Sunday, December 23, 2012

Kebenaran akan atasi kebencian


SERINGKALI saya dilontarkan dengan pertanyaan 'Datuk Seri akan bertanding ker dalam pilihan raya yang akan datang?" Persoalan ini bukan sahaja menjadi kegemaran rakan-rakan media. Keluarga dan sahabat handai juga ikut sama.

Mungkin itu antara persoalan yang bermain di fikiran mereka sejak saya meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 12 Februari 2010 dan bertindak menjadi Ahli Parlimen Bebas bagi kawasan Bayan Baru di Pulau Pinang.

Pada ketika itu ramai juga yang membuat pertuduhan liar dan tohmahan bermacam rupa, mungkin kerana saya ketika juga itu adalah Ketua PKR Pulau Pinang. Saya meninggalkan PKR atas prinsip, apabila keraguan saya mengatasi keyakinan terhadap hala-tuju dan kepimpinan PKR dan Pakatan Rakyat itu sendiri.

Kini, setelah hampir tiga tahun saya pasti keputusan saya itu tidak sia-sia kerana ramai lagi pimpinan serta anggota Pakatan yang telah meninggalkan mereka.

Mungkin saya akan mendalami isu itu dalam masa-masa yang akan datang kerana isu pokok yang mencabar kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam pada hari ini ialah kesatuan orang Melayu dan bumiputera.

Kedudukan orang Melayu dalam politik tanah air amat membimbangkan saya kerana orang Melayu, Bumiputera dan Islam berpecah sehingga menjadi golongan kecil yang mungkin hilang pengaruh sama-sekali.

Persoalannya disini bukan kepentingan individu atau apakah saya akan bertanding sebagai wakil rakyat. Persoalannya ialah Apakah orang Melayu sedar akan kedudukan perpecahan yang amat getir ini?

Apakah mungkin DAP, satu perkumpulan yang ditunjangi born-again Christians dan puak cauvinis menjadi wadah perjuangan orang Melayu dan bumiputera? Mana mungkin Pas yang nyata sesat dari landasan Islam menjadi pemimpin sebuah negara Islam yang dikagumi dunia?

Jangan kita lalai dan alpa ketika ada yang memperalatkan agama untuk memecah-belahkan masyarakat demi kepentingan politik peribadi. Kita orang Melayu/ bumiputera harus bersatu.

KENAPA UMNO?

Sebagai orang Melayu yang berpegang kepada keramat agama, bangsa dan negara, kita tiada pilihan tetapi bersatu di bawah naungan UMNO. Saya cukup berpengalaman mengharungi politik tertinggi pihak pembangkang dan cukup setakat saya katakan di sini bahawa orang Melayu sebenarnya tidak ada pilihan selain UMNO.

Saya masih belum diterima menjadi ahli UMNO secara rasmi tetapi saya telah menulis surat kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak) menyatakan keinginan saya untuk menjadi ahli UMNO.

Bukan kerana dijemput menyertai UMNO tetapi kerana kepimpinan UMNO dan secara langsung kepimpinan kerajaan kini jauh lebih matang dan membawa kesan langsung kepada rakyat.

Pihak pembangkang sendiri mengakui kebijaksanaan pimpinan serta hands on approach Datuk Seri Najib Tun Razak sejak mengambilalih tampuk pemerintahan.

Tapi kerana mereka itu pembangkang yang bukan sahaja membangkang tetapi berhasrat menumbangkan kerajaan sedia ada, pihak DAP, Pas dan PKR tidak berani mengakui keberkesanan pimpinan Najib secara terbuka. Malah, kritikan serta tohmahan diperhebat menyerang peribadi Perdana Menteri.

Mungkin saya juga akan ditohmah kembali dan diberi pelbagai label baru tetapi biarkanlah mereka dengan cara mereka. Mungkin jika kita adakan pertandingan antara parti-parti pembangkang diseluruh dunia, puak pembangkang dari Malaysia mungkin layak memenangi anugerah Pembohong Terbaik.

Sebagaimana kita bersyukur dan berterima kasih atas kebijaksanaan, kita juga harus berani menerima hakikat bahawa tidak ada parti politik atau kerajaan yang sempurna 100 peratus dalam dunia ini.

Ini tidak bermakna kita harus berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi kepincangan parti atau kerajaan kita. Begitu jugalah dengan UMNO dan Barisan Nasional. Nyata UMNO kini lebih dinamik, demokratik dan terbuka. Ini adalah fakta yang diakui kawan dan lawan.

Pemilihan pimpinan DAP baru-baru ini masih segar dalam pemikiran kita. Cara dan keputusan pemilihan serta lantikan pimpinan tertinggi parti cauvinis Cina itu memalukan anggota dan penyokong mereka sendiri.

Kuasa 'diktator' yang dimiliki keluarga tertentu dalam DAP begitu menyerlah sehingga mereka yang dipilih perwakilan pun dipinggirkan demi 'tokong' mereka.

Mana mungkin orang Melayu bernaung di bawah satu perkumpulan cauvinis Cina yang begitu tamak kuasa sehingga keluarga dan kaum didahulukan dalam setiap inci pergerakan mereka? DAP adalah parti rasis dan ini telah terbukti dengan sendirinya melalui pemilihan pimpinan tertinggi mereka.

Sebagai ahli politik Melayu dari Pulau Pinang yang telah terlibat dalam pelbagai pendekatan perniagaan, pentadbiran dan politik saya dapat rasakan yang orang Melayu secara umumnya telah mula sedar akan dilema Melayu pada hari ini.

Hati orang Melayu yang benar-benar menghayati keramat agama, bangsa dan negara telah terdetik. Kita tahu, tetapi politik kepartian dan kebencian yang disemai menjadi penghalang kepada penyatuan kita.

UMNO itu sendiri harus menghayati transformasi yang dipelopori Datuk Seri Najib Tun Razak dan pasukan beliau. Bayangkan jika setiap ahli Umno dan Barisan Nasional bergerak dengan tenaga dan ketangkasan Najib dalam mentadbir negara.

Ramai yang berkata 'Najib dengan Muhyiddin berkerja keras, yang lain masih tak berapa bermaya". Ini persepsi rakyat walaupun ramai lagi pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang bertungkus lumus dalam era transformasi politik dan pentadbiran yang dipantau Perdana Menteri.

Benih kebencian, yang disemai secara amat teratur dari peringkat kanak-kanak lagi, kini menghantui bangsa Melayu tetapi politik kebencian ini tidak mungkin mengatasi khidmat ikhlas demi agama, bangsa dan negara.

Jika orang UMNO sayangkan Melayu dan jika orang Melayu ingin memperkasakan UMNO, inilah masanya. Inilah masanya untuk kita bersatu demi masa depan negara bangsa kita.

Nasi tidak mungkin menjadi bubur jika kita bertekad dan bersatu mengharungi cabaran getir yang bakal menentukan hidup matinya bangsa Melayu dan agama Islam di bumi bertuah ini. Saya yakin kebenaran akan mengatasi kebencian dalam sanubari Melayu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121223/re_12/Kebenaran-akan-atasi-kebencian#ixzz2FqlWxPuj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: