Sunday, September 18, 2011

Antara Pemimpin & Penghasut

Kita baru sahaja melepasi titik sejarah sambutan serentak Ulangtahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang ke 48 dan ulangtahun Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang ke 54.

Inilah kali pertama sambutan ulangtahun Hari Merdeka dan Hari Malaysia disambut serentak pada tanggal 16 September.

Sempena sambutan bersejarah itu rakyat dihidangkan beberapa kejutan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara pelbagai kejutan yang terkandung dalam ucapan Perdana Menteri pada malam 15 September, 2011 di Angkasapuri Kuala Lumpur ialah pengumuman keputusan Kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau I.S.A.

Saya pasti majoriti rakyat Malaysia menyambut baik keputusan Kerajaan ini walaupun ada golongan pejuang negara terdahulu yang masih was-was akan tindakan berani Najib Razak.

Ada dikalangan anggota dan bekas anggota keselamatan juga yang agak risau dengan tindakan memansuhkan ISA dan peruntukan langkah-langkah pencegahan yang lain.

Walaupun pada mulanya mungkin pahit, saya yakin tindakan pemansuhan ISA adalah kearah menjadikan negara kita sebagai sebuah negara Islam moden yang lebih demokratik lagi progresif.

Rasanya diantara pelbagai rancangan Transformasi Kerajaan yang diumumkan sebelum ini, langkah pemansuhan ISA ini merupakan ‘a single largest achievement’ atau langkah unggul dengan kesan paling besar atau positif.

Seperti yang di-ingatkan beberapa rakan, Najib Razak sebenarnya telah berjanji untuk mengkaji semula ISA dalam ucapan ulung beliau pada 2hb April, 2009.

Dan pada 15 September lalu beliau mengotakan janji itu dengan menghapuskan terus akta yang sekian lama digeruni kawan dan lawan.

Walaupun agak perlahan namun kepimpinan Najib semakin menyerlah dan pelan transformasi kerajaan yang dijanjikan telah mula menampakkan kesan.

Tetapi, apakah transformasi menyeluruh yang dipelopori Perdana Menteri ini disokong dan didukung oleh kesemua pemimpin, ahli dan penyokong Barisan Nasional.

Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang telah menampakkan hasil ketara ini akan gagal jika hanya Perdana Menteri dan beberapa kerat menteri dan pemimpin parti yang mengambil peduli.

GTP ini bukan berkenaan politik. Matlamat GTP adalah kesejahteraan rakyat dan oleh itu semua pihak dan golongan yang bertanggungjawab harus menghulurkan bantuan serta sokongan.

Jangan pula ada dikalangan pemimpin atau ahli pasukan Perdana Menteri sendiri yang bertindak lebih teruk dari pihak penghasut yang menyamar sebagai pembangkang dalam negara ini.

Mungkin inilah masanya untuk Barisan Nasional dan teraju-nya Umno untuk membezakan diri mereka dari puak penghasut yang bukan berniat membina negara bangsa ini.

Saya tahu puak penghasut tidak dapat tidur nyenyak kerana ‘Najib is doing all the right things’.

Tidak sampai 24-jam selepas Perdana Menteri membuat pengumuman pemansuhan ISA serta langkah-langkah transformasi politik dan sosial , telah muncul seorang pemimpin DAP yang ingin menggantikan bendera keramat Jalur Gemilang.

Inilah yang saya maksudkan sebagai puak penghasut. Belum pun reda kegilaan Mat Sabu, timbul pula Manoharan dari DAP dengan desakan dangkalnya.

Puak penghasut nyata gusar, lebih-lebih lagi dengan kemunculan satu lagi video yang memaparkan kelicikkan pemimpin ‘anugerah Tuhan’ mereka.

Kita harus waspada dengan puak penghasut yang akan senantiasa menghasut rakyat pelbagai kaum agar tidak ada keamanan politik dan sosial dalam masyarakat kita.

Penghasut tidak mempunyai ruang dalam Malaysia dimana rakyatnya hidup aman, rukun damai walaupun berbeza pandangan politik.

Politik yang matang merupakan mimpi ngeri puak penghasut yang dangkal dan mereka tahu Najib telah bertindak untuk mematangkan lagi politik tanahair, terutamanya dengan pemansuhan ISA.

Janganlah kita terperangkap dalam politik kotor lagi dangkal yang dipelopori mereka yang terdesak.


Terima Kasih.


Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

Monday, September 5, 2011

Transformasi Kerajaan dan SIME DARBY

Baru-baru ini Sime Darby Berhad telah mengumumkan pembelian 30% saham syarikat pembangunan hartanah Eastern&Oriental.

Sime Darby, sebuah GLC atau syarikat berkaitan kerajaan, telah membayar RM776 juta untuk memiliki 30% pegangan dalam syarikat hartanah tersebut.

Kita sedia maklum bahawa Sime Darby adalah gergasi dalam bidang perladangan, terutamanya selepas langkah penggabungan yang kontroversial beberapa tahun yang lalu.

Sime Darby juga memiliki kemahiran dan pengalaman luas dalam bidang pembangunan hartanah dan telah berkecimpung dalam bidang ini selama lebih 40 tahun.

Bukan setakat membina bangunan atau rumah, Sime Darby telah dengan jayanya membangunkan bandar-bandar baru dinegara kita.

Sime Darby juga dikagumi kerana kejayaan menguruskan rangkaian hospital swasta bertaraf antarabangsa.

Persoalannya kini ialah mengapa sebuah konglomerat yang berjaya dan berpengalaman seperti Sime Darby harus membelanjakan RM776 juta untuk memiliki 30% saham dalam E&O?

Dimana rasionalnya apabila syarikat gergasi seperti Sime Darby membelanjakan RM776 juta TUNAI kononnya untuk memerolehi kemahiran daripada syarikat E&O?

Apa kelebihan E&O sehingga Sime Darby sanggup membelanjakan begitu banyak dana pemegang saham untuk memperolehi 30% pegangan tetapi membenarkan pengurusan syarikat terbabit kekal ditangan orang lain?

Apakah ini caranya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menzahirkan pelan transformasi kerajaan (GTP) yang dipelopori Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak?

Kita masih ingat kontroversi dan kerugian melampaui RM1.2BILLION yang ditanggung Sime Darby baru-baru ini angkara pelaburan dalam sektor petroleum (oil & gas).

Ketika impak kerugian besar itu masih belum reda dan segelintir daripada mereka yang harus bertanggungjawab masih kekal dalam konglomerat itu menerima gaji dan imbuhan lumayan, apakah rasionalnya tindakan membeli 30% saham dalam E&O ?

Kita maklum sebahagian besar saham E&O, selain daripada 30% yang diperolehi Sime Darby, masih kekal ditangan warga asing termasuk seorang individu yang juga merupakan Pengarah di badan pelaburan kerajaan Singapura - Temasek Holdings. Apakah kepentingan strategic kita dalam E&O dalam situasi pemilikan yang sedemikian?

Ada pihak yang mempersoalkan jika tindakan Sime Darby adalah satu langkah ‘bail-out’ atau langkah menyelamatkan E&O ketika keadaan ekonomi global semakin merudum. Apakah persoalan ini ada asasnya?

Saya berpendapat pihak Sime Darby harus tampil memberi penjelasan yang sewajarnya agar konglomerat berkaitan kerajaan ini tidak menanggung kerugian berbillion ringgit dimasa hadapan akibat kecuaian pihak pengurusan.

Pelaburan Sime Darby yang agak tergesa-gesa ini membimbangan pelbagai pihak termasuk penganalis ekonomi yang rata-rata berpendapat ada sesuatu yang tidak kena dengan urusniaga membabitkan dana pemegang saham berjumlah RM776 juta.

Kupasan Pengarang Urusan suratkhabar The Star P.Gunasegaram (Viewpoints Saturday Sept 3, 2011) adalah amat bertepatan dan harus dijawab oleh pihak pengurusan Sime Darby.

Persoalan yan diutarakan Gunasegaram adalah amat relevan, berasas dan mencerminkan keraguan sebenar berhubung urusniaga terbaru Sime Darby ini.

Sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab mengutarakan pandangan serta mempertahankan hak rakyat, saya ingin mendesak pihak Sime Darby dan Kementerian Kewangan agar memperjelaskan isu ini sebelum nasi menjadi bubur.

Janganlah orang lain yang menjadi mangsa akibat angkara beberapa kerat tokoh korporat yang membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa mengira kepentingan dan sentimen pemegang saham dan rakyat umumya.

Siapa yang mengalami kerugian sebenar apabila Sime Darby kehilangan lebih RM1.2billion akibat kesilapan dalam sektor minyak & gas?

Mungkin ada pegawai Sime Darby yang ditukarkan kejawatan lain atau diberhentikan atau didakwa tetapi apa kesudahannya?

Tidak ada gunanya bila nasi sudah menjadi bubur.

Terima Kasih

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru.

Tuesday, August 30, 2011

BEBAN POLITIK PR - Anwar Ibrahim atau PKR?


Bulan lepas saya telah membongkar satu usaha sulit DAP dan PAS untuk mengantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

Individu bakal pengganti Anwar yang saya sebut masih senyap seribu bahasa namun pelbagai pihak yang tidak berkenaan telah menyerang saya bertalu-talu.

Maklumat berhubung usaha menggantikan Anwar ini datangnya dari rakan-rakan seperjuangan yang masih berada di dalam Pakatan Rakyat. Kedudukan mereka ini sekarang seperti ‘ditelan mati emak, diluah mati bapak’.

Keadaan semasa didalam Pakatan Rakyat, terutamanya PKR adalah amat getir kerana pemimpin DAP dan PAS telah mula menjerut PKR kerana kelemahan Anwar Ibrahim.

Perbincang di London baru-baru ini diantara beberapa pengamal undang-undang tersohor pihak pembangkang dan pemimpin-pemimpin pembangkang terutamanya DAP jelas membuktian dilema mereka.

Yang jelas, pemimpin DAP serta PAS sedar bahawa Anwar Ibrahim telah menjadi beban politik atau ‘political liability’, lebih-lebih lagi berikutan tindakan Anwar dimahkamah tempohari.

Sebilangan besar pemimpin DAP dan PAS bukan sahaja tersentak dengan tindakan Anwar yang membuat kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh malah sudah ada yang tampil menyuarakan kesangsian mereka terhadap Ketua Umum PKR itu.

Kenapa Anwar Ibrahim tidak membuat kenyataan bersumpah dimahkamah dan mempertahankan diri dari pertuduhan meliwat Saiful Bukhari Azlan?

Bukankah Anwar Ibrahim sering melaungkan slogan ‘Berani kerana Benar’?

Kini ternampak jelas pihak DAP dan PAS telah sedar akan siapa Anwar Ibrahim sebenarnya dan jelas kelihatan DAP dan PAS telah memulakan langkah awal untuk menyelamatkan parti mereka.

DiLondon baru-baru ini, perbincangan sulit tertumpu kepada langkah-langkah yang perlu diambil untuk ‘damage control’ kerana Anwar Ibrahim dikategorikan pemimpin DAP dan PAS sebagai ‘political liability’ atau beban politik kepada Pakatan Rakyat.

Malah parti PKR itu sendiri dianggap telah mula kehilangan pengaruh diperingkat akar-umbi gara-gara masalah peribadi Anwar Ibrahim.

Keadaan ini diakui bukan sahaja pemimpin tertinggi DAP dan PAS, malah ada diantara pemimpin PKR sendiri telah menzahirkan kebimbangan ini kepada presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beberapa hari lalu seorang pemimpin Melayu DAP Pulau Pinang telah mendesak agar PKR menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen (majoriti pengundi Melayu) kepada DAP dipilihanraya umum akan datang.

Kenyataan terbuka pemimpin DAP itu adalah langkah merealisasikan keputusan perbincangan diLondon dan beberapa pertemuan sulit lain diantara DAP dan PAS. Tujuan-nya adalah amat jelas, untuk meminggirkan PKR daripada percaturan politik Pakatan Rakyat.

Segolongan pemimpin tertinggi PKR sedar akan senario semasa ini dan kemungkinan terkuburnya parti yang satu ketika dulu mendokong gerakan reformasi.

Mungkin masih ada pemimpin PKR dalm situasi ‘ditelan mati emak, diludah mati bapak’ tetapi DAP dan PAS telah melepasi tahap dilema tersebut.

Pemimpin-pemimpin yang masih relevan dari DAP serta PAS telah membuat keputusan bahawa Anwar Ibrahim adalah beban politik atau ‘political liability’ dan harus disingkirkan.

Jika PKR tidak akur dengan ketetapan DAP serta PAS untuk menggantikan Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang maka PKR itu sendiri akan dipinggirkan tidak lama lagi.

Marilah kita sama-sama saksikan kesudahan satu parti politik yang masih bertungkus lumus menegakkan benang yang basah demi kepentingan seorang individu yang ingin menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Yang lain telah sedar, yang tidak sedar bakal di-talqinkan.

Terima Kasih

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru


Tuesday, August 16, 2011

PILIHANRAYA - Jawatankuasa Khas Parlimen


Keputusan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Parlimen (Parliament Select Committee) untuk mengkaji dan menambahbaik sistem serta proses pilihanraya di Negara kita adalah suatu tindakan bernas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak .

Jawatankuasa Khas yang dianggotai Ahli Parlimen dari parti pemerintah dan pihak pembangkang (seperti yang diumumkan) adalah amat bertepatan.

Keputusan ini dengan sendirinya akan menongkah segala tohmahan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab keatas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sambil memperbaiki apa jua kelemahan yang ada.

Jawatankuasa Khas Parlimen ini mempunyai tugas yang amat berat demi mempertahankan nama baik negara, yang sedikit sebanyak tercemar akibat perbuatan segelintir pihak yang gemar merusuh di jalanraya.

Berikutan pengumuman penting ini semalam, terdapat pelbagai cadangan, saranan dan tekanan tentang siapa yang harus menganggotai Jawatankuasa Khas Parlimen ini dan siapa pula yang harus mempengerusikannya.

Memandangkan ianya adalah suatu Jawatankuasa Khas Parlimen (Parliament Select Committee) saya mencadangkan agar keanggotaan-nya dikhaskan kepada Ahli Parlimen serta pihak Suruhanjaya Pilihanraya sahaja.

Penglibatan pihak lain dalam Jawatankuasa Khas parlimen ini, terutamanya mereka yang gemar merusuh dijalanan dan memburukan nama Malaysia diluar negara, harus ditentang kerana niat mereka bukan untuk mencari jalan penyelesaian.

Desakan agar Jawatankuasa Khas Parlimen ini dipengerusikan atau diketuai wakil parti pembangkang juga adalah tidak waras samasekali kerana mereka adalah pihak berkepentingan yang telah lama mempolitik-kan perkara ini.

Saya berpendapat, salah seorang daripada Ahli Parlimen Bebas harus dilantik untuk mempengerusikan Jawatankuasa Khas ini agar matlamat sebenar penubuhan jawatankuasa ini dapat dicapai tanpa sebarang gangguan berunsur politik atau kepentingan mana-mana pihak.

Cadangan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen ini adalah suatu usaha ikhlas, namun jika keanggotaan-nya tidak dikawal saya khuathir ianya akan menjadi satu lagi pentas mainan politik.

Terima Kasih


Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

Wednesday, August 10, 2011

LEWAT, LIWAT & Anugerah Tuhan


Perkembangan terkini kes LIWAT Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah agak pelik.

Anwar Ibrahim menghadapi pertuduhan meliwat / melakukan seks luar tabii dengan Saiful Bukhari Azlan – bekas pembantu peribadi serta pembancuh kopi beliau.

Perlakuan jenayah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini dilaporkan mangsa (Saiful) kepada pihak Polis dan siasatan telah dilakukan berhubung laporan tersebut.

Kertas siasatan Polis dimajukan kepada pihak Peguam Negara yang mendapati terdapat bukti-bukti kukuh untuk mendakwa Anwar Ibrahim diatas kesalahan MELIWAT pembantu peribadi beliau.

Antara bukti penting yang dikemukakan ialah specimen DNA yang diperolehi dari dubur Saiful. Specimen itu didakwa mempunyai persamaan nyata dengan DNA Anwar Ibrahim.

Pihak pendakwa telah memohon agar tertuduh (Anwar Ibrahim) menyerahkan spesimen DNA atau membenarkan spesimen DNA beliau diperolehi untuk membuat perbandingan pakar – untuk kali kedua.

Namun setakat ini Anwar Ibrahim – yang dituduh meliwat Saiful – enggan membenarkan DNA beliau diperolehi dan dibandingkan dengan sample DNA yang diperolehi pakar dari dubur Saiful.

Perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim ini mungkin akan tercatat dalam sejarah Negara malah sejarah dunia sebagai satu-satunya perbicaraan yang ditangguhkan sebegitu kerap.

Perbicaraan ini adalah berhubung dakwaan Saiful bahawa beliau telah diliwat oleh majikan beliau (Anwar Ibrahim) di tarikh, masa dan tempat yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan.

Perbicaraan ini bukan mengenai siapa yang mengenali Saiful atau Anwar Ibrahim atau kedua-duanya sekali.

Ternampak seolah-olah peguambela lebih tertumpu kepada usaha melengahkan perbicaraan.

Terkini, orang yang dituduh meliwat pekerjanya ingin Perdana Menteri dan isteri tampil sebagai saksi dalam perbicaraan-nya.

Perkembangan ini amat melucukan kerana jika tertuduh benar-benar ingin membuktikan yang beliau tidak meliwat Saiful maka, secara logik-nya, beliau harus menyerahkan sample DNA untuk perbandingan.

Saya pasti tindakan peguambela dan peguamtunda ingin memanggil Perdana Menteri dan isteri sebagai saksi dimahkamah bukan untuk mencari kebenaran atau menegakkan keadilan.

Jika ingnkan kebenaran, Anwar Ibrahim akan menyerahkan DNA beliau dengan rela.

Tindakan mendesak Perdana Menteri dan isteri tampil sebagai saksi adalah strategi jahat pihak tertentu untuk mencalar imej Negara dan pimpinan tertinggi Negara.

Jika semua yang mengenali Saiful harus menjadi saksi, maka saya juga boleh tampil dimahkamah kerana saya mengenali Saiful ketika beliau bertugas secara intim dengan Anwar Ibrahim.

Ramai lagi dikalangan bekas ahli tertinggi PKR harus dipanggil menjadi saksi kerana kami mengenali Saiful dan menjadi saksi “tugasan” Saiful dengan Anwar Ibrahim, baik didalam mahupun diluar Negara.

Saya harap peguambela akan memberi nasihat yang bernas kepada anak guam dan bukan-nya bertindak sebagai peguamtunda atau pakar belit.

Rakyat sudah muak dengan penagguhan demi penangguhan kes liwat Anwar Ibrahim tanpa adanya apa-apa kesudahan.

Anwar Ibrahim beranggapan beliau adalah ANUGERAH TUHAN namun saya menyeru agar mahkamah bertindak adil dan tidak memberi layanan istimewa kepada Ketua Pembangkang “anugerah Tuhan” ini.

Bukankah setiap individu adalah sama di mata undang-undang ?

Terima Kasih

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru.

Saturday, July 23, 2011

TBH mangsa DAP ?



Laporan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja menyiasat kematian Teoh Beng Hock jelas menyatakan bahawa Teoh telah membunuh diri.

Rumusan suruhanjaya itu, yang bersidang selama 50 hari dan mendengar/mengumpul keterangan dari 70 saksi termasuk pakar dari dalam dan luar Negara, jelas menyatakan Teoh Beng Hock telah MEMBUNUH DIRI.

Ramai berpendapat berjuta ringgit wang rakyat terpaksa dibazir akibat tindakan segelintir pihak yang mempolitikan isu kematian Teoh Beng Hock.

Agak pelik kenapa Suruhanjaya Siasatan Di-Raja harus menyiasat sesuatu kes bunuh diri namun kerana isu bunuh diri Teoh Beng Hock telah di-jaja sedemikian rupa sehingga kelangsungan politik menjadi pertaruhan, kebenaran terpaksa dirungkai dengan kos yang begitu tinggi. Sentimen perkauman yang dimainkan pemimpin politik pembangkang terpaksa disanggah.

Hasilnya kebenaran terserlah tetapi yang dahulunya mendesak agar diadakan suatu Suruhanjaya Siasatan Di-Raja telah mula mempersoalkan keputusan Suruhanjaya yang di-tauliahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sendiri.

Apa kesudahannya ?

Saya menyeru agar ahli-ahli politik dan pemimpin DAP tidak asyik menuding jari kepada pihak lain. Lihat lah juga pada kesalahan sendiri dan dosa kamu keatas Teoh Beng Hock dan keluarga nya.

Cuba tuan-tuan cerdik pandai didalam DAP dan ilmuan diluar yang menyokong DAP bertanyakan beberapa soalan yang penting dalam kes bunuh diri Teoh Beng Hock?

Teoh Beng Hock bekerja untuk siapa?

Kenapa Teoh Beng Hock berada di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia @ Shah Alam pada hari kejadian?

Apakah kes yang di-siasat (SPRM) sehingga Teoh Beng Hock sanggup membunuh diri daripada bekerjasama dengan pihak SPRM untuk mendakwa sipelaku rasuah yang disiasat?

Pada pendapat saya DAP dan pemimpin nya selaku majikan Teoh Beng Hock harus lebih bertanggungjawab dalam kes ini.

DAP harus bertanggungjawab keatas kematian Teoh Beng Hock dan tidak secara terus-menerus mencari kambing hitam untuk dipersalahkan.

Ahli politik DAP, terutamanya segelintir yang lidah bercabang di dalam dan di luar mahkamah, harus berhenti memperkudakan keluarga Teoh Beng Hock demi kelangsungan politik mereka.

Janganlah secara terus menjaja kes bunuh diri ini sebagai suatu pembunuhan kerana laporan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja amat jelas.

Kesimpulan nya, Teoh Beng Hock membunuh diri ketika sedang di-siasat pihak SPRM berhubung laporan rasuah pemimpin DAP diSelangor. Ini fakta yang cuba diputarbelit pihak tertentu agar kepincangan mereka tidak timbul.

Kepincangan DAP telah mengakibatkan Teoh Beng Hock membunuh diri.

Kepincangan DAP mengaitkan Teoh Beng Hock dalam kes rasuah dan hal-hal bersangkut paut dengan pemberian kontrak di negeri Selangor.

Kenapa hanya pihak lain di-persalahkan dan bukan nya DAP?

Saya berharap agar pemimpin DAP akan sedar dari kerakusan nafsu politik mereka dan bersifat lebih bertanggungjawab di-atas kematian Teoh Beng Hock.

Setidak-tidak nya DAP harus memohon maaf kepada kedua ibu-bapa dan “teman wanita’ Teoh Beng Hock kerana secara tidak langsung telah menyebabkan kematian Teoh Beng Hock.

DAP juga harus membayar sejumlah wang sebagai pampasan kepada keluarga Teoh Beng Hock.

Jika pemimpin DAP benar-benar bersih dan tidak bergelumang dalam gejala rasuah serta salah guna kuasa di-Selangor, mungkin Teoh Beng Hock masih hidup hari ini.

Terima Kasih


Zahrain Mohamed Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru


Friday, July 8, 2011

Campurtangan Asing & Pengkhianat Negara



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kita rakyat Malaysia amat bertuah kerana mewarisi sebuah Negara yang aman, damai dan berdaya maju walaupun dihuni oleh penduduk pelbagai bangsa dan agama.

Selama lebih 50 tahun sejak merdeka kita berjaya mencorak perjalanan Negara ini tanpa sebarang ‘perang saudara’ atau konflik terbuka yang mampu menggugat keharmonian, keamanan dan kedamaian kita.

Tetapi nampaknya kini telah muncul satu gerakan terancang untuk mengganggu gugat keistimewaan kita sebagai sebuah Negara bangsa yang aman, damai, bersatu dan progresif.

Apa yang lebih merisaukan ialah wujudnya elemen-elemen campurtangan Negara lain dalam soal menentukan kepimpinan dan halatuju kita sebagai sebuah Negara yang merdeka.

Kerana kedudukan kita sebagai Negara Islam yang maju dan progresif, memang wujud pelbagai percubaan untuk ‘menguasai’ Malaysia sejak sekian lama.

Apa yang merunsingkan kita pada masa ini ialah kemunculan dalang di-antara rakyat Malaysia yang sanggup berkerjasama dalam mencapai matlamat orang asing yang ingin mencorakkan halatuju dan pendirian kita.

Pendedahan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr.Chandra Muzaffar baru-baru ini mengenai menyaluran dana asing bagi pertubuhan-pertubuhan dan individu yang anti-kerajaan membuktikan ancaman ini.

Antara yang dipercayai menerima dana asing berjumlah ratusan ribu Dollar Amerika ialah syarikat Mkini Dot Com Sdn.Bhd yang mengendalikan portal berita Malaysiakini dan sebuah lagi syarikat tempatan Suara Initiatif Sdn.Bhd yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pertubuhan bukan kerajaan Suaram.

Pemimpin pertubuhan haram yang kini mengganggu-gugat keselamatan negara dan ketenteraman awam, Bersih, juga dilaporkan telah menerima ratusan ribu Dollar Amerika dari sumber asing secara terus dan menerusi pelbagai badan bukan kerajaan dibawah naungan mereka.

Apa perlunya menadah tangan menerima sumbangan ratusan ribu Dollar Amerika dari pertubuhan-pertubuhan Yahudi yang konon-nya mempromosikan demokrasi, ketelusan dan hak asasi manusia?

Ramai yang mengesyaki bahawa gerombolan yang menganggotai Bersih dan Ngo-Ngo yang berselindung disebalik kumpulan haram ini bukan berniat untuk memperbaiki amalan demokrasi atau menjulang hak asasi, niat mereka ialah untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat.

Kini jelas cadangan demonstrasi jalanan Bersih bukan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana Datuk S.Ambiga tidak menyebut atau menyerah sebarang memorandum ketika menghadap Tuanku beberapa hari yang lalu.

Jika tujuan berkumpul pada 9hb Julai, 2011 adalah semata-mata untuk menyerahkan memorandum kepada Tuanku kenapa tidak disampaikan bila masa diterima menghadap ?

Muslihat Ambiga terungkai dengan sendirinya dan kini terbukti bahawa rancangan demonstrasi jalanan mereka adalah untuk menghuru-harakan negara ini.

Apakah Bersih dan sekutu-nya, termasuk ahli politik yang terdesak dan tertekan dengan masalah moral diri, kini bagai lembu dicucuk hidung dan terpaksa mengikut arahan “tuan dari luar’ yang telah membiayai mereka selama ini.

Dr. Chandra Muzaffar telah mendedahkan bahawa pada 27 Jun hingga 2 Julai lalu, Pengarah Projek Burma/Inisiatif Asia Tenggara, Maureen Aung Thwin telah bertemu dengan pemimpin pembangkang serta pertubuhan yang bernaung di bawah Bersih.

Kita percaya pertemuan itu membincangkan sumbangan dana beratus ribu Dolar Amerika untuk gerakan jahat Bersih kerana Projek Burma/Inisiatif Asia Tenggara dikendalikan Open Society Foundations (OSF).

OSF bukan baru kepada kita kerana yayasan Yahudi inilah membantu menyumbangkan dana yang lumayan dalam usaha seorang pengkhianat Negara dan gerakan reformasinya pada lewat tahun 90an.

Berdasarkan fakta-fakta ini dan perkembangan terbaru dalam negara di-mana gerakan haram Bersih semakin berani mencabar kerajaan yang di-naungi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong serta Polis Di-Raja Malaysia, saya mendesak agar tindakan di-ambil keatas pengkhianat dan petualang bangsa.

Berkerjasama dengan pihak asing untuk menggugat keRAJAan yang dipilih rakyat adalah pengkhianatan yang tidak boleh di-maafkan.

Saya mendesak agar pihak berkuasa tidak mengambil ringan pendedahan demi pendedahan berhubung penyaluran dana asing menerusi OSF, National Democratic Institute (NDI), National Endowment for Democracy (NED) dan beberapa organisasi asing yang nampaknya amat berminat untuk mencatur politik dan kepimpinan Negara kita ini.

Jangan kita biarkan pisang berbuah dua kali. Mereka mencuba pada tahun 1999 menerusi demonstrasi jalanan reformasi dan kini mereka mencuba lagi menerusi Bersih.

Terima Kasih.


Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru