Monday, October 11, 2010

SOALAN & USUL Ahli Parlimen Bayan Baru

SOALAN PARLIMEN

PARLIMEN KE 12 2010, PENGGAL KE TIGA, MESYUARAT KE TIGA

DATO’ SERI ZAHRAIN MOHAMED HASHIM

AHLI PARLIMEN BAYAN BARU

SOALAN UNTUK JAWAPAN LISAN

1. Minta Perdana Menteri menyatakan samada kerajaan bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja yang tempoh khidmatnya sepanjang tempoh RMK10 bagi memantau dan memastikan perancangan RMK10 berjaya?

2. Minta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan berhasrat untuk mengkaji semula klasifikasi ganja sebagai dadah merbahaya memandangkan banyak kajian telah dibuat oleh kerajaan dan institut luar negara telah mendapati ganja sebagai dadah kelas C sahaja?

3. Minta Menteri Pelajaran menyatakan apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan dalam memperbaiki pembelajaran Bahasa Inggeris, bahasa yang telah diterima sebagai

bahasa antarabangsa dan sains dan teknologi kini, di kalangan anak-anak muda dan

pelajar-pelajar terutamanya di kawasan luar bandar?

4. Minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan apakah nilai

perdagangan melalui “halal hub” sehingga kini?

5. Minta Menteri Pertanian dan Asas Tani menyatakan sejauh mana keberkesanan

perancangan kerajaan dalam mempertingkatkan pengeluaran padi dan beras negara agar

sekurang-kurangnya mampu menampung permintaan dalam negara?

6. Minta Menteri Luar Negeri menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk menubuhkan

jawatankuasa bersama untuk memantau hubungan bi-lateral antara Malaysia dan

Indonesia?

7. Minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan mengapakah laporan SUHAKAM tidak dibahaskan di Dewan Rakyat?

8. Minta Perdana Menteri menyatakan pandangan dan pendirian kerajaan bersabit dengan resolusi Kongres Ekonomi Bumiputra yang diluluskan pada 29 Mei, 2010?

9. Minta Menteri Kesihatan menyatakan adakah kerajaan berhasrat untuk membina sebuah Hospital di Bayan Baru, Pulau Pinang memandangkan keperluan untuk sebuah lagi hospital di Pulau Pinang berada pada tahap mendesak, penting serta amat memerlukan?

10. Minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan berapakah peruntukan RMK10 bagi pembinaan rumah-rumah kos rendah di Pulau Pinang khususnya di Georgetown dan kawasan sekitarnya?

SOALAN UNTUK JAWAPAN BERTULIS

11. Minta Perdana Menteri menyatakan kenapakah Petronas yang tidak mempunyai global retail presence (aktiviti runcit global) membelanjakan sejumlah RM1 billion setiap tahun dalam menaja pasukan Formula One sedangkan pengiklanan dalam bentuk tajaan sedemikian adalah lebih munasabah bagi syarikat-syarikat yang mempunyai global retail presence?

12. Minta Menteri Kewangan menyatakan apakah justifikasi kerajaan dalam membenarkan

badan-badan berkanun seperti Khazanah, KWSP dan FELDA melaburkan berbillion-billion

ringgit kepunyaan rakyat Malaysia dalam aset-aset luar negara, sedangkan ekonomi negara

amat memerlukan FDI yang telah merudum teruk?

13. Minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan sejauh mana kemajuan program

angkasawan negara yang dilancarkan pada tahun 2006 dan sejauh manakah sumbangan

program tersebut kepada peningkatan program angkasa lepas negara?

14. Minta Menteri Kewangan menyatakan bahawa memandangkan terdapat ramai individu yang diisytihar muflis (24%) adalah bersabit dengan pinjaman pembelian kenderaan adakah kerajaan akan bercadang mengenakan peraturan supaya setiap pembeli hendaklah membayar sekurangnya 20% daripada harga penuh sesebuah kenderaan sebelum pembeli layak membuat pinjaman?

15. Minta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah langkah-langkah yang sedang dan

akan diambil dalam menangani masalah penghijrahan luar pakar-pakar dan profesional

Malaysia atau “brain drain” yang kian meruncing?

USUL-USUL ATURAN 26

1. Ahli Parlimen Bayan Baru mencadangkan :

Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri, YAB Menteri-Menteri Besar dan Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri supaya peruntukan dan kuasa-kuasa di-bawah Kanun Tanah Negara (National Land Code) di kaji semula dan ditambahbaik untuk mengelakkan Kampung-kampung Melayu dari pupus dari muka bumi Malaysia kita. Dewan ini menetapkan bahawa kampung-kampung tradisional orang Melayu, terutamanya di negeri Pulau Pinang, harus dilindungi dan dipertahankan sebagai warisan bangsa dan tidak harus dikorbankan demi pembangunan yang rakus dan yang tidak mengambil kira kepentingan sosial penduduk yang telah menetap di kampung-kampung tradisional seperti perkampungan nelayan selama lebih tiga generasi. Dewan ini juga mendesak agar Kanun Tanah Negara di pinda untuk menghalang pemaju projek pembangunan daripada menghalau penduduk yang telah lama menetap disesuatu kampung tradisional tanpa merujuk dan memperolehi kebenaran daripada Kerajaan Negeri (yang berkuasa dalam urus tadbir tanah).

2. Ahli Parlimen Bayan Baru mencadangkan :

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mendesak YB Menteri Luar Negeri serta YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya agar Malaysia segera menandatangani atau (dengan izin) ratify “The 1959 Treaty on Antartica”. Dewan menyedari kepentingan jangka panjang ‘The Treaty on Antartica” untuk Negara dalam penyelidikan sains, terutamanya bidang perubatan dan perubahan cuaca, serta hubungan antarabangsa dalam soal keselamatan sejagat.

3. Ahli Parlimen Bayan Baru mencadangkan :

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mendesak YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk memperhalusi Resolusi 31 Perkara yang diluluskan Kongres Ekonomi Bumiputera dan mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya agar kepentingan kaum Bumiputera tidak tenggelam dalam arus globalisasi dan liberalisma. Dewan mendesak YAB Perdana Menteri mengambil langkah-langkah sewajarnya agar perkara-perkara berkenaan kepentingan Bumiputera yang termaktub jelas di dalam Perlembagaan tidak diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak.

4. Ahli Parlimen Bayan Baru mencadangkan :

“Bahawa Dewan membuat ketetapan mendesak YB Menteri Kewangan agar membuat kajian yang lebih menyeluruh berkenaan cadangan pengurangan subsidi Kerajaan. Dewan menyedari rasional pendekatan Kerajaan namun kesan pengurangan subsidi ke atas golongan berpendapatan rendah dan sederhana harus diperhalusi agar mereka tidak menjadi mangsa keadaan.

5. Ahli Parlimen Bayan Baru mencadangkan :

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mendesak YB Menteri Kewangan mengambil langkah-langkah yang perlu ke atas Lembaga Pengarah dan Pengerusi Sime Darby Berhad yang nyata telah gagal dalam tanggungjawab yang diamanahkan kerajaan. Dewan berpendirian bahawa keseluruhan anggota Lembaga Pengarah termasuk Pengerusi harus dipecat berikutan kerugian terkumpul mencecah RM1.7billion baru-baru ini (hanya dari tiga projek) berpunca dari salah urus tadbir serius syarikat terulung Negara tersebut.

6. Ahli Parlimen Bayan Baru mencadangkan :

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mendesak YB Menteri Dalam Negeri mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dengan kadar yang segera supaya pihak Polis Di-Raja Malaysia dapat menjalankan siasatan terperinci ke atas semua laporan jenayah, pecah amanah dan salahlaku terhadap peguam-peguam di dalam Negara. Dewan ini mendesak YB Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan tegas terhadap Majlis Peguam jika badan itu didapati melindungi salahlaku peguam-peguam yang berpengaruh.

7. Ahli Parlimen Bayan Baru mencadangkan :

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mendesak YB Menteri Dalam Negeri mengambil langkah drastik dengan kadar yang segera untuk menghapuskan Kumpulan-kumpulan kongsi gelap di dalam Negara. Selanjutnya Dewan mendesak agar YB Menteri Dalam Negeri menjalankan kajian berhubung persepsi rakyat akan penglibatan anggota kongsi gelap dalam kegiatan jenayah berat dan kegiatan-kegiatan lain seperti perjudian, ceti haram dan pelacuran.

8. Ahli Parlimen Bayan Baru mencadangkan :

“Bahawa Dewan Yang Mulia ini membuat ketetapan mendesak YB Menteri Dalam Negeri untuk menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang yang tegas ke atas Yang Berhormat Lembah Pantai kerana mencemarkan nama baik Negara menerusi kenyataan palsu berkenaan Tentera Laut Di-Raja Malaysia yang di siarkan akhbar Kompass di Indonesia. Dewan ini mengambil ketetapan bahawa tindakan mencemar nama baik Negara oleh mana-mana individu atau kumpulan, terutamanya ahli Dewan Yang Mulia ini, adalah amat keji dan harus di bendung tanpa sebarang tolak ansur.

9. Ahli Parlimen Bayan Baru mencadangkan :

“Bahawa Dewan Yang Mulia ini membuat ketetapan mencadangkan agar YAB Perdana Menteri melantik bekas Panglima-panglima perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia sebagai Ahli Dewan Negara agar kepentingan pertahanan Negara diwakili di dalam Parlimen Malaysia. Dewan Yang Mulia ini sedar bahawa perlantikan sedemikian adalah selaras dengan amalan di negara-negara maju.

10. Ahli Parlimen Bayan Baru mencadangkan :

“Bahawa Dewan Yang Mulia ini membuat ketetapan mendesak YB Menteri Dalam Negeri bersama-sama YB Menteri Luar Negeri mengambil langkah-langkah yang perlu dengan kadar yang segera untuk menyiasat dalang disebalik kejadian tunjuk perasaan anti-Malaysia di Jakarta baru-baru ini, di mana Jalur Gemilang dibakar dan Kedutaan Malaysia di Jakarta dilempar najis. Dewan seterusnya membuat ketetapan melucutkan kewarganegaraan mana-mana rakyat Malaysia yang didapati mengambil bahagian, bersubahat atau mendalangi tunjuk perasaan yang menghina Malaysia di luar Negara.

No comments: