Usul Di-bawah Perkara 18 (1) oleh Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim.
Tan Sri Tuan Yang Di-Pertua,
Mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1), saya mohon mencadangkan satu usul seperti berikut iaitu memohon Dewan Rakyat ditangguhkan untuk membahas Usul mengenai perkara tertentu, kepentingan rakyat dan perlu disegerakan.
Usul adalah seperti berikut;
“Bahawa, terdapat satu badan tidak berdaftar yang menamakan diri mereka Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau BERSIH yang mengancam untuk mengadakan perhimpunan pada 9hb Julai, 2011 ala demonstrasi jalanan seperti yang mereka lakukan pada 10hb Dec 2007 yang mengancam keselamatan negara dan ekonomi rakyat turut terjejas dgn teruk.
“Bahawa, segala tindakan BERSIH tidak mencerminkan badan yang memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan telus, sebaliknya bermotifkan politik kepartian.
“Bahawa ada bukti nyata yang mendedahkan tindakan pemimpin BERSIH menghasut rakyat agar mengadakan rusuhan ala-Mesir.
“Bahawa, kegiatan lampau BERSIH membuktikan kumpulan ini mempunyai agenda politik sempit dan berhasrat mengelirukan rakyat demi mencapai matlamat politik mereka.
“Bahawa, tindakan haram BERSIH menghasut rakyat mengadakan demonstrasi jalanan pada 9hb Julai, 2011 di Kuala Lumpur akan menggugat keselamatan Negara.
DENGAN ini Dewan mengambil ketetapan seperti berikut :
1) Mengecam sekeras-kerasnya segala tindakan haram BERSIH, terutamanya tindakan menghasut rakyat agar merusuh dijalanan seperti di Tunisia dan Mesir serta beberapa negara Asia Barat.
(2) Mendesak pihak BERSIH dan sekutunya membatalkan segera rancangan untuk mengadakan demonstrasi jalanan pada 9hb Julai, 2011 di Kuala Lumpur atau dimana-mana tempat di-dalam Negara ini demi keselamatan rakyat dan negara.
(3) Mendesak pihak BERSIH dan sekutunya bertindak berdasarkan lunas undang-undang Negara dan tidak melibatkan diri dalam aktiviti yang mampu menganggu-gugat keselamatan Negara.
(4) Mengambil maklum bahawa mungkin wujud kelemahan-kelemahan khusus dalam proses pilihanraya Negara tetapi cadangan penambahbaik atau memorandum boleh di-sampaikan kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Suruhanjaya Pilihanraya atau mana-mana pihak tanpa perlu mengadakan tunjuk perasaan jalanan.
(5) Mendesak supaya pihak Menteri Dalam Negeri dan Polis Di-Raja Malaysia bertindak tegas dengan menggunakan segala undang-undang yang ada dan mengambil langkah-langkah pencegahan yang perlu untuk memastikan keselamatan Negara dan ketenteraman awam.
Saya ingin mengucapkan ribuan terimakasih kepada Tan Sri Yang Di-Pertua kerana membenarkan Dewan Yang Mulia ini membincangkan isu penganjuran demonstrasi jalanan di ibu Negara.
Kita di-Malaysia amat bernasib baik kerana dikurniakan keadaan yang aman damai, selamat, stabil dari segi politik dan ekonomi serta rakyat dapat menjalankan kegiatan harian mereka tanpa takut atau khuathir akan apa-apa ancaman.
Namun setelah lebih separuh abad kita merdeka dan mula mentadbir Negara kita sendiri timbul pelbagai cabaran dalam segenap aspek perjalanan kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia.
Sebagai sebuah Negara yang merdeka kita telah melalui pelbagai cabaran dan titik hitam dalam Negara kita.
Komunis telah kita tewaskan, rusuhan kaum telah kita tangani, krisis ekonomi demi krisis ekonomi telah kita harungi dan pelbagai campurtangan asing telah kita tangkis dengan bijaksana.
Tetapi cabaran keatas kita sebagai sebuah Negara pelbagai kaum yang merdeka tidak pernah dan saya pasti tidak akan leka.
Antara cabaran kita yang paling getir kini ialah munculnya satu jenis fahaman atau pendekatan jahat yang memperbesar-besarkan perbezaan di-antara kita rakyat Malaysia.
Jika sebelum ini kita “celebrate our differences’ – dengan izin – sejak kebelakangan ini telah timbul satu keadaan dimana perbezaan agama, bangsa, cara hidup dan fahaman politik diantara kita diutamakan, malah dijadikan titik pencetus perasaan tidak senang diantara kita.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Jika dahulu kita berpolitik untuk membina Negara bangsa yang lebih maju kini politik nampaknya sering kali digunapakai untuk memecahbelahkan rakyat, selain mencaci kerajaan, pemimpin, agensi-agensi kerajaan dan institusi-institusi penting yang lain.
Saya ingin menarik perhatian ahli-ahli Dewan Yang Mulia ini kearah ini kerana kini telah timbul suatu gerakan tersusun untuk mencabar apa sahaja yang telah diterimapakai selama ini dari segenap aspek.
Pembaharuan atau “change’ – dengan izin – adalah perlu, relevan dan tidak dapat di-elakkan, namun apakah kita harus menggugurkan norma hidup kita sebagai rakyat Malaysia untuk menyambut pembaharuan ini?
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Tindakan kumpulan BERSIH yang berdegil ingin menganjurkan demonstrasi jalanan walaupun telah di-beri amaran oleh pihak berkuasa adalah contoh jelas bagaimana politik digunapakai untuk menimbulkan ketegangan dalam masyarakat kita.
Kumpulan ini telah berulangkali membuat pengumuman bahawa mereka adalah badan bukan kerajaan dan bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik. Kenyataan tersebut adalah satu pembohongan terancang kerana kita tahu mereka telah ‘mendendangkan lagu yang sama” pada tahun 2007.
Perhimpunan Bersih pada ketika itu juga dikatakan tidak berunsur politik tetapi, setelah rakyat diperbodohkan untuk menyertai perhimpunan aman, tiba-tiba ahli-ahli politik muncul dan membuat kenyataan dan tuntutan politik dan mengecam kerajaan.
Demonstrasi jalanan ketika itu telah menimbulkan pelbagai masalah dan kerugian kepada peniaga dan ribuan rakyat yang mencari pendapatan di-ibu Negara. Sektor pelancongan dan pengangkutan awam amat terjejas akibat demonstrasi haram itu.
Bukan sahaja ekonomi, ketenteraman awam dan keselamatan yang terjejas malah imej Negara dipersada antarabangsa tercalar berikutan publisiti negatif.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Ketika demonstrasi Bersih yang pada tahun 2007 saya masih terjebak dengan gerombolan yang terlibat secara langsung dalam perancangan itu dan saya tahu segala perancangan dan niat sebenar mereka.
Demonstrasi Bersih bukan mengenai Suruhanjaya Pilihanraya dan jauh sekali dari menuntut ketelusan proses pilhanraya. Demonstrasi Bersih menjadi suatu alat politik untuk menunjukkan kekuatan pihak pembangkang dan menghuru-hara kan sentimen rakyat terhadap kerajaan pada ketika itu.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Pada kali ini gerombolan Bersih diketuai pula oleh seorang bekas presiden Majlis Peguam Malaysia yang telah membuat kenyataan terbuka mendesak rakyat membuat rusuhan jalanan “ala-Mesir”.
Kerana pihak berkuasa tidak mengambil langkah-langkah pencegahan awal untuk menghalang demonstrasi jalanan Bersih pada tahun 2007, kini mereka lebih berani mencabar pihak keselamatan dan undang-undang Negara kita.
Saya ingin bertanya kepada segelintir ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan ini yang menyokong cadangan demonstrasi jalanan Bersih anjuran Ambiga Sreenivasan dan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu ini - Apa maknanya kenyataan Ambiga jika bukan satu tindakan jijik menghasut rakyat untuk merusuh ‘ala-Mesir’?
Kita tahu hampir 50 orang rakyat Mesir terbunuh dan beribu-ribu yang lain tercedera di Tahrir Square. Kerajaan Mesir di-tumbangkan menerusi demonstrasi jalanan yang bertukar menjadi rusuhan dan sehingga hari ini pun Mesir masih tidak aman. Pada hemat saya itulah demonstrasi atau rusuhan ‘ala-Mesir’!
Apakah kita ingin keadaan huru-hara seperti dinegara Mesir, Tunisia, Syria dan Yemen berulang ditanah air kita ini?
Tuan Yang Di-Pertua,
Segala tindakan BERSIH tidak mencerminkan badan yang memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan telus, sebaliknya jelas bermotifkan politik kepartian dan ada bukti nyata bahawa pemimpin BERSIH menghasut rakyat agar mengadakan rusuhan ala-Mesir.
Majlis Peguam kita juga nampaknya telah di-heret kekancah mainan politik jalanan yang kotor ini atas label demokrasi.
Saya harap ribuan peguam dalam Negara ini yang merupakan ‘silent majority’ – dengan izin – akan bangkit menentang peranan Majlis Peguam yang semakin hari semakin menjurus kepada tindak tanduk parti politik penentang kerajaan.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Sebagai wakil rakyat, saya khuatir tindakan haram BERSIH menghasut rakyat dengan mengadakan demonstrasi jalanan pada 9hb Julai, 2011 di Kuala Lumpur akan menggugat keselamatan Negara.
Sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab dan mementingkan keselamatan Negara dan kesejahteraan rakyat kita dalam Dewan Yang Mulia ini harus membincangkan isu ini secara rasional dan membuat ketetapan untuk menghalang sebarang bentuk tindakan yang mampu mengganggu gugat Negara ini.
Tidak ada asasnya merusuh atas helah menuntut pilihanraya yang lebih telus dan adil dalam keadaan di-mana puak pembangkang memerintah di-empat buat negeri.
Tidak ada asasnya untuk merusuh atas nama demokrasi apabila puak pembangkang telah menambah bilangan kerusi di Dewan Yang Mulia ini dan menafikan majoriti dua per tiga parti pemerintah pada pilihanraya umum yang lepas.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Saya tidak menolak kemungkinan masih ada kepincangan khusus dalam proses pilihanraya tetapi kita mempunyai saluran-saluran dan cara beradab untuk menyelesaikan kekusutan sedemikian.
Jika proses pilihanraya kita sebegitu kotor sehingga kita perlukan BERSIH untuk merusuh dijalanan, mana mungkin pembangkang menikmati kerusi empuk dalam Dewan yang Mulia ini? Mana mungkin mereka mentadbir negeri Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang umpama syarikat sendirian berhad mereka?
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Saya memohon agar Dewan Yang Mulia ini membuat ketetapan mendesak pihak Polis Di-Raja Malaysia bertindak lebih “pro-active”- dengan izin - dan mengambil langkah-langkah pencegahan yang perlu kerana demonstrasi Bersih pada kali ini mampu memporak-perandakan Negara ini.
Pada tahun 2007 Bersih bermaharajalela tetapi pada kali ini sudah ada gerakan rakyat diperingkat akar umbi untuk menentang Bersih dan rancangan-rancangan jahat yang di-tunjangi mereka ynag mendokong Bersih.
“The silent majority was silent in 2007 but it may not be the case this time around” – dengan izin – kerana rakyat sudah muak dengan demonstrasi dan rusuhan jalanan.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Apabila rakyat telah mula bangkit menentang unsur-unsur seperti Bersih dan cadangan demonstrasi jalanan mereka pada tarikh, waktu dan tempat yang sama, maka kemungkinan berlaku pertembungan adalah amat tinggi.
Apabila niat Bersih adalah untuk mengadakan demonstrasi atau rusushan ala-Mesir, maka situasi pertembungan dengan kumpulan lain mungkin akan menjadi umpama – pucuk dicita ulam mendatang – untuk menimbulkan kekacauan.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Saya cadangkan agar Dewan Yang Mulia ini juga membuat ketetapan agar demonstrasi jalanan di-haramkan di Negara ini.
Mereka yang ingin menunjuk perasaan boleh berhimpun di semua stadium-stadium yang tersergam indah di-segala pelusuk Malaysia.
Janganlah kita sekali-kali berniat menghancurkan keamanan dan kestabilan Negara tercinta ini demi nafsu politik diri sendiri.
Mudah-mudahan usaha dan doa agar Bersih tidak mengotorkan Negara tercinta ini buat kali kedua dimakbulkan Allah subhanahuwataala.
Saya mohon mencadangkan.
2 comments:
All this talks of bersih is interesting but i want to enquire sthg closer to home
1) what is being done to make it more pedestrian friendly btw bayan baru market n sunshine square
2) accessibility to the library nearby
3) preservation of green lung n creation of public places
YB Dato',
Thank you for sharing. Please continue to push for some sanity in our political scene so that we are spared from a possible riot and lawlessness that affected a few Arab countries.
Maybe the way out is for YB to ask the Cabinet to acknowledge a few 'kepincingan besar' and put a timeline to address it via the people - not just the BERSIH groups. The rest of the population surely must have a say too.
Yes the Cabinet must be firmed to not allow anybody to instigate the public to create chaos. We are not Mesir, Yemen, or Libya.
Sick and tired of politicking -- please can the country focus on security, education and wages? Our income is not matching the cost of living. The influx of foreign labour is stopping Malaysia from a developed-world quality of life. Massive foreign labor only benefits business owners at the expense of citizen security, health and national culture.
sayangmalaysia
Post a Comment