Monday, February 14, 2011

Mana Kredibiliti Karpal Singh ?


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera

Saya amat tertarik dengan kenyataan Pengerusi DAP YB Karpal Singh dalam akhbar TheStar hari ini (14 Feb, 2011) berhubung Operasi Lalang pada tahun 1987.

Saya tidak ingin mempersoalkan mengapa, kenapa dan bagaimana Karpal dan sekutunya yang lain ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada ketika keselamatan Negara diancam puak ekstremis perkauman dan chauvinis.

Apa yang menarik ialah tindakan Karpal mendesak dan mencabar Tun Dr.Mahathir Mohamad untuk menamakan pemimpin pembangkang yang beliau (Dr.Mahathir) temui sebelum Karpal dan sekutunya yang lain ditahan dibawah ISA di Kem Tahanan Kamunting.

Tindakan Karpal yang tiba-tiba melompat mencabar Dr.Mahathir pada ketika ini nampaknya tidak lebih dari strategi beliau untuk mengalihkan tumpuan umum dan melepaskan diri dari isu yang lebih besar.

Untuk makluman semua, Karpal terloncat-loncat berikutan kenyataan Dr.Mahathir dalam buku terbaru Tom Plate bertajuk Doctor M: Operation Malaysia.

Dalam buku tersebut Dr.Mahathir menyatakan bahawa Operasi Lalang 87 adalah operasi keselamatan dan bukannya tindakan politik. Dr.Mahathir juga menyebut tentang pertemuan dengan ahli politik pembangkang sebelum mereka di-klasifikasikan sebagai ‘ancaman’ kepada keselamatan Negara.

Pada pendapat saya tindakan terkini Karpal tidak lain dari ingin lari dari masalah sebenar beliau.

Karpal menghadapi masalah kredibiliti sebagai seorang peguam dan sebagai ahli politik veteran akibat watak ‘dua-alam’ beliau berhubung pertuduhan kesalahan LIWAT terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Karpal juga nampaknya terjerat dengan mainan politik kotor berhubung Suruhanjaya Siasatan Di-Raja berhubung kematian Teoh Beng Hock.

Kenyataan-kenyataan saya sebelum ini amat jelas berhubung isu-isu ini dan saya menasihatkan Karpal agar menjawab persoalan-persoalan tersebut terlebih dahulu sebelum mencabar orang lain.

Karpal harus berani membersihkan dirinya dan profesion guaman itu sendiri dan bukan bertindak sebagai seorang pengecut.

Tidak mungkin ‘Harimau Jelutong’ kini dayus dan mula melarikan diri dari kenyataan.

Apakah Karpal masih ada kredibiliti?

Terima Kasih

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru.

Friday, February 11, 2011

Peguam atau Politik Hipokrit ?


Keputusan Kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Di-Raja -dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong - berhubung kes kematian Teoh Beng Hock baru-baru ini disambut baik semua pihak.

Secara umumnya semua pihak ingin suatu penyiasatan yang terperinci berhubung perkara-perkara yang menjurus kepada kematian setiausaha politik ADUN DAP Seri Kembangan itu.

Teoh Beng Hock juga adalah bekas pembantu politik kepada beberapa orang lagi ahli politik DAP, yang pada ketika kematian misteri-nya, sedang dalam siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kita harus ingat bahawa Teoh Beng Hock adalah saksi utama dalam penyiasatan kes penyelewengan melibatkan beberapa ahli politik DAP dan kematiannya telah nyata membantutkan kerja SPRM.

Semua pihak menyokong penuh penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja tetapi yang pelik-nya, pihak yang mengkritik hebat SPRM dan Kerajaan seolah-olah tidak senang dengan penubuhan Suruhanjaya di-Raja ini.

Golongan yang konon-nya memperjuangkan keadilan untuk mendiang Teoh Beng Hock dan berarak dijalanraya menuntut keadilan kini nampaknya cuba melengahkan perjalanan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja ini.

Saya amat terkejut dengan kenyataan peguam anak-beranak Karpal Singh dan Gobind Singh yang mewakili keluarga mendiang Teoh Beng Hock. Sekarang mereka pula mahukan proses siasatan Suruhanjaya Di-Raja ini di-tangguh.

Tindakan kedua-dua ahli politik DAP ini bukan sahaja pelik malah amat mengelirukan kerana DAP lah yang sebelum ini mempolitik-kan isu ini dan menjajanya keseluruh pelusuk Negara.

Kematian Teoh Beng Hock juga dijadikan modal kempen politik dalam setiap pilhanraya kecil untuk mengelirukan rakyat, terutamanya mereka ynag berketurunan Cina.

Hampir kesemua puak pembangkang yang dikepalai DAP melemparkan pelbagai tuduhan dan tidak berpuashati dengan Inkues Keatas Kematian Teoh Beng Hock.

Mereka mendesak penubuhan Suruhanjaya Di-Raja tetapi apabila kerajaan menubuhkan Suruhanjaya mereka kini ingin menangguhkan perjalanan siasatan Suruhanjaya ini.

Dalam kenyataan mereka mendesak penangguhan perjalanan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja ini, Karpal and anak beliau berkata “penangguhan itu perlu kerana kami mempunyai kes-kes penting yang lain seperti kes Liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim”.

Kenyataan kedua anak-beranak ini jelas menunjukkan bahawa kes kematian Teoh Beng Hock ini tidak lebih dari alat politik mereka dan mereka sebenarnya tidak berminat untuk mencari kebenaran atau keadilan untuk si-mati.

Nampaknya kedua-dua peguam anak-beranak yang juga ahli politik DAP hanya berminat untuk mengeksploitasi kematian Teoh Beng Hock untuk kepentingan politik mereka dan DAP.

Tindakan terkini kedua peguam ini jelas menunjukan permainan politik kotor DAP yang nampaknya tidak ingin kes kematian Teoh Beng Hock ini diselesaikan.

Saya berpendapat tiada sebab kenapa Suruhanjaya Siasatan Di-Raja berhubung kematian Teoh Beng Hock ini harus ditangguhkan. Malah, ianya harus diberi tumpuan khusus dan diteruskan secepat mungkin demi keadilan dan kebenaran.

Suruhanjaya Siasatan Di-Raja tidak harus tunduk kepada desakan dan mainan politik peguam-peguam yang mempunyai kepentingan peribadi dan politik masing-masing.

Karpal Singh dan anaknya harus membuat keputusan sendiri menentukan peranan mereka dan bukan-nya mendesak Suruhanjaya Siasatan Di-Raja mengikut telunjuk mereka.

Persoalan-nya ialah - Apakah mereka ini ahli politik yang sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan politik DAP ataupun sememangnya mereka berdua adalah peguam yang berhemah?

Karpal dan anaknya serta peguam-peguam lain harus membuat pilihan antara kerjaya mereka sebagai peguam dengan kepentingan peribadi mereka sebagai ahli politik pembangkang.

Rakyat tidak harus di-kelirukan dan profesion guaman tidak harus di-lacurkan dengan tingkahlaku segelintir peguam yang hipokrit.


Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru