan harta benda awam juga menerima dana asing dari Soros. Apakah agenda mereka ini bersih? 

Tuan Yang DiPertua, 

Terbaru, pendakwaraya kanan Kerajaan Peranchis Yves Charpenel telah membongkar pembohongan yang didalangi pihak pembangkang melalui suara haram Suaram.

Yves Charpenel telah menegaskan bahawa tidak ada apa-apa bentuk perbicaraan di-negara nya berhubung pembelian kapal selam Scorpene oleh Kerajaan Malaysia.

Kenyataan rasmi pegawai kerajaan Peranchis ini jelas membuktikan pembohongan Suaram dan pemimpin politik pembangkang selama ini.

Bukan sahaja rakyat di-tipu malah golongan yang tidak mengenal malu ini juga telah mengutip derma dari orang ramai untuk memantau perbicaraan tersebut. 

Hanya mereka sahaja yang tahu bagaimana untuk memantau perbicaraan yang tidak wujud sama sekali. 

Tuan Yang DiPertua, 

Selama ini pelbagai tohmahan telah dilemparkan ke-atas Kementerian Pertahanan serta Kerajaan Malaysia secara keseluruhan nya.

Ada juga antara ahli Dewan ini yang tergamak menzahirkan pembohongan-nya menerusi gambar Perdana Menteri yang di ‘superimpose’. 

Dengan pembongkaran terbaru pendakwaraya kanan Peranchis ini terbukti rakyat Malaysia telah ditipu dengan tujuan mengaibkan kerajaan serta menimbulkan kebencian terhadap pemimpin.

Saya ingin mendesak agar pihak Kerajaan Malaysia atau secara khususnya Kementerian Pertahanan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap anasir-anasir ini dengan kadar yang segera. 

Saya percaya Kerajaan mempunyai asas-asas yang kukuh untuk mengambil langkah drastik mengemukakan saman malu keatas pengkhianat-pengkhianat ini.

Jangan tunggu nasi menjadi bubur sebelum bertindak kerana ini adalah soal keselamatan negara. 

Tuan Yang DiPertua, 

Belanjawan Janji DiTepati mencatatkan pendapatan sektor pelancongan dijangka mencecah 62 billion ringgit pada tahun ini.

Saya menyambut baik langkah pro-aktif kerajaan dalam pemperuntukan sejumlah 358 juta ringgit untuk menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2013/2014.

Sektor pelancongan mampu mengimbangi pendapatan negara dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu dan ini terbukti ketika mengharungi krisis ekonomi yang lampau, khususnya pada tahun 1997/98.

Ketika kerajaan merancang cara-cara untuk menarik lebih ramai pelancong asing ada diantara pemimpin pembangkang yang bergiat aktif sebagai duta adu-domba yang memburukan tanahair-nya sendiri diluar negara.

Dahulu cerita dongeng-nya dijaja di-Indonesia dan Filipina dengan menagih persamaan dengan gerakan reformasi yang kecundang. 
Kini Turki pula jadi sasaran dengan laungan liberalisma dan kebebasan tanpa had. 

Apakah Turki menjadi citarasa semasa kerana di-sana kegiatan seks sama jenis serta aktiviti LGBT yang lain sah di-sisi undang-undang?  

Tuan Yang DiPertua,  

Pemberian bonus satu bulan setengah untuk kakitangan awam adalah satu langkah wajar Kerajaan untuk menghargai jasa dan pengorbanan lebih satu juta anggota perkhidmatan awam.

Pelan transformasi kerajaan yang dipelopori YAB Perdana Menteri telah nyata menampak-kan hasil dan kejayaan ini banyak bergantung kepada kerjasama dan iltizam anggota perkhidmatan awam kita.

Walaupun sering menjadi sasaran pembangkang yang tidak jemu memburukkan segala institusi kerajaan, anggota perkhidmatan awam kita adalah antara yang terbaik dikalangan negara membangun.

Syabas kepada setiap anggota perkhidmatan awam kita walaupun masih terdapat ruang untuk penambahbaikkan dan pembaharuan. 

