Wednesday, September 5, 2012

Yang benar itu pasti timbul



Assalammualaikum,

Saya amat tertarik dengan kenyataan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Mansor Othman baru-baru ini yang secara terus terang melabel Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai seorang individu yang sombong, bongkak dan ‘cocky’.

Mansor yang juga  Pengerusi PKR Pulau Pinang juga telah menyatakan bahawa Guan Eng adalah seperti ‘tokong’ kepada orang Cina dan sebab itu beliau amat bongkak.

Kenyataan Mansor ini bukan-lah khabar angin tetapi adalah perkara nyata yang di-ucapkan dihadapan pimpinan tertinggi PKR Pulau Pinang ketika mesyuarat strategik PKR.

Segala ungkapan Mansor ini tercatit secara terperinci dalam minit mesyuarat strategik tersebut yang telah membincangkan soal kelangsungan PKR di Pulau Pinang yang dikuasai DAP.

Saya percaya minit mesyuarat strategik PKR itu dibocorkan sendiri oleh segelintir pemimpin PKR yang sudah tidak tahan dengan sikap ‘big brother’ DAP dan khususnya sikap bongkak Lim Guan Eng.

Perkembangan terkini ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan saya sebagai bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang kerana oleh kerana sikap Lim Guan Eng sudah terserlah sebaik sahaja Pakatan menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang.

Saya telah menyatakan secara jelas dalam kenyataan saya ketika pengumuman keluar dari PKR pada 12hb Februari, 2010 bahawa Lim Guan Eng adalah seorang individu yang chauvinis, extremis, diktatorial dan berfikiran ala komunis.

Saya yakin pada ketika itu sikap Lim Guan Eng yang angkuh dan bongkak serta mengamalkan politik ‘Middle Malaysia’ yang sempit akan menjejaskan masa depan rakyat Pulau Pinang, terutamanya orang Melayu serta golongan yang kurang berkemampuan.

KENYATAAN SAYA pada 12hb Feb, 2010.

Mansor telah cuba sedaya upaya untuk menafikan kenyataan beliau terhadap Lim Guan Eng ekoran kebocoran minit mesyuarat tersebut namun yang nyata tidak mungkin dapat dinafikan, lebih-lebih lagi bila kenyataan dibuat dihadapan barisan pimpinan PKR negeri.

Saya difahamkan Mansor telah didesak malah di-ugut pelbagai pihak, termasuk pimpinan PKR pusat serta pemimpin DAP untuk menarik balik atau menafikan kenyataan beliau.

Kini kredibiliti serta masa depan Mansor sebagai wakil rakyat umpama telur dihujung tanduk, namun saya berharap agar Pengerusi PKR Pulau Pinang itu tidak mudah menggadai maruah diri serta agama dan bangsa demi pangkat dan jawatan.

Sebagai seorang pemimpin akar umbi yang mewakili kepentingan orang Melayu dan Islam didalam kerajaan negeri yang didominasi DAP, Mansor harus berdiri teguh atas prinsip kebenaran dan bukan-nya menjadi boneka mereka yang tamak kuasa.

Jangan gadaikan maruah bangsa kerana di-ugut akan dilucutkan jawatan atau tidak dicalonkan dalam pilihanraya. Keluarlah dari bayang-bayang DAP dan Lim Guan Eng kerana bukan mereka yang melantik saudara untuk menjaga kepentingan rakyat.

Sebenarnya kenyataan Mansor dalam mesyuarat strategik PKR negeri tempohari telah memberi keyakinan baru kepada saya bahawa orang Melayu dan mereka yang tertindas dibawah pimpinan diktatorial DAP mampu bangun menentang kemungkaran.

Saya pasti masyarakat akan menyokong pemimpin yang berani menyatakan kebenaran, walaupun kebenaran itu pahit. Yang dayus akan kekal terhina.

Terima Kasih.


No comments: