Thursday, April 12, 2012

Kerajaan harus tangani ancaman LGBT


Usul tergempar melarang golongan yang mengamalkan budaya serta tabiat songsang, terutamanya golongan LGBT, daripada menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Usul tergempar yang saya cadangkan pada 5hb April lau, untuk dibentang di Dewan Rakyat, telah ditolak oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (2) dan 23 (1)(c).

Sebagai ahli Dewan Rakyat saya menghormati keputusan beliau namun asas penolakan – bawah Peraturan Mesyuarat 23(1)(c) - yang antara lain mengklasifikasikan usul ini sebagai remeh adalah tidak tepat.

Saya ingin menjelaskan disini bahawa usul ini bukan sesuatu yang remeh, jauh sekali dangkal atau merupakan tohmahan berniat jahat.

Ancaman golongan sesat yang mengamalkan budaya songsang LGBT adalah amat nyata dan ketara dimasyarakat kita sejak kebelakangan ini. Golongan ini telah semakin berani mempamerkan amalan jijik mereka secara terbuka.

Saya mengemukakan usul tergempar ini tempohari bukan untuk kepentingan peribadi tetapi semata-mata untuk menyelamatkan bumi bertuah ini dari ditimba bala dikemudian hari.

Isi kandungan Usul tergempar saya adalah seperti berikut:-

1. Sebagai negara Islam yang mengamalkan nilai-nilai murni sudah tiba masanya Perlembagaan negara kita diperkukuhkan lagi demi masa depan anak-anak kita.

2. Ancaman budaya songsang adalah benar dan nyata. Jika dilihat dibeberapa negara Barat, golongan yang mengamalkan budaya songsang telah menerap masuk kedalam system pentadbiran negara dan mencorak dasar kerajaan.

3. Mungkin sudah ada masyarakat Barat yang sanggup di-pimpin oleh golongan gay atau lesbian tetapi apakah kita diMalaysia sanggup?

4. Saya mencadangkan agar ahli Dewan Rakyat memandang serius ancaman budaya songsang ini dan membuat ketetapan serta apa-apa pindaan undang-undang yang perlu untuk melarang anak-anak kita daripada dilanda musibah dimasa hadapan.

5. Saya tidak ingin merujuk pada mana-aman individu, yang hidup ataupun yang mati, tetapi kita tidak boleh membiarkan Dewan Rakyat yang mulia dicemarkan golongan yang songsang.

6. Saya pasti bukan saja Islam, malah semua agama yang di-iktiraf didunia ini melarang amalan-amalan songsang yang diterma sebagai - LGBT .

7. LGBT adalah ancaman kepada masyarakat Malaysia yang beragama dan berpegang kepada nilai-nilai murni yang diwarisi turun-temurun.

8. Saya pasti tidak ada satu pun bangsa didalam negara kita ini yang ingin dipimpin oleh golongan songsang ini.

9 Adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota Dewan Rakyat, yang dipilih rakyat untuk menjaga kepentingan masyarakat serta keselamatan negara ini, menyokong usul untuk memperkukuhkan teras kita sebagai sebuah negara yang bertamadun.

Saya tidak Nampak di-mana letak-nya kedangkalan isu ini.

Saya berpegang teguh kepada pendirian ini dan ingin mendesak agar semua parti politik didalam negara ini tampil menyatakan pendirian mereka berhubung ancaman LGBT ini.

Apakah ada parti politik atau pemimpin yang akan tampil menyokong golongan yang mengamalkan budaya sesat dan songsang seperti LGBT memimpin masyarakat kita?

Ini bukan soal politik kepartian. Ini adalah soal masa depan anak-anak dan negara kita yang kaya dengan nilai-nilai ketimuran yang murni.

Perkara ini memerlukan tindakan serta penyelesaian dengan kadar segera kerana kita tahu pilihanraya umum semakin hampir.

Saya khuatir akan ada usaha untuk menonjolkan calon-calon pilihanraya dari golongan LGBT untuk mempamerkan sikap terbuka, bebas dan liberal parti tertentu.

Sehubungan dengan ancaman ini, saya ingin mendesak agar semua parti politik terutamanya parti yang berjuangan berlandaskan agama untuk menyatakan pendirian mereka secara terbuka.

Saya tidak fikir PAS atau Umno, mahupun DAP bersedia meletakan calon dari golongan LGBT untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang.

Saya pasti parti politik yang dipimpin mereka yang waras dan beragama tidak akan menengahkan golongan LGBT sebagai pemimpin dalam masyarakat kita.

Berdasarkan fakta-fakta dan realiti kehidupan, adat serta budaya masyarakat Malaysia yang bulat-bulat menentang golongan LGBT ini, saya ingin mendesak agar kerajaan mengambil langkah-langkah untuk menangani ancaman ini.

Kerajaan harus bertindak dengan kadar segera kerana kita tidak mahu wujud keadaan di-mana menteri atau perdana menteri kita mengelilingi dunia atas urusan rasmi bersama teman sejenis beliau.

Ancaman sedemikian adalah benar dan nyata.

Ini bukan dangkal, remeh atau tohmahan terhadap mana-mana pihak.

Terima Kasih.


Dato’ Seri Zahrain Mohamed Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

Thursday, March 15, 2012

Perbahasan Parlimen 2012 - 15 March 2012


Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim

Dewan Rakyat - Parlimen Malaysia

Assalammualaikum Warahmatullahiwabarakatuh.

Tuan Yang Di-Pertua,

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa terima kasih kerana diberi peluang membahaskan Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Sememangnya Titah Ucapan SPB Yang DiPertuan Agong pada hari Isnin, ketika pembukaan sidang dewan pada kali ini, amat bermakna dan membawa teguran serta nasihat yang harus kita hayati.

Antara nasihat SPB Yang DiPertuan Agong diDewan Yang Mulia ini adalah agar kita rakyat Malaysia bersatu padu, taat kepada Negara tercinta ini dan jangan sekali-kali menjadi pengkhianat.

Tuan Yang DiPertua,


Sebelum mengulas lanjut saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana usaha transformasi kerajaan berjalan lancar dan telah mula membuahkan hasil.

Secara umumnya rakyat Malaysia bersyukur kerana mempunyai seorang pemimpin dan barisan anggota kerajaan yang memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.

Terdapat kelemahan-kelemahan khusus dalam kerajaan dan sistem pentadbiran kita, yang saya fikir akan diperbaiki dari masa kesemasa demi kepentingan rakyat.

Berdasarkan rekod serta iltizam yang dipelopori YAB Perdana Menteri, serta saranan Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, saya pasti rakyat akan berdiri teguh dibelakang pemimpin Negara yang mengutamakan perpaduan, keselamatan serta kemakmuran Negara dan rakyat.

Tuan Yang DiPertua,

Dewasa ini politik songsang merupakan satu ancaman serius kepada perpaduan, keselamatan serta kemakmuran bumi bertuah ini.

Politik songsang berasaskan nafsu gila kuasa, yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamat, kini telah menjadi mainan harian.

Segelintir manusia yang kemaruk kuasa dan ingin menguasai Putrajaya walau dengan apa cara sekalipun sedang giat memperluaskan budaya politik songsang ini.

Politik songsang yang dipelopori puak yang terdesak ini menghalalkan yang haram, dan mengharamkan yang halal.

Tuan Yang DiPertua,

Umpama pepatah ‘bersatu kita teguh bercerai kita roboh’, perpaduan adalah tunjang negara kita.

Tunjang inilah yang kini diserang bertubi-tubi oleh mereka yang mengamalkan politik songsang.

Pelbagai helah dan tipu daya digunakan untuk mengelirukan serta menghasut rakyat agar menentang kerajaan.

Masyarakat pelbagai kaum diasak dengan bermacam hasutan yang bertujuan menimbulkan kebencian diantara kaum, sekaligus memecahbelahkan masyarakat.

Jika dahulu politik menjurus kepada perpaduan dan pembaharuan, kini politik diracuni pelbagai elemen kurang sihat serta anasir yang tekad untuk menggulingkan kerajaan.

Tuan Yang Di-Pertua,

Rata-rata rakyat yang cintakan keamanan dan kemakmuran kini risau akan usaha pihak pembangkang kita yang menagih simpati serta bantuan asing untuk menggulingkan kerajaan.

Kita tahu bahawa ada parti politik pembangkang serta beberapa badan bukan kerajaan atau NGO yang terbukti bersekongkol untuk menjatuhkan kerajaan kita.

Mereka telah menjalinkan hubungkan yang begitu akrab dan bergerak atas nama demokrasi, hak asasi serta kebebasan. Tujuan jahat golongan ini hanyalah untuk meletakkan pemimpin boneka mereka ditampuk kuasa.

Tuan Yang Di-Pertua,


Apa yang saya dedahkan ini bukanlah rekaan semata-mata kerana saya mempunyai bukti kukuh akan penglibatan pihak luar dalam politik tempatan.

Saya mencabar pemimpin Parti Keadilan Rakyat untuk menafikan yang modul serta gerak kerja pilihanraya mereka disusun dan diolah oleh dua buah badan asing dengan kaitan puak Yahudi, iaitu Konrad Adeneur Foundation (KAF) dan National Democratic Institute for International Affair (NDI).

Kedua-dua badan yang nyata mempunyai hubungan yang begitu akrab dengan pelobi Yahudi antarabangsa berperanan menyediakan ‘operating procedure’ atau gerak-kerja bagi parti PKR untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang.

Malah anasir-anasir ini telah mula bergiat ketika beberapa pilihanraya kecil dan sewaktu pilihanraya negeri di Sarawak pada tahun lepas.

Bahan latihan & Kempen Pilihanraya ( Election Preparation Kit) Parti Keadilan Rakyat ini di-sediakan dengan bantuan dan tajaan pihak asing.

Wakil beberapa NGO tempatan serta parti politik juga telah dilatih dinegara luar akan cara-cara untuk menentang kerajaan. Salah satu latihan khusus mereka ialah bagaimana untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Helah atau topeng yang selalu digunakan adalah konon-nya perjuangan mereka adalah untuk menegakkan demokrasi, kebebasan serta hak asasi manusia.

Tuan Yang Di-Pertua,

Penglibatan pihak asing, terutamanya badan-badan pelobi Yahudi, dalam urusan politik tanahair adalah sesuatu yang amat berbahaya kerana ianya mampu menjerumuskan kita kekancah konflik sesama sendiri.

Apa yang saya sebutkan ini tidak mustahil. Lihat saja apa yang berlaku di beberapa Negara Islam di Timur Tengah.

‘Arab Spring’ tidak terjadi dengan sendiri-nya dan beberapa siri penangkapan penghasut Barat telah membuktikan campur tangan asing di negara-negara Islam.

Seperti yang di-ingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, kita harus berwaspada akan kuasa asing yang mempergunakan NGO untuk menghasut rakyat dan menjatuhkan kerajaan.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mendesak pihak Kementerian Dalam Negeri agar menubuhkan satu badan khas untuk menyiasat penglibatan ‘orang asing’ dalam politik tanahair.

Pihak KDN tidak harus mengambil mudah akan perkara ini kerana jika dibiarkan tanpa apa-apa tindakan, pengkhianat yang gila kuasa akan menjual negara ini untuk memuaskan nafsu rakusnya.

Jika yang mengaku konon-nya pemimpin Islam tersohor sanggup ‘menjamin keselamatan negara Israel’, kita harus berwaspada agar pemimpin sebegini tidak mempelawa ‘Israel menjamin keselamatan negara kita’.

Tuan Yang Di-Pertua,

Sedang PKR dan pimpinan mereka terjerumus dengan anasir luar yang berhasrat memporak-perandakan negara kita, ada segelintir lagi puak pembangkang yang tidak jemu memperjuangkan pengganas Komunis.

Pengganas Komunis yang suatu ketika dahulu membunuh orang awam serta anggota keselamatan kita kini ingin dijulang sebagai pejuang kebebasan.

Saya difahamkan terdapat usaha terbaru untuk mendesak kerajaan agar ketua pengganas Komunis Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia untuk meghabiskan sisa-sisa hidupnya.

Tuan Yang Di-Pertua,


Jika Kerajaan akur dengan desakan puak chauvinis yang ingin memperjuangkan hak Chin Peng untuk kembali ke Malaysia, saya ingin mendesak agar Chin Peng diklasifikasikan sebagai penjenayah perang.

Saya juga ingin mendesak Kerajaan agar Chin Peng dihadapkan ke Tribunal Jenayah Perang yang berpengkalan di Kuala Lumpur kerana kesalahan membunuh orang awam serta anggota keselamatan kita.

Baru-baru ini Malaysia telah di-iktiraf sebagai negara yang paling selamat di Asia Tenggara. Janganlah kita sia-siakan usaha serta kejayaan pihak berkuasa ini dengan membenarkan ketua pengganas bertapak kembali dibumi bertuah ini.

Tuan Yang Di-Pertua,

Tanggal 8 Mac lepas, genaplah empat tahun sejak pilihanraya umum 2008 dimana pihak pembangkang berjaya menubuhkan kerajaan dibeberapa negeri.

Politik tanahair agak kucar kacir semenjak Mac 2008 kerana - ‘umpama beruk dengan kalung bunga’ -pihak yang tiba-tiba terduduk disingahsana, mabuk kuasa.

Saya pasti rakyat pun telah jemu dengan gelagat pembangkang kerana tidak ada sehari pun yang berlalu tanpa polemik politik pembangkang sejak pilihanraya umum 2008.

Walaupun telah berjaya mendirikan kerajaan dibeberapa negeri namun tumpuan mereka bukanlah untuk mentadbir tetapi mencari kesalahan orang lain.

Saban hari ada sahaja tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap pemimpin negara.

Tuan Yang DiPertua,


Demokrasi subur dinegara kita. Jika tidak, mana mungkin pihak pembangkang berkuasa di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor?

Jika demokrasi dan kebebasan tidak wujud, mana mungkin seorang bekas banduan menjadi ketua pembangkang?

Menerusi amalan demokrasi lah rakyat di Kelantan, Pulau Pinang, Kelantan serta Selangor telah memberi kepercayaan mereka kepada pihak pembangkang dalam pilihanraya tahun 2008.

Tetapi, apakah mereka yang menagih sokongan rakyat dan berjaya menubuhkan kerajaan telah mengotakan janji dan berkhidmat demi kepentingan rakyat?

Tuan Yang Di-Pertua,

Rakyat di-negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat harus ‘tepuk dada tanya selera’. Apakah pencapaian sebenar Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang serta Selangor?

Selain menyalahkan kerajaan Barisan Nasional serta pemimpin negara, apa sumbangan sebenar Pakatan Rakyat dalam membangunkan negeri-negeri ini?

Selangor serta Pulau Pinang masih bermegah dengan pelaburan serta hasil kerja kerajaan negeri terdahulu manakala nasib rakyat Kedah dan Kelantan semakin hari semakin merudum.

Pulau Pinang kini masyhur dengan skandal penjualan tanah rakyat di Bayan Mutiara, Kedah dikenali umum berikutan cubaan untuk menggulingkan Menteri Besar, nasib rakyat Kelantan semakin teruk dengan ketiadaan air bersih untuk diminum.

Tuan Yang DiPertua,

Negeri Selangor yang suatu ketika dahulu penjana utama ekonomi negara, kini bergantung kepada penjualan aset kerajaan.

Skandal kecurian pasir semakin menjadi-jadi dan baru-baru ini timbul pula skandal sampah. Saya pasti rakyat Selangor malu kerana memilih sebuah kerajaan yang tidak tahu hujung pangkal sehingga tidak mampu menguruskan masalah pembuangan sampah pun.

Disebabkan kegagalan mereka mentadbir negeri-negeri ini dengan berkesan pembangkang nyata terdesak dan untuk mengalih perhatian rakyat pelbagai helah serta tipu muslihat diperkenalkan.

Antara strategi pihak pembangkang yang memang saya ketahui ialah melemparkan tuduhan-tuduhan liar yang bersifat peribadi terhadap pemimpin tertinggi dengan harapan agar kepincangan diri sendiri dilupakan rakyat.

Satu lagi strategi yang agak merbahaya ialah menghasut rakyat dengan isu-isu perkauman, agama serta berusaha mengagalkan apa sahaja usaha kerajaan yang akan memberi faedah kepada rakyat.

Niat mereka ini amat jelas. Jika rancangan kerajaan untuk keselesaan rakyat gagal, maka rakyat akan kecewa dan marah kepada kerajaan. Kekecewaan itu akan dicanang dengan pelbagai tuduhan seperti rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

Matlamat mereka hanyalah untuk menimbulkan rasa tidak senang dan kebencian terhadap kerajaan.

Tuan Yang Di-Pertua,

Strategi sedemikianlah yang digunakan pihak pembangkang dalam usaha untuk mengagalkan program kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, baucer buku untuk penuntut, program pemilikan rumah dan lain-lain.

Jika rakyat berpuashati dan gembira dengan program kerajaan, maka hilanglah sokongan kepada Pakatan Rakyat – yang rata-rata berasaskan politik kebencian atau ‘politics of hatred’.

Usaha menggagalkan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad adalah satu lagi tindakan jahat pihak pembangkang yang ingin mensabotaj kerajaan serta peneroka.

Kenapa pihak pembangkang bertekad untuk mengagalkan penyenaraian sebuah syarikat Bumiputera yang bakal mendatangkan hasil jangka panjang kepada peneroka dan kerajaan?

Apakah pembangkang benar-benar ingin memperjuangkan nasib peneroka dan menjaga kepentingan Felda atau adakah ini helah politik serampang dua mata?

Tuan Yang Di-Pertua,


Sebagai wakil rakyat kita harus bertanggungjawab dan berdasarkan tanggungjawab ini saya telah membuat sedikit penyelidikan berhubung kemelut ini.

Nampaknya, tuduhan pembangkang bahawa peneroka akan kehilangan tanah milik mereka bila FGVH disenaraikan di Bursa Saham adalah tidak berasas sama sekali.

Mana mungkin peneroka kehilangan tanah mereka bila FGVH adalah sebuah syarikat milik penuh kerajaan yang tidak melibatkan walaupun seinci tanah milik peneroka?

Menurut fakta-fakta penyenaraian yang dibentangkan pihak Felda, lebih 100,000 peneroka Felda bakal menerima durian runtuh dengan penyenaraian FGVH kerana kerajaan mengutamakan masa depan peneroka.

Imbuhan yang bakal diterima peneroka adalah atas dasar kerajaan yang mengutamakan tanggungjawab sosial peneroka dan bukan kerana tanah milik peneroka dijual kepada mana-mana pihak.

Tanah milik peneroka akan tetap menjadi milik peneroka. Saya ingin tegaskan disini bahawa tanah milik peneroka tidak terlibat langsung dalam penyenaraian FGVH. Ini adalah fakta, yang pembangkang war-warkan hanya auta.

Kempen maklumat palsu terancang yang didalangi pihak pembangkang sebenarnya telah merugikan peneroka apabila Koperasi Permodalan Felda (KPF) dihalang dari menjadi penyampai hasil penyenaraian kepada peneroka.

Dalang yang membantutkan usaha KPF adalah dari pihak pembangkang yang sanggup berjanji menerusi satu lagi manifesto mereka bahawa penyenaraian FGVH akan dihentikan jika Pakatan Rakyat menerajui kerajaan persekutuan.

Janji pembangkang tersebut adalah bukti nyata akan peranan mereka untuk mengagalkan usaha kerajaan.

Tuan Yang Di Pertua,

Rancangan tersusun pembangkang untuk menggagalkan penyenaraian FGVH ini sebenarnya adalah satu gerakan halus untuk mensabotaj ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

Rancangan halus ini mungkin tidak disedari sebahagian besar peneroka namun inilah hakikatnya. Jika tidak, kenapa usaha untuk mewujudkan sebuah syarikat perladangan yang ke-empat terbesar didunia dihalang sebegitu rupa sehingga sanggup memohon injunki mahkamah?

Apakah syarikat Melayu/Bumiputera tidak layak bergiat dipersada antarabangsa? Kenapa penyenaraian syarikat-syarikat bukan Bumiputera tidak menerima tentangan yang sedemikian rupa?

Perdana Menteri, pengerusi dan pengarah urusan kumpulan Felda telah berulang kali menyatakan secara rasmi bahawa 500,000 hektar tanah peneroka tidak akan digunakan dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO).

Felda juga telah menyatakan bahawa ia akan terus memberikan sokongan dan bantuan kepada para peneroka, satu peranan yang telah dimainkan Felda selama hampir 56 tahun.

Tuan Yang Di-Pertua,

Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf kepada rakyat baru-baru ini atas kepincangan lampau Barisan Nasional atas satu contoh terbaik pemimpin berjiwa besar.

Tindakan Perdana Menteri itu mencerminkan keikhlasan beliau untuk berkhidmat untuk rakyat.

Rakyat amat menyanjung tinggi seorang pemimpin yang amat merendah diri dan sanggup memohon maaf tanpa mengira darjat dan kedudukan.

Seperti biasa puak pembangkang tetap memperlekehkan tindakan Perdana Menteri malah timbul pula tuduhan-tuduhan peribadi keatas beliau serta keluarga.

Tuduhan-tuduhan terbaru ini adalah tindakan mereka yang terdesak, berikutan peningkatan populariti Perdana Menteri dan kerajaan.

Tuan Yang Di-Pertua,

Perdana Menteri telah memohon maaf atas kepincangan lampau BN tetapi saya pasti rakyat pasti tertanya-tanya jika pemimpin-pemimpin pembangkang akan menuruti langkah Datuk Seri Najib.

Saya rasa pemimpin veteran DAP harus meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana peranan mereka dalam mencetuskan peristiwa berdarah May 13, 1969.

Pemimpin PAS harus meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya kepada umat Islam, kerana membakul sampahkan perjuangan menegak-kan negara Islam.

Presiden PAS harus meminta maaf secara terbuka kerana mengkafirkan pemimpin, ahli serta penyokong Umno menerusi Amanat Haji Hadi yang kini nyata telah memakan diri sendiri.

Tuan Yang Di Pertua,


Video seks seorang pemimpin pembangkang kini tersebar luas di Indonesia, Jepun, India dan beberapa negara serantau.

Saya sendiri telah menerima puluhan panggilan telefon dari kenalan dibeberapa negara jiran yang terkejut dengan aksi lucah pemimpin pembangkang tersebut.

Apakah pemimpin pembangkang ini juga akan memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana telah mendatangkan aib kepada negara.

Rakan-rakan di-Indonesia kini menggelar pemimpin pembangkang tersebut sebagai ‘Duta Porno Malaysia’. Ini amat memalukan negara kita.

Saya mendesak agar pemimpin pembangkang ini memohon maaf secara terbuka kerana memalukan rakyat dan negara Malaysia di mata dunia.


Tuan Yang Di Pertua,


Besar kemungkinan persidangan dewan kali ini adalah yang terakhir sebelum pilihanraya umum yang ke 13.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya sendiri dan rakyat negara bertuah ini agar tidak sekali-kali menggadaikan kedaulatan, keselamatan serta perpaduan yang kita kecapi selama ini.

Politik menjadi wadah untuk menentukan pimpinan negara tetapi cara berpolitik dan individu yang berpolitik harus matang.

Mereka yang beraksi dipentas politik semata-mata untuk memuaskan nafsu peribadi tidak mungkin dapat menjamin kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

Saya harap rakyat akan sentiasa berfikir secara matang sebelum membuat apa-apa keputusan yang mempunyai implikasi besar terhadap masa depan anak-anak kita.

Terima kasih.

Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

(Konsensus Bebas)

Monday, February 27, 2012

Debat LYNAS & Cuti KHALWAT


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

1. Sekali lagi pihak pembangkang telah cuba memperdayakan rakyat Malaysia menerusi budaya tunjuk perasaan jalanan yang tidak sinonim dengan budaya kita.

Percubaan terbaru ini adalah berkenaan pelaburan besar syarikat dari Australia, Lynas Corporation Ltd, untuk mendirikan kilang yang memproses bahan galian (rare earth/nadir bumi).

Sebenarnya nadir bumi ini adalah sebentuk galian dari bumi yang diproses untuk memerolehi bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai peralatan elektronik seperti telefon bimbit, televisyen dan skrin elektronik.

Yang nyata pelaburan Lynas di Kuantan (Pahang) ini amat lumayan dan mampu menarik industri elektronik bernilai tinggi ke kawasan perindustrian berdekatan di Pahang.

Ada sesuatu yang tidak kena dengan penentangan terhadap kilang Lynas yang di-ketuai ahli parlimen Kuantan YB Fuziah Salleh.

YB Fuziah dari PKR begitu lantang mengkritik Lynas dan telah menganjurkan tunjuk perasaan menentang pelaburan asing itu atas alasan ianya adalah ‘projek nuklear’ yang mampu membahayakan kesihatan rakyat Kuantan.

Setakat ini tidak ada apa-apa bukti saintifik untuk menyokong kenyataan YB Fuziah dan individu yang sebenarnya membongkar kecetekan kenyataan YB Fuziah ialah seorang lagi ahli parlimen pembangkang dari Pas.

YB Dr Che Rosli Che Mat (Ahli Parlimen Hulu Langat), seorang saintis nuklear yang bertauliah dan memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang nuklear sendiri telah menangkis kenyataan YB Fuziah.

Namun YB Fuziah nampaknya masih ingin mempertahankan andaian beliau bahawa bahan galian yang diproses dikilang Lynas akan membahayakan kesihatan penduduk manakala pakar nuklear YB Dr Che Rosli berpendapat sebaliknya.

Saya mencadangkan agar YB Fuziah dari PKR serta YB Dr Che Rosli dari Pas harus lebih bertanggungjawab dan memperjelaskan isu ini.

Saya mencadangkan agar kedua-dua wakil rakyat pembangkang ini mengadakan satu debat terbuka dan mengemukakan hujah masing-masing untuk membuktikan pendirian mereka.

Debat ini harus di-siarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan agar rakyat memahami isu Lynas ini.

Kedua-dua wakil rakyat dari Pas dan PKR ini hanya harus ingat bahawa Lynas bukan-lah isu politik.

2. Saya di-fahamkan Ketua Penerangan Kerajaan Selangor Dr Badrulamin Bahron yang kini di-siasat atas tuduhan berkhalwat dengan isteri orang di Kuantan telah diarahkan supaya bercuti rehat selama satu bulan.

Dr Badrulamin yang juga ahli pimpinan tertinggi PKR telah di-arahkan bercuti sehingga beliau menyelesaikan masalah ‘kes khalwat’ yang beliau hadapi.

Apa yang saya kurang faham ialah sikap ‘double standard’ pihak pembangkang dalam isu Dr Badrulamin.

Saya hairan kenapa sehingga kini Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak di-arahkan agar bercuti sehingga penyiasatan Skandal Video Seks beliau selesai.

Pertuduhan berlakon dalam video seks bersama seorang wanita warga asing adalah lebih dashyat dan amat memalukan jika dibandingkan dengan tuduhan kes khalwat Dr Badrulamin.

Inilah masanya untuk pihak pembangkang, terutamanya pemimpin PKR dan Pas, untuk mencermin diri mereka.


Terima Kasih

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru


Wednesday, February 15, 2012

Khalifah Omar Abdul Aziz sokong Israel?

Ketika ini pemimpin pemimpin PKR, Pas dan Dap semacam bermain wayang kulit berhubung isu kenyataan tidak bertanggungjawab Ketua Umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan akhbar asing the Wall Street Journal baru-baru ini.

Yang nyata kenyataan Anwar Ibrahim yang berikrar akan menyokong keselamatan Israel, yakni menyokong penindasan kejam terhadap rakyat Palestine, telah menimbulkan pelbagai persoalan dikalangan rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia, terutamanya orang Islam, amat tersinggung dengan kenyataan biadap Anwar Ibrahim yang nyata menyokong puak Zionis.

Kenyataan di-WSJ juga telah menampak-kan sifat keji talam dua-muka Anwar, tetapi yang amat merisaukan saya ialah tindakan pemimpin-pemimpin dari PKR, Pas dan Dap.

Individu-individu yang menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin ini masih meneruskan percubaan mereka untuk memutarbelit dan mengelirukan rakyat Malaysia berhubung kenyataan biadap Anwar Ibrahim.

Ada ulama dalam Pas yang membuat kenyataan akhbar mendesak Anwar Ibrahim memperjelaskan kenyataan biadab beliau di WSJ, tetapi ada pula yang terus menerus menuduh pihak lain.

Pemimpin PKR telah menempelak Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz dan secara tidak langsung melenyapkan suara-suara sayup ulama Pas yang lain.

Isu Palestine adalah isu kemanusiaan. Isu Palestine adalah isu keganasan terancang Israel dan bukan-nya isu Islam atau Kristian.

Dalam situasi ini, saya amat terkejut kerana setakat ini pemimpin DAP hanya menjadi penonton persembahan wayang kulit politik yang di-mainkan pemimpin dari PKR dan PAS.

Kita tahu secara nyata, melalui kenyataan biadap Anwar Ibrahim, PKR adalah penyokong Israel.

Kita tahu PAS masih menyokong PKR didalam Pakatan Rakyat. Tapi apa pula pendirian DAP?

Apa pendirian setiausaha agong DAP Lim Guan Eng berhubung kenyataan biadap Anwar Ibrahim yang jelas menghina rakyat Palestine yang tertindas sekian lama dibumi mereka sendiri?

Apakah Lim Guan Eng hanya akan bersuara, membuat kenyataan dan sidang akhbar, jika sesuatu isu itu ada hubungkait dengan kaum Cina sahaja?

Apakah ini tabiat dan politik sebenar Khalifah Omar Abdul Aziz yang di agung agung kan pemimpin Pas?

Mana pergi-nya ungkapan “Amal maaruf, nahi mungkar’ yang dijaja Lim Guan Eng ketika memperdaya orang Melayu untuk mengundi DAP.

Sejak kebelakangan ini DAP amat berminat dengan keahlian orang Melayu tetapi mengapa DAP senyap seribu bahasa bila timbul isu yang dekat dengan hati orang Melayu?

Saya mendesak Lim Guan Eng, selaku Ketua Menteri Pulau Pinang yang sering mengungkapkan bahawa beliau adalah pemimpin untuk semua kaum dan bukan hanya kaum Cina, membuktikan bahawa beliau bukan seorang pemimpin chauvinis Cina.

Saya mendesak Lim Guan Eng selaku setiausaha agong DAP untuk membuktikan bahawa DAP bukan-nya sebuah parti rasis dan chauvinis yang hanya menjaga kepentingan orang Cina.

Saya mendesak Lim Guan Eng menyatakan pendirian beliau dan DAP berhubung kenyataan biadab Anwar Ibrahim di AWJ yang nyata menyokong puak Zionis.

Saturday, January 14, 2012

Anwar harus merayu, jika tidak mohon maaf.

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera

Ramai diantara kita yang terkejut dan seakan tidak percaya dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan meliwat pembancuh kopi-nya Saiful Bukhari pada Isnin lepas.

Malah saya difahamkan Anwar Ibrahim dan keluarga serta penyokong tegar nya juga tidak percaya yang beliau akan dibebaskan kerana kepincangan teknikal bukti-bukti yang dikemukakan pihak pendakwa.

Apapun reaksi dan pendapat, mahkamah telah membuat keputusan. Kita menerima keputusan tersebut tetapi ini tidak bermakna keputusan itu harus diterima sebagai sesuatu yang muktamad.

Dalam sistem serta proses undang-undang negara, semua pihak yang terlibat layak mengemukakan rayuan mereka kepada Mahkamah Rayuan.

Pihak Saiful telah membuat kenyataan agar keputusan itu dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan, begitu juga dengan pihak pendakwaan.

Namun keputusan samada harus dibuat rayuan atau tidak ( bagi pihak pendakwa) terletak di tangan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Tetapi bagaimana dengan si tertuduh dalam kes ini? Apakah Anwar Ibrahim tidak ingin membuat rayuan ke-atas keputusan Hakim Mohd Zabidin Mohd Diah untuk melepaskan beliau?

Mungkin tidak masuk akal untuk tertuduh yang di bebaskan mahkamah untuk membuat rayuan tetapi kes liwat melibatkan manusia anugerah tuhan ini adalah berbeza sama sekali.

Tidak mungkin Anwar Ibrahim dapat menerima keputusan seorang hakim yang ‘berat sebelah’ .

Berikut adalah kata-kata yang di ungkapkan Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dihadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, ketika beliau di perintahkan membela diri.

Kata-kata ini terkandung dalam ucapan bacul Anwar Ibrahim yang enggan membuat kenyataan bersumpah dalam mahkamah pada 28 September 2011.


“Saya nyatakan sedemikian sebagaimana yang saya ungkapkan sebelumnya kerana keluhuran mahkamah telah terjejas dan memperlihatkan gejala gejala perbicaraan sandiwara dimana skripnya telahpun dirangka dan hukumannya telahpun termaktub.

"Saya nyatakan sedemikian kerana sebagai seorang hakim yang mengadili perbicaraan ini, anda tanpa ragu lagi menunjukkan sikap anda yang berat sebelah itu.

Saya nyatakan sedemikian kerana anda enggan menarik diri walaupun bukti sikap berat sebelah anda sebagai hakim terhadap saya menggunung banyaknya.

Saya menegaskan sedemikian kerana anda membiarkan sahaja segala pencerobohan yang melanggar peraturan dan prosedur manakala anda tidak menghiraukan bantahan saya berkenaan kecurangan pihak pendakwa.

Sedangkan penyelewengan serta kecurangan itu pastinya membuatkan seorang hakim yang adil menyedari akan niat jahat pihak pendakwaan.” – Anwar Ibrahim dari kandang.


Saya pasti Anwar Ibrahim, sebagai seorang manusia yang cukup sifat dan akal fikiran, serta sebagai seorang ahli politik yang ingin menjadi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan bertanggungjawab akan kenyataan nya didalam mahkamah tempoh hari.

Tuduhan-tuduhan Anwar Ibrahim terhadap Perdana Menteri serta isteri, Kerajaan Malaysia, sistem kehakiman kita, Peguam Negara, pihak pendakwaraya serta Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah adalah amat berat dan jijik.

Serangan Anwar Ibrahim terhadap Hakim Datuk Mohamad Zabidin ketika beliau di perintah membela diri adalah amat keji dan di siarkan di seluruh dunia, mengaibkan bukan sahaja peribadi Hakim malah seluruh sistem kehakiman negara.

Berasaskan sebab-sebab yang di nyatakan di-atas, sepertimana yang di-ungkapkan sendiri oleh Anwar Ibrahim di dalam mahkamah dan di laporkan di seluruh dunia, Anwar Ibrahim tidak harus menerima keputusan Hakim yang beliau sendiri sifatkan sebagai berat sebelah.

Saya mendesak Anwar Ibrahim agar mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan di-mana pertuduhan liwat beliau akan disemak semula oleh hakim lain dan bukan-nya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang ‘berat sebelah’.

Anwar Ibrahim harus membuat rayuan terhadap pembebasan beliau yang diputuskan oleh seorang hakim yang ‘berat sebelah’.

Jika Anwar Ibrahim tidak membuat rayuan, beliau harus memohon maaf secara terbuka kepada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah serta individu dan institusi lain yang telah beliau fitnah.

Anwar Ibrahim harus melutut dan memohon maaf dari Allah kerana fitnah serta pembohongannya telah memecah-belahkan rakyat Malaysia.

Terima Kasih

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

Wednesday, January 4, 2012

Rasuah dan sandiwara pembangkang

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012 kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya mereka yang mengikuti perkembangan semasa.

Sejak kebelakangan ini laungan suara sumbang anti-kerajaan semakin lantang didalam negara kita ini.

Walaupun suara-suara sumbang ini bukan lah baru tetapi isu dan cara sesuatu isu itu digembar-gemburkan ternampak pelik, lucu dan amat terdesak.

Usaha pihak tertentu untuk memperbodoh serta mengapi-apikan sentimen rakyat semakin kerap dan ketara mutakhir ini.

Mereka yang terdesak sanggup melakukan apa saja demi kelangsungan agenda mereka.

Agenda golongan ini, termasuk yang terdesak untuk membelakangkan undang-undang demi nafsu politik, adalah amat nyata.

Saya khuathir jika putar-belit golongan ini tidak di dedahkan, rakyat mungkin terpedaya.

Salah satu isu yang sering di perbesarkan tanpa henti ialah isu rasuah. Rasuah memang wujud dalam negara kita, malah tidak ada satu pun negara dalam dunia ini yang bebas rasuah secara mutlak.

Seperti gejala penyalahgunaan dadah, pelacuran, sumbang mahram, liwat serta jenayah jijik yang lain, rasuah masih menjadi salah satu musuh utama negara.

Laporan Transparency International baru-baru ini, walaupun tidak 100% sempurna laporan tersebut, jelas menunjukan bahawa tidak ada satu pun negara dalam dunia ini yang bebas dari gejala rasuah.

Perang menentang rasuah adalah sesuatu yang berterusan dan kini usaha ini telah di-lipat gandakan menerusi pelan Transformasi Kerajaan yang diperkenalkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kita sedar gejala rasuah tidak dapat dihapuskan dalam sekelip mata. Negara yang mengamalkan hukuman mati untuk pesalah rasuah seperti Republik Rakyat China sekalipun masih berhadapan dengan gejala jijik ini.

Apa yang pelik dalam negara kita ialah kewujudan segelintir ahli politik pembangkang yang begitu licik mengaburi mata rakyat konon-nya mereka lah pejuang menentang rasuah.

Kita wajib menyokong mereka yang menentang rasuah, malah seluruh rakyat harus berdiri teguh dibelakang kerajaan yang tegas memerangi rasuah, tetapi yang harus kita tentang juga adalah golongan ahli politik hipokrit.

Golongan yang tidak mengenal erti malu ini ini sebenarnya cuba mengaburi mata rakyat dengan sandiwara dan tipu muslihat mereka untuk memperdayakan rakyat, terutamanya golongan muda.

Perbuatan segelintir ahli politik pembangkang ini adalah sama jika tidak lebih jijik daripada rasuah itu sendiri kerana apa yang mereka lakukan ialah cuba menutup pekung mereka dengan menuduh orang lain.

Kita akui bahawa gejala rasuah memang wujud tetapi apakah tahap rasuah kita begitu teruk sehingga segala-galanya lumpuh seperti yang sering dibayangkan oleh puak pembangkang di Malaysia ini?

Rakyat harus berfikir sejenak dan bertanya “Apakah puak pembangkang yang saban hari berteriak tentang rasuah ini benar-benar ingin menghapuskan rasuah atau mereka semata-mata ingin mencari modal politik untuk memburukkkan kerajaan?

Jika benar DAP anti-rasuah kenapa pemimpin mereka yang terlibat secara langsung/tidak langsung dalam gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa masih digelar pemimpin DAP?

Jika benar DAP anti-rasuah, kenapa luahan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang tentang kewujudan rasuah dalam DAP tidak di-siasat sehingga kini?

Jika DAP anti-rasuah, kenapa pemimpin mereka yang, secara tidak langsung, menyebabkan kematian saudara Teoh Beng Hock masih bergelar pemimpin DAP?

Ya, kita akui Teoh Beng Hock didapati membunuh diri tetapi mengapa dan kenapa Teoh Beng Hock di-siasat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada ketika itu?

Bukan kah beliau disiasat berhubung siasatan rasuah/salah guna kuasa pemimpin DAP Selangor?

Bila suami seorang pemimpin wanita didapati bermasalah dengan pinjaman kerajaan, pemimpin tersebut diminta meletak kan jawatan tetapi kenapa pemimpin DAP yang jelas memberi kontrak kepada syarikat isteri nya sendiri tidak didesak sedemikian rupa?

Apakah pimpinan PKR di-Selangor dan Menteri Besar yang gemar berkereta besar di negeri jajahan Pas di utara tanahair bebas rasuah?

Apa kesudahan kes kecurian pasir dan rumah urut serta pelacuran yang berleluasa di negeri Selangor?

Saya berharap seluruh rakyat Malaysia akan berdiri teguh dibelakang SPRM dan pelan transformasi kerajaan untuk menghapuskan gejala rasuah dikalangan anggota masyarakat kita.

Saya juga ingin menyeru agar ahli politik yang muflis modal politik tidak melacurkan diri dengan menonjolkan diri sebagai pejuang anti-rasuah.

Jika benar ada dikalangan ahli politik pembangkang yang benar-benar anti-rasuah, maka mereka ini harus keluar mendesak diadakan satu siasatan ke atas perlakuan rasuah serta salahguna kuasa di kalangan ahli politik pembangkang.

Jika benar ada diantara ahli politik pembangkang dalam negara ini benar-benar ikhlas, maka mereka ini harus tampil menyokong SPRM dan bukan-nya menanti ditepi untuk mempolitik-kan setiap isu, seperti anjing menanti tulang.

Saya terkilan sehingga ke hari ini kenapa tidak ada satu pun pemimpin pembangkang yang menghargai kejayaan SPRM dalam membenteras gejala rasuah.

Apakah SPRM tidak layak di-hargai apabila mereka membongkar kes-kes besar seperti sindiket di Jabatan Kastam dan baru-baru ini di Iskandar Investment Berhad di Johor?

Kejayaan – kejayaan SPRM tersebut telah menyelamatkan berbillion ringgit duit rakyat.

Rakyat harus sedar bahawa suara-suara pemimpin serta ahli politik pembangkang yang konon nya anti-rasuah adalah tidak lebih dari sandiwara politik.

Jika bukan sandiwara, masakan mereka ini dapat tidur sebantal dengan seorang bekas Menteri Kewangan yang sungguh jijik perilakunya, di dalam dan di luar kamar tidur.


Terima Kasih,

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

Saturday, December 31, 2011

Selamat Tahun Baru 2012


Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012 untuk seluruh rakyat Malaysia dengan harapan agar kita rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, agama, bangsa dan siku kaum terus hidup bersatu-padu demi masa depan negara bangsa ini.

Biarlah kita rakyat Malaysia menjadi contoh kepada negara-negara lain di dunia. Kita harus bersyukur kerana dilahirkan di Malaysia bumi bertuah dan kita rakyat Malaysia harus menjauhkan diri dari melakukan apa sahaja yang akan memudaratkan masa depan negara tercinta dan anak-anak kita.

Biarlah kita melangkah ke tahun baru ini dengan hati yang bersih dan berpegang kepada kebenaran.

SELAMAT TAHUN BARU 2012