Tuan Yang DiPertua, 

Seringkali kedengaran suara-suara sumbang pembangkang serta pertubuhan-pertubuhan ‘running dog’ mereka seperti Suaram yang membayangkan seolah-olah perkhidmatan awam kita dicengkam amalan rasuah. 

Saya tidak ingin berbicara panjang tetapi cukup dengan satu soalan – jika benar anggota perkhidmatan awam kita ini mengamalkan rasuah, siapa yang merasuah mereka?  

Tuan Yang DiPertua, 

Rakyat menyambut baik peruntukan 591 juta ringgit untuk menangani masalah jenayah dalam Belanjawan Janji DiTepati ini.

Secara khususnya cadangan mewujudkan Unit Rondaan Bermotosikal Polis Di-Raja Malaysia dengan 1,000 buah motorsikal adalah amat bertepatan dan kena pada masanya.

Pendekatan unit rondaan bermotosikal ini serta penambahan perjawatan polis untuk menangani ancaman jenayah ada selaras dengan tuntutan semasa.

Rakyat harus sedar bahawa jenayah tidak mungkin dapat ditangani dengan menuding jari tetapi dengan tindakan pro-aktif serta kerjasama yang lebih erat diantara pihak polis dan masyarakat.

Tuan Yang DiPertua, 

Kita tahu akan wujudnya rancangan tersusun pihak tertentu yang saban hari memperlekehkan pihak polis serta institusi-institusi lain seperti badan kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihanraya dan juga Institusi Raja Raja Melayu.

Malah prinsip Rukunegara juga sering diperkotak-katikkan secara terbuka.

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Demikian lah prinsip Rukunegara kita.

Tuan Yang DiPertua, 

Golongan yang memperjuangkan kebebasan dan menyokong budaya LGBT dan seks sesama jenis dalam negara ini nyata membelakangkan prinsip Rukunegara yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan kerana tidak ada satu pun agama dalam dunia ini yang mengiktiraf atau menghalalkan LGBT.

Ada juga golongan yang berusaha menghapuskan sistem Raja-Raja dalam negara kita. Kesetiaan kepada negara dibelakangkan dan negara sendiri diburukkan dimata dunia. Golongan liberal dan chauvinis ini beranggapan prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara sudah lapuk.

Perlembagaan tidak lagi dianggap luhur dan undang-undang negara seolah tidak berdaulat malah peruntukan perlembagaan dicabar atas dasar kesamarataan dan liberalisma.

Dan akhir sekali prinsip kesopanan dan kesusilaan cuba dikuburkan dengan berkelakuan biadap dijalanan. Jalur Gemilang ingin diganti dan gambar Perdana Menteri dipijak tanda benci.

Apakah ini Malaysia yang ingin kita bina setelah kita harungi peristiwa hitam 1969 yang hampir menghancurkan negara ini?  

Tuan Yang Dipertua, 

Ada kemungkinan golongan muda kita mudah terpengaruh dengan hasutan pelampau politik kerana kurangnya pengetahuan sejarah dan asal-usul kita sebagai sebuah negara bangsa.

Perjuangan dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu untuk menjamin perpaduan pelbagai kaum dalam negara ini harus kita hayati demi masa depan yang lebih terjamin.

Dalam konteks ini saya menyarankan agar filem Tanda Putera terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) ditayangan disetiap sekolah dan pusat komuniti dinegara ini untuk mencelik-kan mereka yang masih buta sejarah. 

Tuan Yang DiPertua,

Saya telah berpeluangan menghadiri pra-tonton filem Tanda Putera ini dan nyata ianya adalah satu karya berdasarkan sejarah tanahair di-kala kita di-uji dengan cabaran yang paling getir.

Tanda Putera adalah karya unggul berdasarkan kajian mendalam fakta-fakta sejarah dan setiap rakyat Malaysia yang benar-benar cintakan negara ini harus menghayati intipati karya agung ini.

Mungkin ada yang masih gentar dan takut dengan fakta-fakta sejarah yang dipaparkan dalam Tanda Putera. Saya rasa golongan ini harus menguatkan semangat dan menghadapi kenyataan kerana seperti kata ahli falsafah Sepanyol George Santayana “Those who do not learn from history are doomed to repeat it” – mereka yang gagal mengambil iktibar dari sejarah ditakdirkan mengulangi-nya. 

Tuan Yang DiPertua, 

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa dalam perbahasan ini saya tidak menyentuh langsung Belanjawan yang dibentangkan pihak pembangkang tempohari.

Sebenarnya apa yang dikemukan oleh pemimpin anugerah Tuhan itu hanyalah satu lagi pembohongan dalam siri pembohongan-nya yang tidak mengenal batas.

Setiap insan yang berakal dan mampu berfikir secara waras pasti dapat menilai pemimpin anugerah Tuhan yang sehingga kini masih tercari-cari jam Omega milik-nya itu.

Malah baru-baru ini beberapa pemimpin tertinggi dan golongan ulama dalam Pas juga telah mula memberanikan diri untuk mengkritik rancangan pembohong bersiri itu.

Tidak mungkin ulama Pas seperti Ustaz Haron Din dan Sasterawan Shahnon Ahmad disogok dengan wang ringgit untuk mengkritik sandiwara pembangkang secara terbuka. 

Saya fikir tindakan golongan ulama ini menandakan detik perubahan dalam Pas dan kehancuran puak yang hidup berdasarkan pembohongan. 

Tuan Yang DiPertua, 

Rakyat harus bijak menilai di-antara kaca dan permata. 
Ini mungkin kali terakhir Dewan Yang Mulia ini bersidang sebelum dibubarkan untuk menghadapi pilihanraya.

Rakyat Malaysia akan sekali lagi berpeluang untuk memilih wakil mereka diperingkat negeri dan persekutuan yang secara langsung akan menubuhkan kerajaan untuk mentadbir negara bertuah ini.

Pilihanraya yang akan datang ialah yang ke-13 sejak negara ini mula berdiri atas kaki sendiri pada tahun 1957. Kita telah mengharungi 12 pilihanraya umum sebelum ini, namun pilihanraya yang ke-13 adalah yang paling kritikal dalam sejarah tanahair kita.
 
Rakyat hanya ada dua pilihan, iaitu mengekalkan kesinambungan pentadbiran kerajaan yang telah mengemudi negara ini dengan jayanya selama lebih 50 tahun atau menyerahkan negara bangsa ini kepada seorang pembohong bersiri yang tidak berhati perut. 

Tuan Yang diPertua,

Pemimpin pembangkang yang kemaruk kuasa ingin menjadi Perdana Menteri  itu adalah seorang pembohong yang sanggup melakukan apa sahaja demi nafsu.

Nafsu pembohong ini tidak mengenal batas. Saya tidak perlu menghuraikan jenis-jenis nafsu dan tabiat buruk-nya yang telah diketahui umum tetapi rakyat harus sedar akan ancaman manusia ini kepada negara kita.

Jika jauhari mengenal manikam, saya mengenali pembohong ini kerana pada satu ketika dulu saya dan rakan-rakan juga menjadi mangsa putar belit-nya.
 
Tuan Yang DiPertua, 
 
Sebagai sebuah negara yang baru 55 tahun merdeka dan menguruskan diri sendiri, kita telah sampai dipersimpangan yang amat kritikal.

Kritikal kerana kita dipersimpangan antara jalan menuju kehancuran dan jalan ke-arah mencapai Wawasan 2020. 

Bukan sahaja pelaksanaan Belanjawan Janji DiTepati ini, malah masa depan anak-anak kita bergantung kepada jalan yang akan kita, rakyat yang waras, akan pilih.  Yang waras sudah pasti dapat membezakan antara kaca dan permata. 

Tuan Yang DiPertua,

Saya mohon menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan 2013. 

Terima Kasih.

Zahrain Mohd Hashim
Ahli Parlimen Bayan Baru