Kita baru sahaja melepasi titik sejarah sambutan serentak Ulangtahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang ke 48 dan ulangtahun Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang ke 54.
Inilah kali pertama sambutan ulangtahun Hari Merdeka dan Hari Malaysia disambut serentak pada tanggal 16 September.
Sempena sambutan bersejarah itu rakyat dihidangkan beberapa kejutan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Antara pelbagai kejutan yang terkandung dalam ucapan Perdana Menteri pada malam 15 September, 2011 di Angkasapuri Kuala Lumpur ialah pengumuman keputusan Kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau I.S.A.
Saya pasti majoriti rakyat Malaysia menyambut baik keputusan Kerajaan ini walaupun ada golongan pejuang negara terdahulu yang masih was-was akan tindakan berani Najib Razak.
Ada dikalangan anggota dan bekas anggota keselamatan juga yang agak risau dengan tindakan memansuhkan ISA dan peruntukan langkah-langkah pencegahan yang lain.
Walaupun pada mulanya mungkin pahit, saya yakin tindakan pemansuhan ISA adalah kearah menjadikan negara kita sebagai sebuah negara Islam moden yang lebih demokratik lagi progresif.
Rasanya diantara pelbagai rancangan Transformasi Kerajaan yang diumumkan sebelum ini, langkah pemansuhan ISA ini merupakan ‘a single largest achievement’ atau langkah unggul dengan kesan paling besar atau positif.
Seperti yang di-ingatkan beberapa rakan, Najib Razak sebenarnya telah berjanji untuk mengkaji semula ISA dalam ucapan ulung beliau pada 2hb April, 2009.
Dan pada 15 September lalu beliau mengotakan janji itu dengan menghapuskan terus akta yang sekian lama digeruni kawan dan lawan.
Walaupun agak perlahan namun kepimpinan Najib semakin menyerlah dan pelan transformasi kerajaan yang dijanjikan telah mula menampakkan kesan.
Tetapi, apakah transformasi menyeluruh yang dipelopori Perdana Menteri ini disokong dan didukung oleh kesemua pemimpin, ahli dan penyokong Barisan Nasional.
Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang telah menampakkan hasil ketara ini akan gagal jika hanya Perdana Menteri dan beberapa kerat menteri dan pemimpin parti yang mengambil peduli.
GTP ini bukan berkenaan politik. Matlamat GTP adalah kesejahteraan rakyat dan oleh itu semua pihak dan golongan yang bertanggungjawab harus menghulurkan bantuan serta sokongan.
Jangan pula ada dikalangan pemimpin atau ahli pasukan Perdana Menteri sendiri yang bertindak lebih teruk dari pihak penghasut yang menyamar sebagai pembangkang dalam negara ini.
Mungkin inilah masanya untuk Barisan Nasional dan teraju-nya Umno untuk membezakan diri mereka dari puak penghasut yang bukan berniat membina negara bangsa ini.
Saya tahu puak penghasut tidak dapat tidur nyenyak kerana ‘Najib is doing all the right things’.
Tidak sampai 24-jam selepas Perdana Menteri membuat pengumuman pemansuhan ISA serta langkah-langkah transformasi politik dan sosial , telah muncul seorang pemimpin DAP yang ingin menggantikan bendera keramat Jalur Gemilang.
Inilah yang saya maksudkan sebagai puak penghasut. Belum pun reda kegilaan Mat Sabu, timbul pula Manoharan dari DAP dengan desakan dangkalnya.
Puak penghasut nyata gusar, lebih-lebih lagi dengan kemunculan satu lagi video yang memaparkan kelicikkan pemimpin ‘anugerah Tuhan’ mereka.
Kita harus waspada dengan puak penghasut yang akan senantiasa menghasut rakyat pelbagai kaum agar tidak ada keamanan politik dan sosial dalam masyarakat kita.
Penghasut tidak mempunyai ruang dalam Malaysia dimana rakyatnya hidup aman, rukun damai walaupun berbeza pandangan politik.
Politik yang matang merupakan mimpi ngeri puak penghasut yang dangkal dan mereka tahu Najib telah bertindak untuk mematangkan lagi politik tanahair, terutamanya dengan pemansuhan ISA.
Janganlah kita terperangkap dalam politik kotor lagi dangkal yang dipelopori mereka yang terdesak.
Terima Kasih.
Zahrain Mohd Hashim
Ahli Parlimen Bayan Baru
No comments:
Post a Comment