Thursday, March 10, 2011

RASUAH bukan budaya kita!


Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera.

Umum tahu peperangan mencegah dan menghapuskan rasuah bukanlah sesuatu yang mudah, namun ianya juga bukanlah sesuatu yang mustahil.

Dalam Negara kita usaha memerangi gejala jijik ini di-terajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia – SPRM.

Sebenarnya rasuah adalah satu penyakit atau budaya asing bagi kita orang Malaysia namun disebabkan pelbagai faktor, termasuk kesan sampingan pembangunan ekonomi yang pesat, jenayah ini semakin menjadi-jadi.

Walaupun tahap jenayah rasuah di-dalam Negara kita secara relatifnya masih rendah namun budaya jijik ini berpotensi menjadi ancaman utama kepada masyarakat.

Jika masyarakat diselubungi rasuah maka Negara ini tidak akan selamat.

Dalam konteks ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Abu Kassim bukan sahaja telah mengharumkan nama SPRM secara khusus tetapi pengiktirafan di-tangga ke-empat diantara 100 individu paling berpengaruh dalam dunia dari segi etika perniagaan adalah sesuatu yang menjadi kebanggaan Negara dan seluruh rakyat.

Budaya rasuah bukan budaya kita dan pengiktirafan dunia kepada Abu Kassim adalah bukti bahawa usaha kita mencegah dan menghapuskan rasuah mendapat perhatian dunia.

Saya harap rakyat Malaysia akan bangun membantu Abu Kassim dan SPRM untuk mencegah budaya jijik ini daripada menghancurkan Negara dan masa depan anak-anak kita.

Janganlah ada di-antara kita yang tanpa segan silu mempolitik-kan usaha mencegah budaya rasuah didalam masyarakat kita.

Saya tahu tentang adanya usaha segelintir pihak untuk menghakis kepercayaan dan kredibiliti institusi yang menjadi tunjang kerajaan kita.

Saya pasti umum sedar akan tindakan pihak berkepentingan untuk mencemar imej dan kredibiliti SPRM demi agenda politik mereka.

Kematian saksi utama dalam kes penyiasatan rasuah beberapa pemimpin DAP baru-baru ini adalah bukti nyata tentang wujudnya usaha politik untuk menghancurkan imej SPRM.

Saya pasti rakyat mengikuti perkembangan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja berhubung kes kematian Teoh Beng Hock dan telah mula sedar akan sandiwara politik yang menyelubungi isu tersebut.

Seperti yang pernah saya nyatakan beberapa kali sebelum ini tanggungjawab mencegah, memerangi dan menghapuskan rasuah dinegara ini harus digalas bersama oleh semua pihak.

Rakyat harus bangun membantu SPRM dalam peperangan ini.

Jangan terpedaya dengan mainan politik mereka yang berkepentingan, lebih-lebih lagi puak yang cuba menutup kelemahan dan jenayah yang telah mereka lakukan.

Bantulah SPRM demi masa depan kita, rasuah bukan budaya kita.

Tahniah Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, saya pasti rakyat akan bersama SPRM.


Terima kasih.

Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru