Showing posts with label bar council majlis peguam bebas independent bar politik pembangkang. Show all posts
Showing posts with label bar council majlis peguam bebas independent bar politik pembangkang. Show all posts

Wednesday, June 8, 2011

MAJLIS PEGUAM ... bebas atau ?



“An independent Bar is a hallmark of a free and democratic society” - jika diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia bermakna “Majlis Peguam yang bebas adalah petanda masyarakat yang bebas dan demokratik”.

Ungkapan tersebut membawa maksud yang amat mendalam dan secara amalannya berperanan membentuk masa depan sesuatu masyarakat yang dinamik.

Majlis Peguam atau mana-mana badan yang bertindak mewakili profesion tersebut haruslah benar-benar bebas dan hanya bertindak berdasarkan kepentingan umum.

Saya ingin menarik perhatian umum kepada perkara pokok ini kerana dinegara kita Majlis Peguam nampaknya telah di “hijack” atau di-perkudakan oleh orang perseorangan dan segelintir ahli politik.

Apakah erti kebebasan dalam konteks badan peguam seperti Majlis Peguam Malaysia?

Apakah kebebasan itu bermakna Majlis Peguam atau individu yang konon-nya mewakili beribu-ribu peguam diseluruh Negara selang hari mengkritik dan memperkotak-katikkan kerajaan dan agensi-agensinya?

Apakah “Majlis Peguam yang bebas’ bermakna peguam harus menentang kerajaan dan mengambil pendekatan yang ekstrim dalam menangani sesuatu isu yang mempunyai kepentingan umum?

Saya musykil kerana sudah lebih dari sedekad sekarang di-mana Majlis peguam atau gerombolan yang menduduki jawatan dalam majlis berkenaan bertindak sebagai satu lagi parti politik dalam Negara ini.

Jika kita masih ingat, semenjak penyingkiran seorang Timbalan Perdana Menteri akibat salah laku seks dan penyalahgunaan kuasa pada tahun 1998, badan peguam kita telah mula bergiat aktif dalam politik.

Saya pasti ramai yang akan menafikan kenyataan ini tapi rakyat boleh menilai sendiri kebenarannya.

Kini setelah lebih dua belas tahun ramai dikalangan peguam-peguam muda juga telah mula sedar bahawa sebenarnya Majlis Peguam seakan dikuasai politik pembangkang.

Kebanyakan besar isu yang dibawa atau diperjuangkan badan Peguam lebih berunsur politik daripada kepentingan umum atau masyarakat.

Cara badan peguam mempelopori sesuatu isu juga se-akan bertujuan mencari “political milage”, menghina dan memperkecilkan pihak lain dan bukannya untuk memcari jalan penyelesaian.

Isu kematian dalam tahanan tidak lama dahulu adalah contoh di-mana pihak Polis Di-Raja Malaysia di-gambarkan sebagai penjenayah manakala mereka yang menyalahi undang-undang ditatang seumpama pejuang.

Kenyataan-kenyataan badan peguam berhubung isu kematian pembantu kepada ahli politik DAP saudara Teoh Beng Hock juga harus diteliti.

Tidak keterlaluan jika saya katakan badan peguam seolah-olah mempunyai agenda tersendiri dan ianya se-akan-akan agenda politik beberapa ahli politik pembangkang.

Tindak-tanduk badan peguam selepas kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja berhubung kematian Teoh Beng Hock juga menjadi persoalan ramai. Apa sebenarnya matlamat badan peguam kita?

Saya pasti rakyat juga tidak terlepas pandang tindakan seorang bekas pemimpin badan peguam yang baru-baru ini bertindak menghasut rakyat agar mengadakan tunjuk perasaan ‘ala Mesir’ untuk menuntut ketelusan pilihanraya. Apakah tindakan sebegini ini sesuatu yang bertanggungjawab?

Saya mengambil keputusan untuk membuat pendedahan ini kerana badan peguam kita seolah-olah telah menjadi lubuk percambahan kegiatan anti-kerajaan yang turut melibatkan unsur-unsur perkauman.

Peguam-peguam dalam Negara kita, terutamanya yang muda dan ‘idealistic’, harus sedar dan bangun menentang tindakan memperkudakan badan peguam demi kepentingan politik mana-mana pihak.

Sesuatu badan yang mewakili peguam harus benar-benar bebas dan menjaga kepentingan serta kebajikan para peguam, selain memperjuangkan isu-isu demi kepentingan umum.

Sekali lagi, janganlah institusi penting seperti badan peguam dilacurkan demi fahaman politik yang berlainan.

Saya percaya dan pasti para peguam kita akan bersetuju bahawa “An independent Bar is a hallmark of a free and democratic society”.

Terima Kasih.

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru