Wednesday, January 4, 2012

Rasuah dan sandiwara pembangkang

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012 kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya mereka yang mengikuti perkembangan semasa.

Sejak kebelakangan ini laungan suara sumbang anti-kerajaan semakin lantang didalam negara kita ini.

Walaupun suara-suara sumbang ini bukan lah baru tetapi isu dan cara sesuatu isu itu digembar-gemburkan ternampak pelik, lucu dan amat terdesak.

Usaha pihak tertentu untuk memperbodoh serta mengapi-apikan sentimen rakyat semakin kerap dan ketara mutakhir ini.

Mereka yang terdesak sanggup melakukan apa saja demi kelangsungan agenda mereka.

Agenda golongan ini, termasuk yang terdesak untuk membelakangkan undang-undang demi nafsu politik, adalah amat nyata.

Saya khuathir jika putar-belit golongan ini tidak di dedahkan, rakyat mungkin terpedaya.

Salah satu isu yang sering di perbesarkan tanpa henti ialah isu rasuah. Rasuah memang wujud dalam negara kita, malah tidak ada satu pun negara dalam dunia ini yang bebas rasuah secara mutlak.

Seperti gejala penyalahgunaan dadah, pelacuran, sumbang mahram, liwat serta jenayah jijik yang lain, rasuah masih menjadi salah satu musuh utama negara.

Laporan Transparency International baru-baru ini, walaupun tidak 100% sempurna laporan tersebut, jelas menunjukan bahawa tidak ada satu pun negara dalam dunia ini yang bebas dari gejala rasuah.

Perang menentang rasuah adalah sesuatu yang berterusan dan kini usaha ini telah di-lipat gandakan menerusi pelan Transformasi Kerajaan yang diperkenalkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kita sedar gejala rasuah tidak dapat dihapuskan dalam sekelip mata. Negara yang mengamalkan hukuman mati untuk pesalah rasuah seperti Republik Rakyat China sekalipun masih berhadapan dengan gejala jijik ini.

Apa yang pelik dalam negara kita ialah kewujudan segelintir ahli politik pembangkang yang begitu licik mengaburi mata rakyat konon-nya mereka lah pejuang menentang rasuah.

Kita wajib menyokong mereka yang menentang rasuah, malah seluruh rakyat harus berdiri teguh dibelakang kerajaan yang tegas memerangi rasuah, tetapi yang harus kita tentang juga adalah golongan ahli politik hipokrit.

Golongan yang tidak mengenal erti malu ini ini sebenarnya cuba mengaburi mata rakyat dengan sandiwara dan tipu muslihat mereka untuk memperdayakan rakyat, terutamanya golongan muda.

Perbuatan segelintir ahli politik pembangkang ini adalah sama jika tidak lebih jijik daripada rasuah itu sendiri kerana apa yang mereka lakukan ialah cuba menutup pekung mereka dengan menuduh orang lain.

Kita akui bahawa gejala rasuah memang wujud tetapi apakah tahap rasuah kita begitu teruk sehingga segala-galanya lumpuh seperti yang sering dibayangkan oleh puak pembangkang di Malaysia ini?

Rakyat harus berfikir sejenak dan bertanya “Apakah puak pembangkang yang saban hari berteriak tentang rasuah ini benar-benar ingin menghapuskan rasuah atau mereka semata-mata ingin mencari modal politik untuk memburukkkan kerajaan?

Jika benar DAP anti-rasuah kenapa pemimpin mereka yang terlibat secara langsung/tidak langsung dalam gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa masih digelar pemimpin DAP?

Jika benar DAP anti-rasuah, kenapa luahan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang tentang kewujudan rasuah dalam DAP tidak di-siasat sehingga kini?

Jika DAP anti-rasuah, kenapa pemimpin mereka yang, secara tidak langsung, menyebabkan kematian saudara Teoh Beng Hock masih bergelar pemimpin DAP?

Ya, kita akui Teoh Beng Hock didapati membunuh diri tetapi mengapa dan kenapa Teoh Beng Hock di-siasat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada ketika itu?

Bukan kah beliau disiasat berhubung siasatan rasuah/salah guna kuasa pemimpin DAP Selangor?

Bila suami seorang pemimpin wanita didapati bermasalah dengan pinjaman kerajaan, pemimpin tersebut diminta meletak kan jawatan tetapi kenapa pemimpin DAP yang jelas memberi kontrak kepada syarikat isteri nya sendiri tidak didesak sedemikian rupa?

Apakah pimpinan PKR di-Selangor dan Menteri Besar yang gemar berkereta besar di negeri jajahan Pas di utara tanahair bebas rasuah?

Apa kesudahan kes kecurian pasir dan rumah urut serta pelacuran yang berleluasa di negeri Selangor?

Saya berharap seluruh rakyat Malaysia akan berdiri teguh dibelakang SPRM dan pelan transformasi kerajaan untuk menghapuskan gejala rasuah dikalangan anggota masyarakat kita.

Saya juga ingin menyeru agar ahli politik yang muflis modal politik tidak melacurkan diri dengan menonjolkan diri sebagai pejuang anti-rasuah.

Jika benar ada dikalangan ahli politik pembangkang yang benar-benar anti-rasuah, maka mereka ini harus keluar mendesak diadakan satu siasatan ke atas perlakuan rasuah serta salahguna kuasa di kalangan ahli politik pembangkang.

Jika benar ada diantara ahli politik pembangkang dalam negara ini benar-benar ikhlas, maka mereka ini harus tampil menyokong SPRM dan bukan-nya menanti ditepi untuk mempolitik-kan setiap isu, seperti anjing menanti tulang.

Saya terkilan sehingga ke hari ini kenapa tidak ada satu pun pemimpin pembangkang yang menghargai kejayaan SPRM dalam membenteras gejala rasuah.

Apakah SPRM tidak layak di-hargai apabila mereka membongkar kes-kes besar seperti sindiket di Jabatan Kastam dan baru-baru ini di Iskandar Investment Berhad di Johor?

Kejayaan – kejayaan SPRM tersebut telah menyelamatkan berbillion ringgit duit rakyat.

Rakyat harus sedar bahawa suara-suara pemimpin serta ahli politik pembangkang yang konon nya anti-rasuah adalah tidak lebih dari sandiwara politik.

Jika bukan sandiwara, masakan mereka ini dapat tidur sebantal dengan seorang bekas Menteri Kewangan yang sungguh jijik perilakunya, di dalam dan di luar kamar tidur.


Terima Kasih,

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

No comments: