Thursday, March 15, 2012

Perbahasan Parlimen 2012 - 15 March 2012


Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim

Dewan Rakyat - Parlimen Malaysia

Assalammualaikum Warahmatullahiwabarakatuh.

Tuan Yang Di-Pertua,

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa terima kasih kerana diberi peluang membahaskan Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Sememangnya Titah Ucapan SPB Yang DiPertuan Agong pada hari Isnin, ketika pembukaan sidang dewan pada kali ini, amat bermakna dan membawa teguran serta nasihat yang harus kita hayati.

Antara nasihat SPB Yang DiPertuan Agong diDewan Yang Mulia ini adalah agar kita rakyat Malaysia bersatu padu, taat kepada Negara tercinta ini dan jangan sekali-kali menjadi pengkhianat.

Tuan Yang DiPertua,


Sebelum mengulas lanjut saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana usaha transformasi kerajaan berjalan lancar dan telah mula membuahkan hasil.

Secara umumnya rakyat Malaysia bersyukur kerana mempunyai seorang pemimpin dan barisan anggota kerajaan yang memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.

Terdapat kelemahan-kelemahan khusus dalam kerajaan dan sistem pentadbiran kita, yang saya fikir akan diperbaiki dari masa kesemasa demi kepentingan rakyat.

Berdasarkan rekod serta iltizam yang dipelopori YAB Perdana Menteri, serta saranan Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, saya pasti rakyat akan berdiri teguh dibelakang pemimpin Negara yang mengutamakan perpaduan, keselamatan serta kemakmuran Negara dan rakyat.

Tuan Yang DiPertua,

Dewasa ini politik songsang merupakan satu ancaman serius kepada perpaduan, keselamatan serta kemakmuran bumi bertuah ini.

Politik songsang berasaskan nafsu gila kuasa, yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamat, kini telah menjadi mainan harian.

Segelintir manusia yang kemaruk kuasa dan ingin menguasai Putrajaya walau dengan apa cara sekalipun sedang giat memperluaskan budaya politik songsang ini.

Politik songsang yang dipelopori puak yang terdesak ini menghalalkan yang haram, dan mengharamkan yang halal.

Tuan Yang DiPertua,

Umpama pepatah ‘bersatu kita teguh bercerai kita roboh’, perpaduan adalah tunjang negara kita.

Tunjang inilah yang kini diserang bertubi-tubi oleh mereka yang mengamalkan politik songsang.

Pelbagai helah dan tipu daya digunakan untuk mengelirukan serta menghasut rakyat agar menentang kerajaan.

Masyarakat pelbagai kaum diasak dengan bermacam hasutan yang bertujuan menimbulkan kebencian diantara kaum, sekaligus memecahbelahkan masyarakat.

Jika dahulu politik menjurus kepada perpaduan dan pembaharuan, kini politik diracuni pelbagai elemen kurang sihat serta anasir yang tekad untuk menggulingkan kerajaan.

Tuan Yang Di-Pertua,

Rata-rata rakyat yang cintakan keamanan dan kemakmuran kini risau akan usaha pihak pembangkang kita yang menagih simpati serta bantuan asing untuk menggulingkan kerajaan.

Kita tahu bahawa ada parti politik pembangkang serta beberapa badan bukan kerajaan atau NGO yang terbukti bersekongkol untuk menjatuhkan kerajaan kita.

Mereka telah menjalinkan hubungkan yang begitu akrab dan bergerak atas nama demokrasi, hak asasi serta kebebasan. Tujuan jahat golongan ini hanyalah untuk meletakkan pemimpin boneka mereka ditampuk kuasa.

Tuan Yang Di-Pertua,


Apa yang saya dedahkan ini bukanlah rekaan semata-mata kerana saya mempunyai bukti kukuh akan penglibatan pihak luar dalam politik tempatan.

Saya mencabar pemimpin Parti Keadilan Rakyat untuk menafikan yang modul serta gerak kerja pilihanraya mereka disusun dan diolah oleh dua buah badan asing dengan kaitan puak Yahudi, iaitu Konrad Adeneur Foundation (KAF) dan National Democratic Institute for International Affair (NDI).

Kedua-dua badan yang nyata mempunyai hubungan yang begitu akrab dengan pelobi Yahudi antarabangsa berperanan menyediakan ‘operating procedure’ atau gerak-kerja bagi parti PKR untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang.

Malah anasir-anasir ini telah mula bergiat ketika beberapa pilihanraya kecil dan sewaktu pilihanraya negeri di Sarawak pada tahun lepas.

Bahan latihan & Kempen Pilihanraya ( Election Preparation Kit) Parti Keadilan Rakyat ini di-sediakan dengan bantuan dan tajaan pihak asing.

Wakil beberapa NGO tempatan serta parti politik juga telah dilatih dinegara luar akan cara-cara untuk menentang kerajaan. Salah satu latihan khusus mereka ialah bagaimana untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Helah atau topeng yang selalu digunakan adalah konon-nya perjuangan mereka adalah untuk menegakkan demokrasi, kebebasan serta hak asasi manusia.

Tuan Yang Di-Pertua,

Penglibatan pihak asing, terutamanya badan-badan pelobi Yahudi, dalam urusan politik tanahair adalah sesuatu yang amat berbahaya kerana ianya mampu menjerumuskan kita kekancah konflik sesama sendiri.

Apa yang saya sebutkan ini tidak mustahil. Lihat saja apa yang berlaku di beberapa Negara Islam di Timur Tengah.

‘Arab Spring’ tidak terjadi dengan sendiri-nya dan beberapa siri penangkapan penghasut Barat telah membuktikan campur tangan asing di negara-negara Islam.

Seperti yang di-ingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, kita harus berwaspada akan kuasa asing yang mempergunakan NGO untuk menghasut rakyat dan menjatuhkan kerajaan.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mendesak pihak Kementerian Dalam Negeri agar menubuhkan satu badan khas untuk menyiasat penglibatan ‘orang asing’ dalam politik tanahair.

Pihak KDN tidak harus mengambil mudah akan perkara ini kerana jika dibiarkan tanpa apa-apa tindakan, pengkhianat yang gila kuasa akan menjual negara ini untuk memuaskan nafsu rakusnya.

Jika yang mengaku konon-nya pemimpin Islam tersohor sanggup ‘menjamin keselamatan negara Israel’, kita harus berwaspada agar pemimpin sebegini tidak mempelawa ‘Israel menjamin keselamatan negara kita’.

Tuan Yang Di-Pertua,

Sedang PKR dan pimpinan mereka terjerumus dengan anasir luar yang berhasrat memporak-perandakan negara kita, ada segelintir lagi puak pembangkang yang tidak jemu memperjuangkan pengganas Komunis.

Pengganas Komunis yang suatu ketika dahulu membunuh orang awam serta anggota keselamatan kita kini ingin dijulang sebagai pejuang kebebasan.

Saya difahamkan terdapat usaha terbaru untuk mendesak kerajaan agar ketua pengganas Komunis Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia untuk meghabiskan sisa-sisa hidupnya.

Tuan Yang Di-Pertua,


Jika Kerajaan akur dengan desakan puak chauvinis yang ingin memperjuangkan hak Chin Peng untuk kembali ke Malaysia, saya ingin mendesak agar Chin Peng diklasifikasikan sebagai penjenayah perang.

Saya juga ingin mendesak Kerajaan agar Chin Peng dihadapkan ke Tribunal Jenayah Perang yang berpengkalan di Kuala Lumpur kerana kesalahan membunuh orang awam serta anggota keselamatan kita.

Baru-baru ini Malaysia telah di-iktiraf sebagai negara yang paling selamat di Asia Tenggara. Janganlah kita sia-siakan usaha serta kejayaan pihak berkuasa ini dengan membenarkan ketua pengganas bertapak kembali dibumi bertuah ini.

Tuan Yang Di-Pertua,

Tanggal 8 Mac lepas, genaplah empat tahun sejak pilihanraya umum 2008 dimana pihak pembangkang berjaya menubuhkan kerajaan dibeberapa negeri.

Politik tanahair agak kucar kacir semenjak Mac 2008 kerana - ‘umpama beruk dengan kalung bunga’ -pihak yang tiba-tiba terduduk disingahsana, mabuk kuasa.

Saya pasti rakyat pun telah jemu dengan gelagat pembangkang kerana tidak ada sehari pun yang berlalu tanpa polemik politik pembangkang sejak pilihanraya umum 2008.

Walaupun telah berjaya mendirikan kerajaan dibeberapa negeri namun tumpuan mereka bukanlah untuk mentadbir tetapi mencari kesalahan orang lain.

Saban hari ada sahaja tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap pemimpin negara.

Tuan Yang DiPertua,


Demokrasi subur dinegara kita. Jika tidak, mana mungkin pihak pembangkang berkuasa di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor?

Jika demokrasi dan kebebasan tidak wujud, mana mungkin seorang bekas banduan menjadi ketua pembangkang?

Menerusi amalan demokrasi lah rakyat di Kelantan, Pulau Pinang, Kelantan serta Selangor telah memberi kepercayaan mereka kepada pihak pembangkang dalam pilihanraya tahun 2008.

Tetapi, apakah mereka yang menagih sokongan rakyat dan berjaya menubuhkan kerajaan telah mengotakan janji dan berkhidmat demi kepentingan rakyat?

Tuan Yang Di-Pertua,

Rakyat di-negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat harus ‘tepuk dada tanya selera’. Apakah pencapaian sebenar Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang serta Selangor?

Selain menyalahkan kerajaan Barisan Nasional serta pemimpin negara, apa sumbangan sebenar Pakatan Rakyat dalam membangunkan negeri-negeri ini?

Selangor serta Pulau Pinang masih bermegah dengan pelaburan serta hasil kerja kerajaan negeri terdahulu manakala nasib rakyat Kedah dan Kelantan semakin hari semakin merudum.

Pulau Pinang kini masyhur dengan skandal penjualan tanah rakyat di Bayan Mutiara, Kedah dikenali umum berikutan cubaan untuk menggulingkan Menteri Besar, nasib rakyat Kelantan semakin teruk dengan ketiadaan air bersih untuk diminum.

Tuan Yang DiPertua,

Negeri Selangor yang suatu ketika dahulu penjana utama ekonomi negara, kini bergantung kepada penjualan aset kerajaan.

Skandal kecurian pasir semakin menjadi-jadi dan baru-baru ini timbul pula skandal sampah. Saya pasti rakyat Selangor malu kerana memilih sebuah kerajaan yang tidak tahu hujung pangkal sehingga tidak mampu menguruskan masalah pembuangan sampah pun.

Disebabkan kegagalan mereka mentadbir negeri-negeri ini dengan berkesan pembangkang nyata terdesak dan untuk mengalih perhatian rakyat pelbagai helah serta tipu muslihat diperkenalkan.

Antara strategi pihak pembangkang yang memang saya ketahui ialah melemparkan tuduhan-tuduhan liar yang bersifat peribadi terhadap pemimpin tertinggi dengan harapan agar kepincangan diri sendiri dilupakan rakyat.

Satu lagi strategi yang agak merbahaya ialah menghasut rakyat dengan isu-isu perkauman, agama serta berusaha mengagalkan apa sahaja usaha kerajaan yang akan memberi faedah kepada rakyat.

Niat mereka ini amat jelas. Jika rancangan kerajaan untuk keselesaan rakyat gagal, maka rakyat akan kecewa dan marah kepada kerajaan. Kekecewaan itu akan dicanang dengan pelbagai tuduhan seperti rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

Matlamat mereka hanyalah untuk menimbulkan rasa tidak senang dan kebencian terhadap kerajaan.

Tuan Yang Di-Pertua,

Strategi sedemikianlah yang digunakan pihak pembangkang dalam usaha untuk mengagalkan program kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, baucer buku untuk penuntut, program pemilikan rumah dan lain-lain.

Jika rakyat berpuashati dan gembira dengan program kerajaan, maka hilanglah sokongan kepada Pakatan Rakyat – yang rata-rata berasaskan politik kebencian atau ‘politics of hatred’.

Usaha menggagalkan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad adalah satu lagi tindakan jahat pihak pembangkang yang ingin mensabotaj kerajaan serta peneroka.

Kenapa pihak pembangkang bertekad untuk mengagalkan penyenaraian sebuah syarikat Bumiputera yang bakal mendatangkan hasil jangka panjang kepada peneroka dan kerajaan?

Apakah pembangkang benar-benar ingin memperjuangkan nasib peneroka dan menjaga kepentingan Felda atau adakah ini helah politik serampang dua mata?

Tuan Yang Di-Pertua,


Sebagai wakil rakyat kita harus bertanggungjawab dan berdasarkan tanggungjawab ini saya telah membuat sedikit penyelidikan berhubung kemelut ini.

Nampaknya, tuduhan pembangkang bahawa peneroka akan kehilangan tanah milik mereka bila FGVH disenaraikan di Bursa Saham adalah tidak berasas sama sekali.

Mana mungkin peneroka kehilangan tanah mereka bila FGVH adalah sebuah syarikat milik penuh kerajaan yang tidak melibatkan walaupun seinci tanah milik peneroka?

Menurut fakta-fakta penyenaraian yang dibentangkan pihak Felda, lebih 100,000 peneroka Felda bakal menerima durian runtuh dengan penyenaraian FGVH kerana kerajaan mengutamakan masa depan peneroka.

Imbuhan yang bakal diterima peneroka adalah atas dasar kerajaan yang mengutamakan tanggungjawab sosial peneroka dan bukan kerana tanah milik peneroka dijual kepada mana-mana pihak.

Tanah milik peneroka akan tetap menjadi milik peneroka. Saya ingin tegaskan disini bahawa tanah milik peneroka tidak terlibat langsung dalam penyenaraian FGVH. Ini adalah fakta, yang pembangkang war-warkan hanya auta.

Kempen maklumat palsu terancang yang didalangi pihak pembangkang sebenarnya telah merugikan peneroka apabila Koperasi Permodalan Felda (KPF) dihalang dari menjadi penyampai hasil penyenaraian kepada peneroka.

Dalang yang membantutkan usaha KPF adalah dari pihak pembangkang yang sanggup berjanji menerusi satu lagi manifesto mereka bahawa penyenaraian FGVH akan dihentikan jika Pakatan Rakyat menerajui kerajaan persekutuan.

Janji pembangkang tersebut adalah bukti nyata akan peranan mereka untuk mengagalkan usaha kerajaan.

Tuan Yang Di Pertua,

Rancangan tersusun pembangkang untuk menggagalkan penyenaraian FGVH ini sebenarnya adalah satu gerakan halus untuk mensabotaj ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

Rancangan halus ini mungkin tidak disedari sebahagian besar peneroka namun inilah hakikatnya. Jika tidak, kenapa usaha untuk mewujudkan sebuah syarikat perladangan yang ke-empat terbesar didunia dihalang sebegitu rupa sehingga sanggup memohon injunki mahkamah?

Apakah syarikat Melayu/Bumiputera tidak layak bergiat dipersada antarabangsa? Kenapa penyenaraian syarikat-syarikat bukan Bumiputera tidak menerima tentangan yang sedemikian rupa?

Perdana Menteri, pengerusi dan pengarah urusan kumpulan Felda telah berulang kali menyatakan secara rasmi bahawa 500,000 hektar tanah peneroka tidak akan digunakan dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO).

Felda juga telah menyatakan bahawa ia akan terus memberikan sokongan dan bantuan kepada para peneroka, satu peranan yang telah dimainkan Felda selama hampir 56 tahun.

Tuan Yang Di-Pertua,

Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf kepada rakyat baru-baru ini atas kepincangan lampau Barisan Nasional atas satu contoh terbaik pemimpin berjiwa besar.

Tindakan Perdana Menteri itu mencerminkan keikhlasan beliau untuk berkhidmat untuk rakyat.

Rakyat amat menyanjung tinggi seorang pemimpin yang amat merendah diri dan sanggup memohon maaf tanpa mengira darjat dan kedudukan.

Seperti biasa puak pembangkang tetap memperlekehkan tindakan Perdana Menteri malah timbul pula tuduhan-tuduhan peribadi keatas beliau serta keluarga.

Tuduhan-tuduhan terbaru ini adalah tindakan mereka yang terdesak, berikutan peningkatan populariti Perdana Menteri dan kerajaan.

Tuan Yang Di-Pertua,

Perdana Menteri telah memohon maaf atas kepincangan lampau BN tetapi saya pasti rakyat pasti tertanya-tanya jika pemimpin-pemimpin pembangkang akan menuruti langkah Datuk Seri Najib.

Saya rasa pemimpin veteran DAP harus meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana peranan mereka dalam mencetuskan peristiwa berdarah May 13, 1969.

Pemimpin PAS harus meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya kepada umat Islam, kerana membakul sampahkan perjuangan menegak-kan negara Islam.

Presiden PAS harus meminta maaf secara terbuka kerana mengkafirkan pemimpin, ahli serta penyokong Umno menerusi Amanat Haji Hadi yang kini nyata telah memakan diri sendiri.

Tuan Yang Di Pertua,


Video seks seorang pemimpin pembangkang kini tersebar luas di Indonesia, Jepun, India dan beberapa negara serantau.

Saya sendiri telah menerima puluhan panggilan telefon dari kenalan dibeberapa negara jiran yang terkejut dengan aksi lucah pemimpin pembangkang tersebut.

Apakah pemimpin pembangkang ini juga akan memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana telah mendatangkan aib kepada negara.

Rakan-rakan di-Indonesia kini menggelar pemimpin pembangkang tersebut sebagai ‘Duta Porno Malaysia’. Ini amat memalukan negara kita.

Saya mendesak agar pemimpin pembangkang ini memohon maaf secara terbuka kerana memalukan rakyat dan negara Malaysia di mata dunia.


Tuan Yang Di Pertua,


Besar kemungkinan persidangan dewan kali ini adalah yang terakhir sebelum pilihanraya umum yang ke 13.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya sendiri dan rakyat negara bertuah ini agar tidak sekali-kali menggadaikan kedaulatan, keselamatan serta perpaduan yang kita kecapi selama ini.

Politik menjadi wadah untuk menentukan pimpinan negara tetapi cara berpolitik dan individu yang berpolitik harus matang.

Mereka yang beraksi dipentas politik semata-mata untuk memuaskan nafsu peribadi tidak mungkin dapat menjamin kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

Saya harap rakyat akan sentiasa berfikir secara matang sebelum membuat apa-apa keputusan yang mempunyai implikasi besar terhadap masa depan anak-anak kita.

Terima kasih.

Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

(Konsensus Bebas)

1 comment:

Anonymous said...

TERBAIK....