Monday, September 26, 2011

Sime Darby tidak meyakinkan.

KENYATAAN MEDIA


Nampaknya isu pembelian 30% saham E&O Berhad oleh Sime Darby Berhad dengan harga yang begitu tinggi masih belum dijelaskan lagi.

Bukan sahaja isu utama tidak dijawab malah ternampak semacam ada usaha untuk mengalih perhatian umum dari isu ini.

Setakat ini kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pelbagai pihak hanyalah percubaan menyokong atau menjustifikasi urusniaga Sime Darby – E&O dan bukannya penjelasan yang telus.

Alasan Sime Darby membayar premium yang tinggi berdasarkan kepakaran E&O dalam bidang pembangunan hartanah adalah satu kenyataan yang tidak masuk akal samasekali kerana Sime Darby sendiri adalah gergasi dalam bidang hartanah dengan pengalaman dan kepakaran mejangkaui empat dekad.

Apakah Sime Darby sudah tidak yakin dan percaya dengan kebolehan dan kepakaran kakitangannya sendiri?

Baru-baru ini bekas presiden Bursa Saham Kuala Lumpur Datuk Salleh Majid pun telah tampil mempersoalkan alasan yang dikemukakan Sime Darby.

Industri hartanah sedia maklum akan kepakaran warga Sime Darby yang bukan sahaja di-iktiraf di-dalam negara malah di-peringkat antarabangsa.

Satu lagi alasan remeh yang di-utarakan pihak berkepentiangan ialah kononnya dengan pembelian saham E&O Sime Darby dapat meningkatkan keluasan ‘land bank’ atau pemilikan tanah yang belum dibangunkan. Ini adalah satu lagi fakta songsang.

Saya rasa Sime Darby tidak terdesak untuk meningkatkan ‘land bank’ kerana keluasan ‘land bank’ sediaada Sime Darby, selepas penggabungan Golden Hope, Guthrie dan Sime Darby, adalah cukup besar.

Saya terasa agak pelik kerana setelah isu pembelian saham E&O ditimbulkan terdapat pelbagai percubaan untuk mengalih tumpuan rakyat jauh dari perkara asas.

Saya diberitahu ahli perniagaan terkenal Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan telah masuk campur untuk menutup mulut pihak yang terus mendesak agar urusniaga Sime Darby dan E&O diperjelaskan.

Jika benar cerita ini, ianya hanya meningkatkan lagi tahap keraguan rakyat terhadap tindak tanduk syarikat berkenaan kerajaan (GLC) dan kerajaan itu sendiri.

Kita tidak harus lupa bahawa skandal penggabungan ECM Libra dan syarikat milik kerajaan pada ketika itu Avenue Capital adalah salah satu faktor penyumbang kepada kejutan yang diterima kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2008.

Saya tahu akan isu ECM Libra dan Avenue Capital serta individu-individu yang terlibat secara langsung pada ketika itu.

Yang peliknya, individu-individu yang secara langsung menyebabkan rakyat menolak kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu masih lagi berperanan dalam beberapa urusniaga GLC yang tidak telus pada ketika ini.

Apakah kepimpinan ketika ini tidak sedar akan peranan musuh dalam selimut ini atau mungkinkah ‘budak-budak Tingkat 4’ sememangnya masih berkuasa, bebas merompak harta Khazanah seperti dahulu?

Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

26 September, 2011.

Thursday, September 22, 2011

Sesi Parliament Oktober 2011

SOALAN (Untuk Jawapan Lisan)


1.Minta Menteri Kerjaraya menyatakan apakah langkah Kementerian untuk mengelakkan berlakunya kesesakan jalanraya dari Jambatan Ke 2 ke Jambatan Pulau Pinang di FTZ (laluan Batu Maung ke Jambatan Pulau Pinang) selepas tamat pembinaan Jambatan ke 2.

2. Minta Menteri Pertanian dan Asas Tani menyatakan bilakah pembayaran pampasan kepada nelayan-nelayan yang terjejas akibat pembinaan Jambatan Ke 2 dapat diselesaikan.

3. Minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan apakah perbezaan ""Standard Operating Procedure"" (SOP) yang diguna pakai didalam penyiasatan kes-kes jenayah oleh agensi-agensi yang melakukan penyiasatan seperti POLIS dan SPRM berbeza dengan yang diamalkan oleh negara-negara lain."

4. Minta Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa memandangkan OPS SIKAP yang dilanksanakan baru-baru ini gagal, apakah langkah-langkah seterusnya yang akan dilaksanakan oleh Kementerian bagi mengurangkan kemalangan di jalanraya khususnya dimusim-musim perayaan."

5. Minta Menteri Pertanian dan Asas Tani menyatakan apakah galakkan dan insentif yang diberikan kepada pengusaha-pengusaha industri herba dan apakah peranan Kementerian untuk menluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

6. Minta Menteri Kesihatan menyatakan adakah Kementerian berpuas hati dengan latihan amali yang dijalani oleh doktor-doktor pelatih di hospital-hospital kerajaan.

7. Minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan daripada 50'000 unit rumah yang akan dibina untuk rakyat berpendapatan rendah , berapa banyakkah di peruntukkan di Bayan baru dan Balik Pulau."

8. Minta Menteri Kewangan menyatakan adakah Bank Negara Malaysia bercadang untuk menurunkan ""Net Interest Rate"" dibawah paras 2% seperti mana diamalkan oleh negara-negara maju seperti Jepun dan Singapura."

9. Minta Menteri Kewangan menyatakan samada bank-bank masih lagi dibenarkan untuk merujuk kepada ""Credit Tip-Off Service"" (CTOS) and ""Central Credit Reference Information System"" (CCRIS) di dalam pemprosesan pembukaan akaun-akaun bank"

10. Minta Menteri Kerjaraya menyatakan bahawa memandang kepada kesesakan jalanraya yang semakin serius dikawasan Bayan baru, Pulau Pinang khususnya jalan-jalan kearah Relau dan Sungai Ara, adakah Kementerian mempunyai perancangan untuk mengurangkan kesesakan dikawasan ini."

Sunday, September 18, 2011

Antara Pemimpin & Penghasut

Kita baru sahaja melepasi titik sejarah sambutan serentak Ulangtahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang ke 48 dan ulangtahun Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang ke 54.

Inilah kali pertama sambutan ulangtahun Hari Merdeka dan Hari Malaysia disambut serentak pada tanggal 16 September.

Sempena sambutan bersejarah itu rakyat dihidangkan beberapa kejutan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara pelbagai kejutan yang terkandung dalam ucapan Perdana Menteri pada malam 15 September, 2011 di Angkasapuri Kuala Lumpur ialah pengumuman keputusan Kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau I.S.A.

Saya pasti majoriti rakyat Malaysia menyambut baik keputusan Kerajaan ini walaupun ada golongan pejuang negara terdahulu yang masih was-was akan tindakan berani Najib Razak.

Ada dikalangan anggota dan bekas anggota keselamatan juga yang agak risau dengan tindakan memansuhkan ISA dan peruntukan langkah-langkah pencegahan yang lain.

Walaupun pada mulanya mungkin pahit, saya yakin tindakan pemansuhan ISA adalah kearah menjadikan negara kita sebagai sebuah negara Islam moden yang lebih demokratik lagi progresif.

Rasanya diantara pelbagai rancangan Transformasi Kerajaan yang diumumkan sebelum ini, langkah pemansuhan ISA ini merupakan ‘a single largest achievement’ atau langkah unggul dengan kesan paling besar atau positif.

Seperti yang di-ingatkan beberapa rakan, Najib Razak sebenarnya telah berjanji untuk mengkaji semula ISA dalam ucapan ulung beliau pada 2hb April, 2009.

Dan pada 15 September lalu beliau mengotakan janji itu dengan menghapuskan terus akta yang sekian lama digeruni kawan dan lawan.

Walaupun agak perlahan namun kepimpinan Najib semakin menyerlah dan pelan transformasi kerajaan yang dijanjikan telah mula menampakkan kesan.

Tetapi, apakah transformasi menyeluruh yang dipelopori Perdana Menteri ini disokong dan didukung oleh kesemua pemimpin, ahli dan penyokong Barisan Nasional.

Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang telah menampakkan hasil ketara ini akan gagal jika hanya Perdana Menteri dan beberapa kerat menteri dan pemimpin parti yang mengambil peduli.

GTP ini bukan berkenaan politik. Matlamat GTP adalah kesejahteraan rakyat dan oleh itu semua pihak dan golongan yang bertanggungjawab harus menghulurkan bantuan serta sokongan.

Jangan pula ada dikalangan pemimpin atau ahli pasukan Perdana Menteri sendiri yang bertindak lebih teruk dari pihak penghasut yang menyamar sebagai pembangkang dalam negara ini.

Mungkin inilah masanya untuk Barisan Nasional dan teraju-nya Umno untuk membezakan diri mereka dari puak penghasut yang bukan berniat membina negara bangsa ini.

Saya tahu puak penghasut tidak dapat tidur nyenyak kerana ‘Najib is doing all the right things’.

Tidak sampai 24-jam selepas Perdana Menteri membuat pengumuman pemansuhan ISA serta langkah-langkah transformasi politik dan sosial , telah muncul seorang pemimpin DAP yang ingin menggantikan bendera keramat Jalur Gemilang.

Inilah yang saya maksudkan sebagai puak penghasut. Belum pun reda kegilaan Mat Sabu, timbul pula Manoharan dari DAP dengan desakan dangkalnya.

Puak penghasut nyata gusar, lebih-lebih lagi dengan kemunculan satu lagi video yang memaparkan kelicikkan pemimpin ‘anugerah Tuhan’ mereka.

Kita harus waspada dengan puak penghasut yang akan senantiasa menghasut rakyat pelbagai kaum agar tidak ada keamanan politik dan sosial dalam masyarakat kita.

Penghasut tidak mempunyai ruang dalam Malaysia dimana rakyatnya hidup aman, rukun damai walaupun berbeza pandangan politik.

Politik yang matang merupakan mimpi ngeri puak penghasut yang dangkal dan mereka tahu Najib telah bertindak untuk mematangkan lagi politik tanahair, terutamanya dengan pemansuhan ISA.

Janganlah kita terperangkap dalam politik kotor lagi dangkal yang dipelopori mereka yang terdesak.


Terima Kasih.


Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

Monday, September 5, 2011

Transformasi Kerajaan dan SIME DARBY

Baru-baru ini Sime Darby Berhad telah mengumumkan pembelian 30% saham syarikat pembangunan hartanah Eastern&Oriental.

Sime Darby, sebuah GLC atau syarikat berkaitan kerajaan, telah membayar RM776 juta untuk memiliki 30% pegangan dalam syarikat hartanah tersebut.

Kita sedia maklum bahawa Sime Darby adalah gergasi dalam bidang perladangan, terutamanya selepas langkah penggabungan yang kontroversial beberapa tahun yang lalu.

Sime Darby juga memiliki kemahiran dan pengalaman luas dalam bidang pembangunan hartanah dan telah berkecimpung dalam bidang ini selama lebih 40 tahun.

Bukan setakat membina bangunan atau rumah, Sime Darby telah dengan jayanya membangunkan bandar-bandar baru dinegara kita.

Sime Darby juga dikagumi kerana kejayaan menguruskan rangkaian hospital swasta bertaraf antarabangsa.

Persoalannya kini ialah mengapa sebuah konglomerat yang berjaya dan berpengalaman seperti Sime Darby harus membelanjakan RM776 juta untuk memiliki 30% saham dalam E&O?

Dimana rasionalnya apabila syarikat gergasi seperti Sime Darby membelanjakan RM776 juta TUNAI kononnya untuk memerolehi kemahiran daripada syarikat E&O?

Apa kelebihan E&O sehingga Sime Darby sanggup membelanjakan begitu banyak dana pemegang saham untuk memperolehi 30% pegangan tetapi membenarkan pengurusan syarikat terbabit kekal ditangan orang lain?

Apakah ini caranya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menzahirkan pelan transformasi kerajaan (GTP) yang dipelopori Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak?

Kita masih ingat kontroversi dan kerugian melampaui RM1.2BILLION yang ditanggung Sime Darby baru-baru ini angkara pelaburan dalam sektor petroleum (oil & gas).

Ketika impak kerugian besar itu masih belum reda dan segelintir daripada mereka yang harus bertanggungjawab masih kekal dalam konglomerat itu menerima gaji dan imbuhan lumayan, apakah rasionalnya tindakan membeli 30% saham dalam E&O ?

Kita maklum sebahagian besar saham E&O, selain daripada 30% yang diperolehi Sime Darby, masih kekal ditangan warga asing termasuk seorang individu yang juga merupakan Pengarah di badan pelaburan kerajaan Singapura - Temasek Holdings. Apakah kepentingan strategic kita dalam E&O dalam situasi pemilikan yang sedemikian?

Ada pihak yang mempersoalkan jika tindakan Sime Darby adalah satu langkah ‘bail-out’ atau langkah menyelamatkan E&O ketika keadaan ekonomi global semakin merudum. Apakah persoalan ini ada asasnya?

Saya berpendapat pihak Sime Darby harus tampil memberi penjelasan yang sewajarnya agar konglomerat berkaitan kerajaan ini tidak menanggung kerugian berbillion ringgit dimasa hadapan akibat kecuaian pihak pengurusan.

Pelaburan Sime Darby yang agak tergesa-gesa ini membimbangan pelbagai pihak termasuk penganalis ekonomi yang rata-rata berpendapat ada sesuatu yang tidak kena dengan urusniaga membabitkan dana pemegang saham berjumlah RM776 juta.

Kupasan Pengarang Urusan suratkhabar The Star P.Gunasegaram (Viewpoints Saturday Sept 3, 2011) adalah amat bertepatan dan harus dijawab oleh pihak pengurusan Sime Darby.

Persoalan yan diutarakan Gunasegaram adalah amat relevan, berasas dan mencerminkan keraguan sebenar berhubung urusniaga terbaru Sime Darby ini.

Sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab mengutarakan pandangan serta mempertahankan hak rakyat, saya ingin mendesak pihak Sime Darby dan Kementerian Kewangan agar memperjelaskan isu ini sebelum nasi menjadi bubur.

Janganlah orang lain yang menjadi mangsa akibat angkara beberapa kerat tokoh korporat yang membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa mengira kepentingan dan sentimen pemegang saham dan rakyat umumya.

Siapa yang mengalami kerugian sebenar apabila Sime Darby kehilangan lebih RM1.2billion akibat kesilapan dalam sektor minyak & gas?

Mungkin ada pegawai Sime Darby yang ditukarkan kejawatan lain atau diberhentikan atau didakwa tetapi apa kesudahannya?

Tidak ada gunanya bila nasi sudah menjadi bubur.

Terima Kasih

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru.

Tuesday, August 30, 2011

BEBAN POLITIK PR - Anwar Ibrahim atau PKR?


Bulan lepas saya telah membongkar satu usaha sulit DAP dan PAS untuk mengantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

Individu bakal pengganti Anwar yang saya sebut masih senyap seribu bahasa namun pelbagai pihak yang tidak berkenaan telah menyerang saya bertalu-talu.

Maklumat berhubung usaha menggantikan Anwar ini datangnya dari rakan-rakan seperjuangan yang masih berada di dalam Pakatan Rakyat. Kedudukan mereka ini sekarang seperti ‘ditelan mati emak, diluah mati bapak’.

Keadaan semasa didalam Pakatan Rakyat, terutamanya PKR adalah amat getir kerana pemimpin DAP dan PAS telah mula menjerut PKR kerana kelemahan Anwar Ibrahim.

Perbincang di London baru-baru ini diantara beberapa pengamal undang-undang tersohor pihak pembangkang dan pemimpin-pemimpin pembangkang terutamanya DAP jelas membuktian dilema mereka.

Yang jelas, pemimpin DAP serta PAS sedar bahawa Anwar Ibrahim telah menjadi beban politik atau ‘political liability’, lebih-lebih lagi berikutan tindakan Anwar dimahkamah tempohari.

Sebilangan besar pemimpin DAP dan PAS bukan sahaja tersentak dengan tindakan Anwar yang membuat kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh malah sudah ada yang tampil menyuarakan kesangsian mereka terhadap Ketua Umum PKR itu.

Kenapa Anwar Ibrahim tidak membuat kenyataan bersumpah dimahkamah dan mempertahankan diri dari pertuduhan meliwat Saiful Bukhari Azlan?

Bukankah Anwar Ibrahim sering melaungkan slogan ‘Berani kerana Benar’?

Kini ternampak jelas pihak DAP dan PAS telah sedar akan siapa Anwar Ibrahim sebenarnya dan jelas kelihatan DAP dan PAS telah memulakan langkah awal untuk menyelamatkan parti mereka.

