

KENYATAAN MEDIA
Perkembangan dan tindakan terkini dalam peperangan kita menentang gejala RASUAH dalam Negara adalah amat positif.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus dipuji kerana menjalankan tugas dan memikul amanah rakyat Malaysia dengan begitu gigih walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Cabaran-cabaran yang dihadapi SPRM bukan sahaja berbentuk kritikan yang melampaui batas tetapi seringkali tugas-tugas penyiasatan di-politikan oleh pihak tertentu demi agenda sempit masing-masing.
Walaupun jumlah kakitangan SPRM adalah amat tidak mencukupi berbanding agensi-agensi anti-rasuah di-negara-negara lain SPRM telah membuktikan komitmen yang amat tinggi.
Pada pendapat saya, komitmen yang di-tunjukkan oleh SPRM menerusi tindakan dan penyiasatan berdasarkan peruntukan undang-undang Negara harus di-sokong sepenuhnya oleh semua pihak.
Jika kita benar-benar bencikan rasuah dan ingin bebas dari budaya keji ini maka rakyat secara keseluruhan harus berdiri teguh dibelakang SPRM.
Sejak berubah menjadi sebuah suruhanjaya yang bebas yang mana Ketua Pesuruhjaya-nya dilantik oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong, SPRM telah membuktikan kewibawaan mereka.
Umum tahu yang peperangan menentang rasuah kini lebih tegas dan keras, di-mana “ikan-ikan besar” telah diheret kemuka pengadilan.
Walaupun SPRM jelas menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka namun persepsi rakyat berkenaan isu rasuah dan tindakan keatas pemberi dan penerima rasuah masih tidak memberangsangkan.
Saya ingin menegaskan disini bahawa SPRM tidak mungkin dapat meneruskan amanat menentang gejala rasuah dinegara ini jika segala hasil kerja mereka sering menemui jalan mati atau ‘dead end’ di Pejabat Peguam Negara ataupun di-Mahkamah.
Pihak SPRM bukan sahaja memerlukan sokongan dan kerjasama dari orang perseorangan dan rakyat jelata tetapi lebih dari itu pihak Peguam Negara dan Badan Kehakiman harus turut bersama kita untuk memerangi gejala jijik ini dari terus menular.
Rakyat amat tidak berpuashati jika siasatan SPRM di-bakul sampahkan oleh Peguam Negara tanpa penjelasan yang munasabah.
Kes-kes yang berdasarkan Akuan Bersumpah (Sworn Statement) tidak harus di-tolak bulat-bulat tetapi harus dibawa kemuka pengadilan dan di-bicarakan (contested) di mahkamah.
Bukan niat saya untuk mengkritik hakim-hakim yang arif tetapi Badan Kehakiman kita harus mengambil maklum bahawa rasuah adalah lebih merbahaya dari gejala dadah, oleh itu kerjasama dan keberanian hakim dalam mengadali kes-kes rasuah adalah amat penting.
Baru-baru ini terdapat kes dimana Ketua Pengarah sebuah agensi keselamatan Negara di-lepaskan oleh mahkamah walaupun wang suapan ditemui dalam saku baju beliau.
Bagaimana rakyat akan bersama kita untuk memerangi rasuah jika perkara sedemikian berlaku dalam proses penghakiman?
Kita tahu Kerajaan amat serius dalam memerangi rasuah tetapi jangan ada dalang didalam yang menggagalkan usaha ini.
Rasuah bukan sahaja jijik dan haram tetapi ianya adalah musuh utama Negara dan mampu menggugat keselematan Negara tercinta ini dari pelbagai sudut.
Jika penjaga pintu masuk Negara membenarkan anasir-anasir luar keluar dan masuk kenegara kita sewenang-wenangnya kerana telah “di-suap” pelbagai ancaman keselamatan akan timbul.
Jika rasuah membolehkan pasir di-lombong secara haram dan dengan mudah di-seludup ke-negara jiran (untuk mereka memperluaskan wilayah mereka), ini adalah ancaman kepada keselamatan Negara kita.
Saya terpanggil untuk membuat kenyataan panjang lebar ini kerana ada yang berpendapat tindakan SPRM keatas bekas Menteri Besar Selangor hanyalah gimmik politik semata-mata.
Saya yakin sepenuhnya dengan kredibiliti dan tahap profesional SPRM, namun saya berpendapat agensi-agensi yang berkenaan dan Pejabat Peguam Negara secara khusus harus memainkan peranan masing-masing tanpa ada apa-apa unsur atau agenda yang lain.
Janganlah nanti timbul keadaan di-mana rakyat hilang kepercayaan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana angkara pihak lain.
Terima Kasih.
Zahrain Mohd Hashim
Bayan Baru