Monday, September 26, 2011

Sime Darby tidak meyakinkan.

KENYATAAN MEDIA


Nampaknya isu pembelian 30% saham E&O Berhad oleh Sime Darby Berhad dengan harga yang begitu tinggi masih belum dijelaskan lagi.

Bukan sahaja isu utama tidak dijawab malah ternampak semacam ada usaha untuk mengalih perhatian umum dari isu ini.

Setakat ini kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pelbagai pihak hanyalah percubaan menyokong atau menjustifikasi urusniaga Sime Darby – E&O dan bukannya penjelasan yang telus.

Alasan Sime Darby membayar premium yang tinggi berdasarkan kepakaran E&O dalam bidang pembangunan hartanah adalah satu kenyataan yang tidak masuk akal samasekali kerana Sime Darby sendiri adalah gergasi dalam bidang hartanah dengan pengalaman dan kepakaran mejangkaui empat dekad.

Apakah Sime Darby sudah tidak yakin dan percaya dengan kebolehan dan kepakaran kakitangannya sendiri?

Baru-baru ini bekas presiden Bursa Saham Kuala Lumpur Datuk Salleh Majid pun telah tampil mempersoalkan alasan yang dikemukakan Sime Darby.

Industri hartanah sedia maklum akan kepakaran warga Sime Darby yang bukan sahaja di-iktiraf di-dalam negara malah di-peringkat antarabangsa.

Satu lagi alasan remeh yang di-utarakan pihak berkepentiangan ialah kononnya dengan pembelian saham E&O Sime Darby dapat meningkatkan keluasan ‘land bank’ atau pemilikan tanah yang belum dibangunkan. Ini adalah satu lagi fakta songsang.

Saya rasa Sime Darby tidak terdesak untuk meningkatkan ‘land bank’ kerana keluasan ‘land bank’ sediaada Sime Darby, selepas penggabungan Golden Hope, Guthrie dan Sime Darby, adalah cukup besar.

Saya terasa agak pelik kerana setelah isu pembelian saham E&O ditimbulkan terdapat pelbagai percubaan untuk mengalih tumpuan rakyat jauh dari perkara asas.

Saya diberitahu ahli perniagaan terkenal Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan telah masuk campur untuk menutup mulut pihak yang terus mendesak agar urusniaga Sime Darby dan E&O diperjelaskan.

Jika benar cerita ini, ianya hanya meningkatkan lagi tahap keraguan rakyat terhadap tindak tanduk syarikat berkenaan kerajaan (GLC) dan kerajaan itu sendiri.

Kita tidak harus lupa bahawa skandal penggabungan ECM Libra dan syarikat milik kerajaan pada ketika itu Avenue Capital adalah salah satu faktor penyumbang kepada kejutan yang diterima kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2008.

Saya tahu akan isu ECM Libra dan Avenue Capital serta individu-individu yang terlibat secara langsung pada ketika itu.

Yang peliknya, individu-individu yang secara langsung menyebabkan rakyat menolak kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu masih lagi berperanan dalam beberapa urusniaga GLC yang tidak telus pada ketika ini.

Apakah kepimpinan ketika ini tidak sedar akan peranan musuh dalam selimut ini atau mungkinkah ‘budak-budak Tingkat 4’ sememangnya masih berkuasa, bebas merompak harta Khazanah seperti dahulu?

Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

26 September, 2011.

Thursday, September 22, 2011

Sesi Parliament Oktober 2011

SOALAN (Untuk Jawapan Lisan)


1.Minta Menteri Kerjaraya menyatakan apakah langkah Kementerian untuk mengelakkan berlakunya kesesakan jalanraya dari Jambatan Ke 2 ke Jambatan Pulau Pinang di FTZ (laluan Batu Maung ke Jambatan Pulau Pinang) selepas tamat pembinaan Jambatan ke 2.

2. Minta Menteri Pertanian dan Asas Tani menyatakan bilakah pembayaran pampasan kepada nelayan-nelayan yang terjejas akibat pembinaan Jambatan Ke 2 dapat diselesaikan.

3. Minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan apakah perbezaan ""Standard Operating Procedure"" (SOP) yang diguna pakai didalam penyiasatan kes-kes jenayah oleh agensi-agensi yang melakukan penyiasatan seperti POLIS dan SPRM berbeza dengan yang diamalkan oleh negara-negara lain."

4. Minta Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa memandangkan OPS SIKAP yang dilanksanakan baru-baru ini gagal, apakah langkah-langkah seterusnya yang akan dilaksanakan oleh Kementerian bagi mengurangkan kemalangan di jalanraya khususnya dimusim-musim perayaan."

5. Minta Menteri Pertanian dan Asas Tani menyatakan apakah galakkan dan insentif yang diberikan kepada pengusaha-pengusaha industri herba dan apakah peranan Kementerian untuk menluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

6. Minta Menteri Kesihatan menyatakan adakah Kementerian berpuas hati dengan latihan amali yang dijalani oleh doktor-doktor pelatih di hospital-hospital kerajaan.

7. Minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan daripada 50'000 unit rumah yang akan dibina untuk rakyat berpendapatan rendah , berapa banyakkah di peruntukkan di Bayan baru dan Balik Pulau."

8. Minta Menteri Kewangan menyatakan adakah Bank Negara Malaysia bercadang untuk menurunkan ""Net Interest Rate"" dibawah paras 2% seperti mana diamalkan oleh negara-negara maju seperti Jepun dan Singapura."

9. Minta Menteri Kewangan menyatakan samada bank-bank masih lagi dibenarkan untuk merujuk kepada ""Credit Tip-Off Service"" (CTOS) and ""Central Credit Reference Information System"" (CCRIS) di dalam pemprosesan pembukaan akaun-akaun bank"

10. Minta Menteri Kerjaraya menyatakan bahawa memandang kepada kesesakan jalanraya yang semakin serius dikawasan Bayan baru, Pulau Pinang khususnya jalan-jalan kearah Relau dan Sungai Ara, adakah Kementerian mempunyai perancangan untuk mengurangkan kesesakan dikawasan ini."

Sunday, September 18, 2011

Antara Pemimpin & Penghasut

Kita baru sahaja melepasi titik sejarah sambutan serentak Ulangtahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang ke 48 dan ulangtahun Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang ke 54.

Inilah kali pertama sambutan ulangtahun Hari Merdeka dan Hari Malaysia disambut serentak pada tanggal 16 September.

Sempena sambutan bersejarah itu rakyat dihidangkan beberapa kejutan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara pelbagai kejutan yang terkandung dalam ucapan Perdana Menteri pada malam 15 September, 2011 di Angkasapuri Kuala Lumpur ialah pengumuman keputusan Kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau I.S.A.

Saya pasti majoriti rakyat Malaysia menyambut baik keputusan Kerajaan ini walaupun ada golongan pejuang negara terdahulu yang masih was-was akan tindakan berani Najib Razak.

Ada dikalangan anggota dan bekas anggota keselamatan juga yang agak risau dengan tindakan memansuhkan ISA dan peruntukan langkah-langkah pencegahan yang lain.

Walaupun pada mulanya mungkin pahit, saya yakin tindakan pemansuhan ISA adalah kearah menjadikan negara kita sebagai sebuah negara Islam moden yang lebih demokratik lagi progresif.

Rasanya diantara pelbagai rancangan Transformasi Kerajaan yang diumumkan sebelum ini, langkah pemansuhan ISA ini merupakan ‘a single largest achievement’ atau langkah unggul dengan kesan paling besar atau positif.

Seperti yang di-ingatkan beberapa rakan, Najib Razak sebenarnya telah berjanji untuk mengkaji semula ISA dalam ucapan ulung beliau pada 2hb April, 2009.

Dan pada 15 September lalu beliau mengotakan janji itu dengan menghapuskan terus akta yang sekian lama digeruni kawan dan lawan.

Walaupun agak perlahan namun kepimpinan Najib semakin menyerlah dan pelan transformasi kerajaan yang dijanjikan telah mula menampakkan kesan.

Tetapi, apakah transformasi menyeluruh yang dipelopori Perdana Menteri ini disokong dan didukung oleh kesemua pemimpin, ahli dan penyokong Barisan Nasional.

Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang telah menampakkan hasil ketara ini akan gagal jika hanya Perdana Menteri dan beberapa kerat menteri dan pemimpin parti yang mengambil peduli.

GTP ini bukan berkenaan politik. Matlamat GTP adalah kesejahteraan rakyat dan oleh itu semua pihak dan golongan yang bertanggungjawab harus menghulurkan bantuan serta sokongan.

Jangan pula ada dikalangan pemimpin atau ahli pasukan Perdana Menteri sendiri yang bertindak lebih teruk dari pihak penghasut yang menyamar sebagai pembangkang dalam negara ini.

Mungkin inilah masanya untuk Barisan Nasional dan teraju-nya Umno untuk membezakan diri mereka dari puak penghasut yang bukan berniat membina negara bangsa ini.

Saya tahu puak penghasut tidak dapat tidur nyenyak kerana ‘Najib is doing all the right things’.

Tidak sampai 24-jam selepas Perdana Menteri membuat pengumuman pemansuhan ISA serta langkah-langkah transformasi politik dan sosial , telah muncul seorang pemimpin DAP yang ingin menggantikan bendera keramat Jalur Gemilang.

Inilah yang saya maksudkan sebagai puak penghasut. Belum pun reda kegilaan Mat Sabu, timbul pula Manoharan dari DAP dengan desakan dangkalnya.

Puak penghasut nyata gusar, lebih-lebih lagi dengan kemunculan satu lagi video yang memaparkan kelicikkan pemimpin ‘anugerah Tuhan’ mereka.

Kita harus waspada dengan puak penghasut yang akan senantiasa menghasut rakyat pelbagai kaum agar tidak ada keamanan politik dan sosial dalam masyarakat kita.

Penghasut tidak mempunyai ruang dalam Malaysia dimana rakyatnya hidup aman, rukun damai walaupun berbeza pandangan politik.

Politik yang matang merupakan mimpi ngeri puak penghasut yang dangkal dan mereka tahu Najib telah bertindak untuk mematangkan lagi politik tanahair, terutamanya dengan pemansuhan ISA.

Janganlah kita terperangkap dalam politik kotor lagi dangkal yang dipelopori mereka yang terdesak.


Terima Kasih.


Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru

Monday, September 5, 2011

Transformasi Kerajaan dan SIME DARBY

Baru-baru ini Sime Darby Berhad telah mengumumkan pembelian 30% saham syarikat pembangunan hartanah Eastern&Oriental.

Sime Darby, sebuah GLC atau syarikat berkaitan kerajaan, telah membayar RM776 juta untuk memiliki 30% pegangan dalam syarikat hartanah tersebut.

Kita sedia maklum bahawa Sime Darby adalah gergasi dalam bidang perladangan, terutamanya selepas langkah penggabungan yang kontroversial beberapa tahun yang lalu.

Sime Darby juga memiliki kemahiran dan pengalaman luas dalam bidang pembangunan hartanah dan telah berkecimpung dalam bidang ini selama lebih 40 tahun.

Bukan setakat membina bangunan atau rumah, Sime Darby telah dengan jayanya membangunkan bandar-bandar baru dinegara kita.

Sime Darby juga dikagumi kerana kejayaan menguruskan rangkaian hospital swasta bertaraf antarabangsa.

Persoalannya kini ialah mengapa sebuah konglomerat yang berjaya dan berpengalaman seperti Sime Darby harus membelanjakan RM776 juta untuk memiliki 30% saham dalam E&O?

Dimana rasionalnya apabila syarikat gergasi seperti Sime Darby membelanjakan RM776 juta TUNAI kononnya untuk memerolehi kemahiran daripada syarikat E&O?

Apa kelebihan E&O sehingga Sime Darby sanggup membelanjakan begitu banyak dana pemegang saham untuk memperolehi 30% pegangan tetapi membenarkan pengurusan syarikat terbabit kekal ditangan orang lain?

Apakah ini caranya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menzahirkan pelan transformasi kerajaan (GTP) yang dipelopori Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak?

Kita masih ingat kontroversi dan kerugian melampaui RM1.2BILLION yang ditanggung Sime Darby baru-baru ini angkara pelaburan dalam sektor petroleum (oil & gas).

Ketika impak kerugian besar itu masih belum reda dan segelintir daripada mereka yang harus bertanggungjawab masih kekal dalam konglomerat itu menerima gaji dan imbuhan lumayan, apakah rasionalnya tindakan membeli 30% saham dalam E&O ?

Kita maklum sebahagian besar saham E&O, selain daripada 30% yang diperolehi Sime Darby, masih kekal ditangan warga asing termasuk seorang individu yang juga merupakan Pengarah di badan pelaburan kerajaan Singapura - Temasek Holdings. Apakah kepentingan strategic kita dalam E&O dalam situasi pemilikan yang sedemikian?

Ada pihak yang mempersoalkan jika tindakan Sime Darby adalah satu langkah ‘bail-out’ atau langkah menyelamatkan E&O ketika keadaan ekonomi global semakin merudum. Apakah persoalan ini ada asasnya?

Saya berpendapat pihak Sime Darby harus tampil memberi penjelasan yang sewajarnya agar konglomerat berkaitan kerajaan ini tidak menanggung kerugian berbillion ringgit dimasa hadapan akibat kecuaian pihak pengurusan.

Pelaburan Sime Darby yang agak tergesa-gesa ini membimbangan pelbagai pihak termasuk penganalis ekonomi yang rata-rata berpendapat ada sesuatu yang tidak kena dengan urusniaga membabitkan dana pemegang saham berjumlah RM776 juta.

Kupasan Pengarang Urusan suratkhabar The Star P.Gunasegaram (Viewpoints Saturday Sept 3, 2011) adalah amat bertepatan dan harus dijawab oleh pihak pengurusan Sime Darby.

Persoalan yan diutarakan Gunasegaram adalah amat relevan, berasas dan mencerminkan keraguan sebenar berhubung urusniaga terbaru Sime Darby ini.

Sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab mengutarakan pandangan serta mempertahankan hak rakyat, saya ingin mendesak pihak Sime Darby dan Kementerian Kewangan agar memperjelaskan isu ini sebelum nasi menjadi bubur.

Janganlah orang lain yang menjadi mangsa akibat angkara beberapa kerat tokoh korporat yang membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa mengira kepentingan dan sentimen pemegang saham dan rakyat umumya.

Siapa yang mengalami kerugian sebenar apabila Sime Darby kehilangan lebih RM1.2billion akibat kesilapan dalam sektor minyak & gas?

Mungkin ada pegawai Sime Darby yang ditukarkan kejawatan lain atau diberhentikan atau didakwa tetapi apa kesudahannya?

Tidak ada gunanya bila nasi sudah menjadi bubur.

Terima Kasih

Zahrain Mohd Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru.