Monday, February 27, 2012

Debat LYNAS & Cuti KHALWAT


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

1. Sekali lagi pihak pembangkang telah cuba memperdayakan rakyat Malaysia menerusi budaya tunjuk perasaan jalanan yang tidak sinonim dengan budaya kita.

Percubaan terbaru ini adalah berkenaan pelaburan besar syarikat dari Australia, Lynas Corporation Ltd, untuk mendirikan kilang yang memproses bahan galian (rare earth/nadir bumi).

Sebenarnya nadir bumi ini adalah sebentuk galian dari bumi yang diproses untuk memerolehi bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai peralatan elektronik seperti telefon bimbit, televisyen dan skrin elektronik.

Yang nyata pelaburan Lynas di Kuantan (Pahang) ini amat lumayan dan mampu menarik industri elektronik bernilai tinggi ke kawasan perindustrian berdekatan di Pahang.

Ada sesuatu yang tidak kena dengan penentangan terhadap kilang Lynas yang di-ketuai ahli parlimen Kuantan YB Fuziah Salleh.

YB Fuziah dari PKR begitu lantang mengkritik Lynas dan telah menganjurkan tunjuk perasaan menentang pelaburan asing itu atas alasan ianya adalah ‘projek nuklear’ yang mampu membahayakan kesihatan rakyat Kuantan.

Setakat ini tidak ada apa-apa bukti saintifik untuk menyokong kenyataan YB Fuziah dan individu yang sebenarnya membongkar kecetekan kenyataan YB Fuziah ialah seorang lagi ahli parlimen pembangkang dari Pas.

YB Dr Che Rosli Che Mat (Ahli Parlimen Hulu Langat), seorang saintis nuklear yang bertauliah dan memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang nuklear sendiri telah menangkis kenyataan YB Fuziah.

Namun YB Fuziah nampaknya masih ingin mempertahankan andaian beliau bahawa bahan galian yang diproses dikilang Lynas akan membahayakan kesihatan penduduk manakala pakar nuklear YB Dr Che Rosli berpendapat sebaliknya.

Saya mencadangkan agar YB Fuziah dari PKR serta YB Dr Che Rosli dari Pas harus lebih bertanggungjawab dan memperjelaskan isu ini.

Saya mencadangkan agar kedua-dua wakil rakyat pembangkang ini mengadakan satu debat terbuka dan mengemukakan hujah masing-masing untuk membuktikan pendirian mereka.

Debat ini harus di-siarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan agar rakyat memahami isu Lynas ini.

Kedua-dua wakil rakyat dari Pas dan PKR ini hanya harus ingat bahawa Lynas bukan-lah isu politik.

2. Saya di-fahamkan Ketua Penerangan Kerajaan Selangor Dr Badrulamin Bahron yang kini di-siasat atas tuduhan berkhalwat dengan isteri orang di Kuantan telah diarahkan supaya bercuti rehat selama satu bulan.

Dr Badrulamin yang juga ahli pimpinan tertinggi PKR telah di-arahkan bercuti sehingga beliau menyelesaikan masalah ‘kes khalwat’ yang beliau hadapi.

Apa yang saya kurang faham ialah sikap ‘double standard’ pihak pembangkang dalam isu Dr Badrulamin.

Saya hairan kenapa sehingga kini Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak di-arahkan agar bercuti sehingga penyiasatan Skandal Video Seks beliau selesai.

Pertuduhan berlakon dalam video seks bersama seorang wanita warga asing adalah lebih dashyat dan amat memalukan jika dibandingkan dengan tuduhan kes khalwat Dr Badrulamin.

Inilah masanya untuk pihak pembangkang, terutamanya pemimpin PKR dan Pas, untuk mencermin diri mereka.


Terima Kasih

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru


Wednesday, February 15, 2012

Khalifah Omar Abdul Aziz sokong Israel?

Ketika ini pemimpin pemimpin PKR, Pas dan Dap semacam bermain wayang kulit berhubung isu kenyataan tidak bertanggungjawab Ketua Umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan akhbar asing the Wall Street Journal baru-baru ini.

Yang nyata kenyataan Anwar Ibrahim yang berikrar akan menyokong keselamatan Israel, yakni menyokong penindasan kejam terhadap rakyat Palestine, telah menimbulkan pelbagai persoalan dikalangan rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia, terutamanya orang Islam, amat tersinggung dengan kenyataan biadap Anwar Ibrahim yang nyata menyokong puak Zionis.

Kenyataan di-WSJ juga telah menampak-kan sifat keji talam dua-muka Anwar, tetapi yang amat merisaukan saya ialah tindakan pemimpin-pemimpin dari PKR, Pas dan Dap.

Individu-individu yang menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin ini masih meneruskan percubaan mereka untuk memutarbelit dan mengelirukan rakyat Malaysia berhubung kenyataan biadap Anwar Ibrahim.

Ada ulama dalam Pas yang membuat kenyataan akhbar mendesak Anwar Ibrahim memperjelaskan kenyataan biadab beliau di WSJ, tetapi ada pula yang terus menerus menuduh pihak lain.

Pemimpin PKR telah menempelak Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz dan secara tidak langsung melenyapkan suara-suara sayup ulama Pas yang lain.

Isu Palestine adalah isu kemanusiaan. Isu Palestine adalah isu keganasan terancang Israel dan bukan-nya isu Islam atau Kristian.

Dalam situasi ini, saya amat terkejut kerana setakat ini pemimpin DAP hanya menjadi penonton persembahan wayang kulit politik yang di-mainkan pemimpin dari PKR dan PAS.

Kita tahu secara nyata, melalui kenyataan biadap Anwar Ibrahim, PKR adalah penyokong Israel.

Kita tahu PAS masih menyokong PKR didalam Pakatan Rakyat. Tapi apa pula pendirian DAP?

Apa pendirian setiausaha agong DAP Lim Guan Eng berhubung kenyataan biadap Anwar Ibrahim yang jelas menghina rakyat Palestine yang tertindas sekian lama dibumi mereka sendiri?

Apakah Lim Guan Eng hanya akan bersuara, membuat kenyataan dan sidang akhbar, jika sesuatu isu itu ada hubungkait dengan kaum Cina sahaja?

Apakah ini tabiat dan politik sebenar Khalifah Omar Abdul Aziz yang di agung agung kan pemimpin Pas?

Mana pergi-nya ungkapan “Amal maaruf, nahi mungkar’ yang dijaja Lim Guan Eng ketika memperdaya orang Melayu untuk mengundi DAP.

Sejak kebelakangan ini DAP amat berminat dengan keahlian orang Melayu tetapi mengapa DAP senyap seribu bahasa bila timbul isu yang dekat dengan hati orang Melayu?

Saya mendesak Lim Guan Eng, selaku Ketua Menteri Pulau Pinang yang sering mengungkapkan bahawa beliau adalah pemimpin untuk semua kaum dan bukan hanya kaum Cina, membuktikan bahawa beliau bukan seorang pemimpin chauvinis Cina.

Saya mendesak Lim Guan Eng selaku setiausaha agong DAP untuk membuktikan bahawa DAP bukan-nya sebuah parti rasis dan chauvinis yang hanya menjaga kepentingan orang Cina.

Saya mendesak Lim Guan Eng menyatakan pendirian beliau dan DAP berhubung kenyataan biadab Anwar Ibrahim di AWJ yang nyata menyokong puak Zionis.