DiLondon baru-baru ini, perbincangan sulit tertumpu kepada langkah-langkah yang perlu diambil untuk ‘damage control’ kerana Anwar Ibrahim dikategorikan pemimpin DAP dan PAS sebagai ‘political liability’ atau beban politik kepada Pakatan Rakyat.

Malah parti PKR itu sendiri dianggap telah mula kehilangan pengaruh diperingkat akar-umbi gara-gara masalah peribadi Anwar Ibrahim.

Keadaan ini diakui bukan sahaja pemimpin tertinggi DAP dan PAS, malah ada diantara pemimpin PKR sendiri telah menzahirkan kebimbangan ini kepada presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beberapa hari lalu seorang pemimpin Melayu DAP Pulau Pinang telah mendesak agar PKR menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen (majoriti pengundi Melayu) kepada DAP dipilihanraya umum akan datang.

Kenyataan terbuka pemimpin DAP itu adalah langkah merealisasikan keputusan perbincangan diLondon dan beberapa pertemuan sulit lain diantara DAP dan PAS. Tujuan-nya adalah amat jelas, untuk meminggirkan PKR daripada percaturan politik Pakatan Rakyat.

Segolongan pemimpin tertinggi PKR sedar akan senario semasa ini dan kemungkinan terkuburnya parti yang satu ketika dulu mendokong gerakan reformasi.

Mungkin masih ada pemimpin PKR dalm situasi ‘ditelan mati emak, diludah mati bapak’ tetapi DAP dan PAS telah melepasi tahap dilema tersebut.

Pemimpin-pemimpin yang masih relevan dari DAP serta PAS telah membuat keputusan bahawa Anwar Ibrahim adalah beban politik atau ‘political liability’ dan harus disingkirkan.

Jika PKR tidak akur dengan ketetapan DAP serta PAS untuk menggantikan Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang maka PKR itu sendiri akan dipinggirkan tidak lama lagi.

Marilah kita sama-sama saksikan kesudahan satu parti politik yang masih bertungkus lumus menegakkan benang yang basah demi kepentingan seorang individu yang ingin menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Yang lain telah sedar, yang tidak sedar bakal di-talqinkan.

Terima Kasih

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru


Tuesday, August 16, 2011

PILIHANRAYA - Jawatankuasa Khas Parlimen


Keputusan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Parlimen (Parliament Select Committee) untuk mengkaji dan menambahbaik sistem serta proses pilihanraya di Negara kita adalah suatu tindakan bernas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak .

Jawatankuasa Khas yang dianggotai Ahli Parlimen dari parti pemerintah dan pihak pembangkang (seperti yang diumumkan) adalah amat bertepatan.

Keputusan ini dengan sendirinya akan menongkah segala tohmahan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab keatas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sambil memperbaiki apa jua kelemahan yang ada.

Jawatankuasa Khas Parlimen ini mempunyai tugas yang amat berat demi mempertahankan nama baik negara, yang sedikit sebanyak tercemar akibat perbuatan segelintir pihak yang gemar merusuh di jalanraya.

Berikutan pengumuman penting ini semalam, terdapat pelbagai cadangan, saranan dan tekanan tentang siapa yang harus menganggotai Jawatankuasa Khas Parlimen ini dan siapa pula yang harus mempengerusikannya.

Memandangkan ianya adalah suatu Jawatankuasa Khas Parlimen (Parliament Select Committee) saya mencadangkan agar keanggotaan-nya dikhaskan kepada Ahli Parlimen serta pihak Suruhanjaya Pilihanraya sahaja.

Penglibatan pihak lain dalam Jawatankuasa Khas parlimen ini, terutamanya mereka yang gemar merusuh dijalanan dan memburukan nama Malaysia diluar negara, harus ditentang kerana niat mereka bukan untuk mencari jalan penyelesaian.

Desakan agar Jawatankuasa Khas Parlimen ini dipengerusikan atau diketuai wakil parti pembangkang juga adalah tidak waras samasekali kerana mereka adalah pihak berkepentingan yang telah lama mempolitik-kan perkara ini.

Saya berpendapat, salah seorang daripada Ahli Parlimen Bebas harus dilantik untuk mempengerusikan Jawatankuasa Khas ini agar matlamat sebenar penubuhan jawatankuasa ini dapat dicapai tanpa sebarang gangguan berunsur politik atau kepentingan mana-mana pihak.

Cadangan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen ini adalah suatu usaha ikhlas, namun jika keanggotaan-nya tidak dikawal saya khuathir ianya akan menjadi satu lagi pentas mainan politik.

Terima Kasih


Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

Wednesday, August 10, 2011

LEWAT, LIWAT & Anugerah Tuhan


Perkembangan terkini kes LIWAT Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah agak pelik.

Anwar Ibrahim menghadapi pertuduhan meliwat / melakukan seks luar tabii dengan Saiful Bukhari Azlan – bekas pembantu peribadi serta pembancuh kopi beliau.

Perlakuan jenayah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini dilaporkan mangsa (Saiful) kepada pihak Polis dan siasatan telah dilakukan berhubung laporan tersebut.

Kertas siasatan Polis dimajukan kepada pihak Peguam Negara yang mendapati terdapat bukti-bukti kukuh untuk mendakwa Anwar Ibrahim diatas kesalahan MELIWAT pembantu peribadi beliau.

Antara bukti penting yang dikemukakan ialah specimen DNA yang diperolehi dari dubur Saiful. Specimen itu didakwa mempunyai persamaan nyata dengan DNA Anwar Ibrahim.

Pihak pendakwa telah memohon agar tertuduh (Anwar Ibrahim) menyerahkan spesimen DNA atau membenarkan spesimen DNA beliau diperolehi untuk membuat perbandingan pakar – untuk kali kedua.

Namun setakat ini Anwar Ibrahim – yang dituduh meliwat Saiful – enggan membenarkan DNA beliau diperolehi dan dibandingkan dengan sample DNA yang diperolehi pakar dari dubur Saiful.

Perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim ini mungkin akan tercatat dalam sejarah Negara malah sejarah dunia sebagai satu-satunya perbicaraan yang ditangguhkan sebegitu kerap.

Perbicaraan ini adalah berhubung dakwaan Saiful bahawa beliau telah diliwat oleh majikan beliau (Anwar Ibrahim) di tarikh, masa dan tempat yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan.

Perbicaraan ini bukan mengenai siapa yang mengenali Saiful atau Anwar Ibrahim atau kedua-duanya sekali.

Ternampak seolah-olah peguambela lebih tertumpu kepada usaha melengahkan perbicaraan.

Terkini, orang yang dituduh meliwat pekerjanya ingin Perdana Menteri dan isteri tampil sebagai saksi dalam perbicaraan-nya.

Perkembangan ini amat melucukan kerana jika tertuduh benar-benar ingin membuktikan yang beliau tidak meliwat Saiful maka, secara logik-nya, beliau harus menyerahkan sample DNA untuk perbandingan.

Saya pasti tindakan peguambela dan peguamtunda ingin memanggil Perdana Menteri dan isteri sebagai saksi dimahkamah bukan untuk mencari kebenaran atau menegakkan keadilan.

Jika ingnkan kebenaran, Anwar Ibrahim akan menyerahkan DNA beliau dengan rela.

Tindakan mendesak Perdana Menteri dan isteri tampil sebagai saksi adalah strategi jahat pihak tertentu untuk mencalar imej Negara dan pimpinan tertinggi Negara.

Jika semua yang mengenali Saiful harus menjadi saksi, maka saya juga boleh tampil dimahkamah kerana saya mengenali Saiful ketika beliau bertugas secara intim dengan Anwar Ibrahim.

Ramai lagi dikalangan bekas ahli tertinggi PKR harus dipanggil menjadi saksi kerana kami mengenali Saiful dan menjadi saksi “tugasan” Saiful dengan Anwar Ibrahim, baik didalam mahupun diluar Negara.

Saya harap peguambela akan memberi nasihat yang bernas kepada anak guam dan bukan-nya bertindak sebagai peguamtunda atau pakar belit.

Rakyat sudah muak dengan penagguhan demi penangguhan kes liwat Anwar Ibrahim tanpa adanya apa-apa kesudahan.

Anwar Ibrahim beranggapan beliau adalah ANUGERAH TUHAN namun saya menyeru agar mahkamah bertindak adil dan tidak memberi layanan istimewa kepada Ketua Pembangkang “anugerah Tuhan” ini.

Bukankah setiap individu adalah sama di mata undang-undang ?

Terima Kasih

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru.