Saturday, November 13, 2010

KENYATAAN MEDIA


Merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia Jumaat 12 November 2010 mukasurat 5 mengenai laporan Polis berhubung cadangan menyambut ‘Hari Perpaduan’ pada 13 Mei setiap tahun.

Inisiatif pihak Utusan Malaysia mencadangkan pendekatan positif keatas sejarah hitam Malaysia - peristiwa berdarah 13 Mei 1969 – menerusi rencana bertajuk “13 Mei dan 21 Julai : Fakta Sejarah, mengapa perlu takut? adalah sesuatu yang amat bertepatan dan mampu menyumbang kearah penyelesaian strategik kemelut politik dan sosial masakini.

Pada pendapat saya, cadangan pengarang Utusan Malaysia berkenaan bernada progressif demi memupuk kesefahaman, toleransi, tolak ansur dan semangat muhibbah seluruh rakyat Malaysia.

Adalah amat penting bagi rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan, tanpa mengira agama atau bangsa, untuk bersatu tanpa sebarang perasaan prasangka diantara kita.

Peristiwa hitam 13 Mei, 1969 adalah sesuatu yang harus di-ambil iktibar dan kita harus belajar dari pengalaman lampau agar generasi sekarang dan yang akan datang tidak mengulangi kesilapan lampau.

Saya tidak faham kenapa initiatif yang luhur ini menerima tentangan dan ditempelak ahli politik di Negara kita.

Saya amat khuathir akan tindakan segelintir ahli dan pemimpin pembangkang yang amat gemar mempolitik-kan isu-isu sebegini dan menghasut rakyat dari perspektif sempit mereka.

Tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang begitu hebat menentang segala bentuk usaha untuk memupuk perpaduan dan kesefahaman dikalangan rakyat, adalah amat membimbangkan.

Sebagai rakyat dan warganegara dibumi bertuah ini saya amat khuathir dengan keadaan politik perkauman dan chauvinis yang dianjurkan segelintir manusia dalam Negara.

Selaku wakil yang di-pilih rakyat di kawasan Parlimen Bayan Baru saya menyeru agar kerajaan mengambil satu pendekatan yang lebih serius keatas perilaku negatif segelintir ahli dan pemimpin politik.

Kerajaan harus mempertimbangkan satu penyiasatan bebas atau penyediaan ‘Kertas Putih” berhubung kemelut politik berunusur chauvinis dan tindakan-tindakan provokasi melampaui.

Mungkin tidak keterlaluan jika penubuhan suatu Suruhanjaya Siasatan DiRaja dipertimbangkan kerana isu politik melampaui batas-batas kemasyarakatan, adat, budaya, Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan adalah sesuatu yang mampu menghancurkan Negara bertuah ini.

Kerajaan harus mengambil tindakan yang tegas kerana dewasa ini semakin banyak isu-isu sentitif yang sengaja ditimbulkan demi kepentingan politik semata-mata.

Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu adalah payung untuk setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama atau bangsa, dan serentak itu adalah amat bertepatan jika Suruhanjaya Siasatan Di-Raja dibentuk untuk menyediakan suatu laporan lengkap untuk pengetahuan Duli-Duli Yang Maha Mulia serta rakyat jelata mengenai tindakan jahat segelintir pemimpin politik yang rakus.

Tentangan terbuka terhadap kuasa-kuasa Raja Melayu, keistimewaan Bahasa Kebangsaan, hak-hak istimewa Bumiputera, mempergunakan agama Islam untuk kepentingan politik serta perkara-perkara lain yang mampu menggugat kestabilan sosial harus kita bendung sebelum nasi menjadi bubur.

Tindakan terbaru seorang pemimpin politik pembangkang di-Sarawak mempergunakan agama Islam untuk mengaburi mata rakyat setiap kali menjelang pilihanraya adalah amat menjijikan.

Kita sebagai rakyat Malaysia tidak harus membiarkan politik demi kepentingan diri sendiri, dan politik chauvinis berunsur perkauman berkembang kerana politik tanpa batas seperti ini akan merugikan semua pihak dikemudian hari.

Janganlah kita korbankan Negara bertuah ini demi nafsu politik rakus segelintir pihak.

Terima Kasih.


Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

13 November, 2010.