Thursday, October 25, 2012

Zahrain tempelak Bung - UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 24 Okt. - Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menempelak tindakan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang mendakwa tokoh korporat Melayu, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary memonopoli semua jenis perniagaan di negara ini.

Zahrain memberitahu, sebagai seorang ahli UMNO yang berjuang untuk orang Melayu, Bung Mokhtar seharusnya bangga serta menyokong kejayaan yang telah dikecapi oleh anak Melayu seperti Syed Mokhtar dan bukan mengkritiknya. 

Sambil melahirkan rasa kecewanya dengan tindakan itu, Zahrain berharap Bung Mokhtar akan segera menarik balik kenyataan yang telah dikeluarkan terhadap tokoh perniagaan negara berkenaan. 

"Bercakap soal monopoli, sektor perniagaan dan perdagangan di negara kita dikuasai oleh golongan bukan Melayu. Kalau ada anak Melayu yang mampu bersaing dengan bukan Melayu dalam bidang ini, mengapa kita harus pertikaikan dan kritik, kita sepatutnya beri sokongan kepada beliau. 

"Saya secara peribadi tidak berpendapat beliau (Syed Mokhtar) memonopoli pelbagai jenis perniagaan di negara ini kerana beliau hanya menyertai projek-projek atau perniagaan tertentu yang akhirnya terbukti dapat dijayakannya. 

"Ada peniaga-peniaga Melayu yang diberikan peluang dan tempat tetapi gagal, jadi kita harus bangga dengan Tan Sri Syed Mokhtar," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini. 

Beliau mengulas kenyataan Bung Mokhtar pada persidangan Dewan Rakyat semalam yang mengkritik Syed Mokhtar dengan menyifatkannya sebagai cuba memonopoli semua jenis perniagaan di negara ini sama ada di darat, laut mahupun udara. 

Menurut Zahrain, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung kenyataan Bung Mokhtar itu tetapi menyifatkannya tidak adil kepada ahli perniagaan Melayu yang berjaya. 

"Saya pelik, bagaimana Bung Mokhtar yang sepatutnya mempertahankan ahli perniagaan Melayu seperti Syed Mokhtar, sebaliknya mengkritik beliau," jelasnya. 

Tambah Zahrain, isu membabitkan Syed Mokhtar ini seolah-olah memberi gambaran bahawa orang Melayu sentiasa tidak senang dengan kejayaan orang Melayu yang lain. 

"Perasaan cemburu, dengki dalam hati yang timbul apabila melihat kejayaan orang lain perlu dikikis. Kita sewajarnya menyokong dan berkongsi rahsia kejayaan masing-masing untuk manfaat orang Melayu yang lain," ujarnya. - Utusan Malaysia




No comments: