Friday, May 27, 2011

SIASAT PROJEK BUKIT BINTANG CITY CENTRE !


KENYATAAN MEDIA

(Kemelut berhubung Projek Pembangunan Tapak Bekas Penjara Pudu - Bukit Bintang City Centre).

Pengerusi UDA Holdings Bhd Datuk Nur Jazlan Mohamed perlu menyahut cabaran Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Dato Musa Sheik Fadzir dan mendedahkan segera nama 11 syarikat yang dikatakan berminat tapi gagal dipilih untuk pembangunan Bukit Bintang City Centre.

Jazlan tidak boleh hanya memberi jaminan peribadi kepada Datuk Mokhtar Samad, Yang DiPertua Persatuan Kontraktor Bumiputera bahawa kontraktor bumiputra tidak dipinggirkan.

Tindakan memberi jaminan satu sama satu ini menunjukan Jazlan seolah-olah dalam keadaan terdesak.

Saya fikir rakyat tidak-lah sebodoh itu untuk menerima jawapan Jazlan bulat-bulat tanpa usul periksa.

Saya kira banyak lagi syarikat tempatan yang mampu melaksanakan projek pembangunan di Bukit Bintang itu sebab ianya bukanlah seperti pembangunan KLCC yang memerlukan teknologi yang canggih.

BBCC adalah projek hartanah yang tidak memerlukan kepakaran khusus atau "roket sains".

Persoalan sekarang apakah terdapat kepentingan individu atau kepentingan pihak-pihak tertentu dalam projek ini.

Kita mahu perjelasan ini dari Jazlan sendiri.

Saya tidak berniat menuduh sesiapa tapi hanya ingin melindungi matlamat asal penubuhan UDA.

Jesteru itu saya meminta pihak SPRM dan Ketua Audit Negara untuk menyiasat sama ada proses pemilihan untuk pembangunan BBCC ini dibuat tanpa kepentingan peribadi dan mengikut 'corporate governance'.

Pengesahan ini penting memandangan keputusan yang telah dibuat agak luarbiasa sehingga ianya dipersoalkan oleh pelbagai pihak.


Sekian Terima Kasih


Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru


Sunday, May 8, 2011

DAP & Nasib Keluarga Teoh Beng Hock



Perjalanan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja berhubung kematian pembantu politik kepada pemimpin politik DAP, Teoh Beng Hock, semakin menarik perhatian umum.

Fakta daripada kenyataan saksi-saksi utama memberi gambaran jelas bahawa kematian Teoh Beng Hock berhubung kait dengan peranan atau tugas beliau sebagai pembantu politik kepada YB Ean Yong Hian Wah dari DAP Selangor.

Siasatan SPRM yang membawa TBH ke ibupejabat SPRM Selangor adalah berkaitan kes rasuah/salahguna kuasa ahli politik DAP dan bukan-nya atas sifat peribadi beliau.

Disebabkan fakta tersebut, adalah wajar keluarga mendiang Teoh Beng Hock menuntut pampasan dari YB Ean Yong dan DAP kerana merekalah TBH terjerumus kedalam kancah skandal rasuah DAP di negeri Selangor.

Kenyataan-kenyataan dalam perjalanan siasatan suruhanjaya menggambarkan seolah-olah Teoh Beng Hock sanggup mati sebelum dihina (death before dishonour) demi untuk melindungi ahli politik DAP dan DAP itu sendiri dari dakwaan rasuah.

Fakta-fakta berhubung penyalahgunaan wang kerajaan untuk menganjur kegiatan politik telah timbul sebelum ini.

Kita tahu pihak DAP pasti akan menafikan walaupun ada bukti nota bunuh diri TBH kepada individu di dalam DAP.

Umum mengesyaki bahawa TBH adalah mangsa keadaan yang menjadi korban demi melindungi majikan-nya.

Saya mengesyorkan di-sini agar DAP berhenti bermain politik dengan kematian Teoh Beng Hock dan bersifat lebih bertanggungjawab terhadap kematian TBH dan seterusnya kebajikan keluarga beliau.

DAP harus berhenti mengaburi pandangan orang ramai berhubung kematian TBH dan kaitan kematian beliau dengan DAP serta pemimpin-nya kerana rakyat kini lebih cerdik.

Sebagai langkah permulaan saya cadangkan agar DAP bersifat lebih bertanggungjawab dan memberi pampasan kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock yang nampaknya telah terkorban demi untuk melindungi penyelewengan dan kegiatan rasuah pemimpin DAP.

Terima Kasih


Zahrain Mohamad Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

Saturday, April 30, 2011

Duri Dalam Daging di-SPRM ?


Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera.

Saya amat tertarik dengan perbincangan dan pandangan umum berkenaan perjalanan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja yang ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian pembantu politik kepada pemimpin politik DAP, Teoh Beng Hock.


Mereka yang mengikuti perjalanan siasatan Suruhanjaya di-Raja atau RCI ini mengakui bahawa banyak fakta-fakta penting yang sebelum ini tidak diketahui umum telah timbul menerusi kenyataan saksi-saksi penting dalam kes ini.


Namun begitu, umum agak hairan dan terkejut dengan pendekatan yang diambil segelintir pengamal media perdana dalam laporan mereka berhubung perjalanan RCI ini.


Saya terpanggil untuk menimbulkan persoalan ini kerana pelbagai pihak telah mengutarakan keraguan mereka berhubung niat dan agenda pihak media, terutamanya akhbar The Star yang diterbitkan Star Publications (M) Bhd.


Untuk pengetahuan umum, Ketua Pengarang Kumpulan merangkap Pengarah Eksekutif Star Publications (M) Bhd - Dato’ Seri Wong Chun Wai – adalah salah seorang daripada anggota panel perunding dan pencegahan rasuah SPRM.


Walaupun Chun Wai adalah di-kalangan mereka yang terpilih untuk menganggotai panel tersebut namun akhbar yang beliau terajui seakan tidak sehaluan dengan SPRM.


Akhbar The Star bukan sahaja se-akan tidak sehaluan malah dalam beberapa laporannya ternampak seperti ingin memperlekehkan SPRM.


Disini saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon pihak SPRM untuk memberi penjelasan samaada SPRM mempunyai apa-apa masaalah atau percanggahan pendapat dengan ahli panel mereka sendiri iaitu Dato' Seri Wong Chun Wai.


Saya terdesak untuk mengemukakan permohonan ini kerana ramai rakan dan kenalan telah melahiran kerisauan mereka tentang perkara ini.


Pada pendapat mereka sudut liputan akhbar The Star dalam laporan perjalanan RCI Teoh Beng Hock adalah amat berat sebelah dan menjurus kepada isu perkauman dan kepentingan politik segelintir pihak.


Mungkin itu hanya pandangan mereka namun bagi menjernihkan keadaan saya harap pihak SPRM akan tampil menjelaskan isu ini kerana kita tidak mahu timbul situasi seumpama ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’.


Kita faham bahawa bukan semua pihak yang menyokong agenda transformasi SPRM demi sentimen politik sempit mereka dan untuk melindungi kepentingan golongan tertentu.


Mungkin juga SPRM belum sempurna sepenuhnya dalam menggalas tanggungjawab berat demi masa depan Negara tercinta ini, namun jangan pula ada yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air yang keruh.


Saya risau jika ada pihak yang menjadi duri dalam daging bagi pihak SPRM kerana rasuah adalah musuh utama Negara, selain gejala penyalahgunaan dadah.


Negara akan mengalami masalah yang lebih besar jika usaha mencegah dan memerangi gejala rasuah ini di-sabotaj golongan yang memperjuangkan sentimen perkauman dan kelangsungan politik mereka.


Sama-sama lah kita bersatu dalam membantu SPRM dalam usaha memerangi rasuah dalam Negara kita.


Sekali lagi saya ulangi, jangan pula timbul situasi ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’.


Terima Kasih.


Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

Tuesday, April 5, 2011

RAKYAT BERHAK MENGETAHUI KEBENARAN !


Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera.

Saya amat terkejut dengan pendirian yang diambil pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berhubung skandal video seks ( yang didakwa mengandungi adegan seks diantara Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang pelacur asing).

Tindakan pemimpin Pakatan Rakyat menentang penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Di-Raja untuk menyiasat skandal video sex terbabit amat mengejutkan semua pihak kerana pemimpin PR seolah-olah takut dengan kebenaran.

Kenapa pemimpin Pakatan Rakyat, terutamanya Pengerusi DAP Karpal Singh, begitu keras menolak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja untuk mencungkil kebenaran disebalik skandal video seks terbaru ini?

Kenapa awal-awal lagi Karpal Singh dan kuncu-kuncunya menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja walaupun umum ingin mengetahui kebenaran disebalik skandal video seks berkenaan?

Karpal Singh juga dilaporkan membuat kenyataan bahawa beliau pasti pelakon lelaki dalam video seks tersebut bukan-nya Anwar Ibrahim walaupun beliau mengaku hanya menonton sedutan kurang dari DUA MINIT di Youtube.

Apakah Karpal Singh sanggup meletakkan semua jawatan dan berundur dari persada politik tanahair jika siasatan membuktikan sebaliknya? Saya mencabar beliau dalam hal ini.

Pada pendapat saya Karpal Singh adalah orang terakhir yang patut membuat kenyataan sedemikian kerana kewibawaan beliau sebagai seorang peguam dan ahli politik boleh dipersoalkan.

Kewibawaan Karpal Singh dipersoalkan pelbagai pihak kerana setelah terlibat dalam pembongkaran kes salah laku seks Anwar Ibrahim pada tahun 1997, peguam tersohor itu bertukar rentak menjadi peguambela Anwar Ibrahim.

Bukan-kah tindakan Karpal Singh ini boleh di-anggap sebagai hipokrit yang tidak boleh dipercayai?

Apakah tidak mungkin Karpal sedang mengulangi putar belit-nya berhubung skandal video seks terbaru ini?

Saya berpendapat pihak Pakatan Rakyat, terutamanya DAP, akan cuba sedaya upaya untuk menggagalkan usaha mencari kebenaran berhubung skandal video seks ini semata-mata demi kepentingan politik mereka.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati Presiden PKR dan isteri kepada Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, supaya bertaubat dan tidak terikut-ikut dengan permainan politik yang melampaui batas kini.

Jika jam tangan jenama OMEGA milik Anwar Ibrahim benar-benar berada dalam simpanan beliau (Wan Azizah) maka beliau harus membuktikan perkara itu dan bukan ‘naik angin’ dengan wartawan yang menjalankan tugas.

Kenapa ianya menjadi suatu masaalah yang besar untuk mempamirkan jam tangan jenama OMEGA milik suami-nya kepada pihak media ?

Apakah benar jam tangan OMEGA itu berada dalam simpanan Wan Azizah atau ianya kini sebenarnya berada dalam simpanan pihak Polis Di-Raja Malaysia?

Pemimpin Pakatan Rakyat harus akur bahawa undang-undang di-Negara kita ini amat adil dan tidak mengenal darjat, pangkat, bangsa atau rupa.

Kerana ingin ‘menegak-kan benang yang basah” janganlah salahkan seluruh dunia.

Janganlah menuduh pihak yang menjalankan siasatan atau pihak yang membongkarkan skandal video seks ini kerana yang lebih penting ialah kebenaran.

Apakah benar pelakon lelaki dalam video seks itu adalah Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim ?

Saya menyokong penuh penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja untuk mencungkil kebenaran disebalik skandal video seks itu.

Rakyat berhak mengetahui kebenaran.

Terima Kasih.

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru.

Thursday, March 10, 2011

RASUAH bukan budaya kita!


Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera.

Umum tahu peperangan mencegah dan menghapuskan rasuah bukanlah sesuatu yang mudah, namun ianya juga bukanlah sesuatu yang mustahil.

Dalam Negara kita usaha memerangi gejala jijik ini di-terajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia – SPRM.

Sebenarnya rasuah adalah satu penyakit atau budaya asing bagi kita orang Malaysia namun disebabkan pelbagai faktor, termasuk kesan sampingan pembangunan ekonomi yang pesat, jenayah ini semakin menjadi-jadi.

Walaupun tahap jenayah rasuah di-dalam Negara kita secara relatifnya masih rendah namun budaya jijik ini berpotensi menjadi ancaman utama kepada masyarakat.

Jika masyarakat diselubungi rasuah maka Negara ini tidak akan selamat.

Dalam konteks ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Abu Kassim bukan sahaja telah mengharumkan nama SPRM secara khusus tetapi pengiktirafan di-tangga ke-empat diantara 100 individu paling berpengaruh dalam dunia dari segi etika perniagaan adalah sesuatu yang menjadi kebanggaan Negara dan seluruh rakyat.

Budaya rasuah bukan budaya kita dan pengiktirafan dunia kepada Abu Kassim adalah bukti bahawa usaha kita mencegah dan menghapuskan rasuah mendapat perhatian dunia.

Saya harap rakyat Malaysia akan bangun membantu Abu Kassim dan SPRM untuk mencegah budaya jijik ini daripada menghancurkan Negara dan masa depan anak-anak kita.

Janganlah ada di-antara kita yang tanpa segan silu mempolitik-kan usaha mencegah budaya rasuah didalam masyarakat kita.

Saya tahu tentang adanya usaha segelintir pihak untuk menghakis kepercayaan dan kredibiliti institusi yang menjadi tunjang kerajaan kita.

Saya pasti umum sedar akan tindakan pihak berkepentingan untuk mencemar imej dan kredibiliti SPRM demi agenda politik mereka.

Kematian saksi utama dalam kes penyiasatan rasuah beberapa pemimpin DAP baru-baru ini adalah bukti nyata tentang wujudnya usaha politik untuk menghancurkan imej SPRM.

Saya pasti rakyat mengikuti perkembangan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja berhubung kes kematian Teoh Beng Hock dan telah mula sedar akan sandiwara politik yang menyelubungi isu tersebut.

Seperti yang pernah saya nyatakan beberapa kali sebelum ini tanggungjawab mencegah, memerangi dan menghapuskan rasuah dinegara ini harus digalas bersama oleh semua pihak.

Rakyat harus bangun membantu SPRM dalam peperangan ini.

Jangan terpedaya dengan mainan politik mereka yang berkepentingan, lebih-lebih lagi puak yang cuba menutup kelemahan dan jenayah yang telah mereka lakukan.

Bantulah SPRM demi masa depan kita, rasuah bukan budaya kita.

Tahniah Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, saya pasti rakyat akan bersama SPRM.


Terima kasih.

Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

Monday, February 14, 2011

Mana Kredibiliti Karpal Singh ?


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera

Saya amat tertarik dengan kenyataan Pengerusi DAP YB Karpal Singh dalam akhbar TheStar hari ini (14 Feb, 2011) berhubung Operasi Lalang pada tahun 1987.

Saya tidak ingin mempersoalkan mengapa, kenapa dan bagaimana Karpal dan sekutunya yang lain ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada ketika keselamatan Negara diancam puak ekstremis perkauman dan chauvinis.

Apa yang menarik ialah tindakan Karpal mendesak dan mencabar Tun Dr.Mahathir Mohamad untuk menamakan pemimpin pembangkang yang beliau (Dr.Mahathir) temui sebelum Karpal dan sekutunya yang lain ditahan dibawah ISA di Kem Tahanan Kamunting.

Tindakan Karpal yang tiba-tiba melompat mencabar Dr.Mahathir pada ketika ini nampaknya tidak lebih dari strategi beliau untuk mengalihkan tumpuan umum dan melepaskan diri dari isu yang lebih besar.

Untuk makluman semua, Karpal terloncat-loncat berikutan kenyataan Dr.Mahathir dalam buku terbaru Tom Plate bertajuk Doctor M: Operation Malaysia.

Dalam buku tersebut Dr.Mahathir menyatakan bahawa Operasi Lalang 87 adalah operasi keselamatan dan bukannya tindakan politik. Dr.Mahathir juga menyebut tentang pertemuan dengan ahli politik pembangkang sebelum mereka di-klasifikasikan sebagai ‘ancaman’ kepada keselamatan Negara.

Pada pendapat saya tindakan terkini Karpal tidak lain dari ingin lari dari masalah sebenar beliau.

Karpal menghadapi masalah kredibiliti sebagai seorang peguam dan sebagai ahli politik veteran akibat watak ‘dua-alam’ beliau berhubung pertuduhan kesalahan LIWAT terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Karpal juga nampaknya terjerat dengan mainan politik kotor berhubung Suruhanjaya Siasatan Di-Raja berhubung kematian Teoh Beng Hock.

Kenyataan-kenyataan saya sebelum ini amat jelas berhubung isu-isu ini dan saya menasihatkan Karpal agar menjawab persoalan-persoalan tersebut terlebih dahulu sebelum mencabar orang lain.

Karpal harus berani membersihkan dirinya dan profesion guaman itu sendiri dan bukan bertindak sebagai seorang pengecut.

Tidak mungkin ‘Harimau Jelutong’ kini dayus dan mula melarikan diri dari kenyataan.

Apakah Karpal masih ada kredibiliti?

Terima Kasih

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru.

Friday, February 11, 2011

Peguam atau Politik Hipokrit ?


Keputusan Kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Di-Raja -dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong - berhubung kes kematian Teoh Beng Hock baru-baru ini disambut baik semua pihak.

Secara umumnya semua pihak ingin suatu penyiasatan yang terperinci berhubung perkara-perkara yang menjurus kepada kematian setiausaha politik ADUN DAP Seri Kembangan itu.

Teoh Beng Hock juga adalah bekas pembantu politik kepada beberapa orang lagi ahli politik DAP, yang pada ketika kematian misteri-nya, sedang dalam siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kita harus ingat bahawa Teoh Beng Hock adalah saksi utama dalam penyiasatan kes penyelewengan melibatkan beberapa ahli politik DAP dan kematiannya telah nyata membantutkan kerja SPRM.

Semua pihak menyokong penuh penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja tetapi yang pelik-nya, pihak yang mengkritik hebat SPRM dan Kerajaan seolah-olah tidak senang dengan penubuhan Suruhanjaya di-Raja ini.

Golongan yang konon-nya memperjuangkan keadilan untuk mendiang Teoh Beng Hock dan berarak dijalanraya menuntut keadilan kini nampaknya cuba melengahkan perjalanan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja ini.

Saya amat terkejut dengan kenyataan peguam anak-beranak Karpal Singh dan Gobind Singh yang mewakili keluarga mendiang Teoh Beng Hock. Sekarang mereka pula mahukan proses siasatan Suruhanjaya Di-Raja ini di-tangguh.

Tindakan kedua-dua ahli politik DAP ini bukan sahaja pelik malah amat mengelirukan kerana DAP lah yang sebelum ini mempolitik-kan isu ini dan menjajanya keseluruh pelusuk Negara.

Kematian Teoh Beng Hock juga dijadikan modal kempen politik dalam setiap pilhanraya kecil untuk mengelirukan rakyat, terutamanya mereka ynag berketurunan Cina.

Hampir kesemua puak pembangkang yang dikepalai DAP melemparkan pelbagai tuduhan dan tidak berpuashati dengan Inkues Keatas Kematian Teoh Beng Hock.

Mereka mendesak penubuhan Suruhanjaya Di-Raja tetapi apabila kerajaan menubuhkan Suruhanjaya mereka kini ingin menangguhkan perjalanan siasatan Suruhanjaya ini.

Dalam kenyataan mereka mendesak penangguhan perjalanan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja ini, Karpal and anak beliau berkata “penangguhan itu perlu kerana kami mempunyai kes-kes penting yang lain seperti kes Liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim”.

Kenyataan kedua anak-beranak ini jelas menunjukkan bahawa kes kematian Teoh Beng Hock ini tidak lebih dari alat politik mereka dan mereka sebenarnya tidak berminat untuk mencari kebenaran atau keadilan untuk si-mati.

Nampaknya kedua-dua peguam anak-beranak yang juga ahli politik DAP hanya berminat untuk mengeksploitasi kematian Teoh Beng Hock untuk kepentingan politik mereka dan DAP.

Tindakan terkini kedua peguam ini jelas menunjukan permainan politik kotor DAP yang nampaknya tidak ingin kes kematian Teoh Beng Hock ini diselesaikan.

Saya berpendapat tiada sebab kenapa Suruhanjaya Siasatan Di-Raja berhubung kematian Teoh Beng Hock ini harus ditangguhkan. Malah, ianya harus diberi tumpuan khusus dan diteruskan secepat mungkin demi keadilan dan kebenaran.

Suruhanjaya Siasatan Di-Raja tidak harus tunduk kepada desakan dan mainan politik peguam-peguam yang mempunyai kepentingan peribadi dan politik masing-masing.

Karpal Singh dan anaknya harus membuat keputusan sendiri menentukan peranan mereka dan bukan-nya mendesak Suruhanjaya Siasatan Di-Raja mengikut telunjuk mereka.

Persoalan-nya ialah - Apakah mereka ini ahli politik yang sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan politik DAP ataupun sememangnya mereka berdua adalah peguam yang berhemah?

Karpal dan anaknya serta peguam-peguam lain harus membuat pilihan antara kerjaya mereka sebagai peguam dengan kepentingan peribadi mereka sebagai ahli politik pembangkang.

Rakyat tidak harus di-kelirukan dan profesion guaman tidak harus di-lacurkan dengan tingkahlaku segelintir peguam yang hipokrit.


Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru